Dua Korintus 8:1-24
8 Saudara-saudara, kami ingin kamu tahu tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul yang telah diberikan kepada sidang-sidang di Makedonia.+
2 Semasa diuji dengan kesusahan yang amat berat, mereka masih sangat bersukacita. Biarpun mereka amat miskin, mereka sangat murah hati.*
3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi mengikut kemampuan mereka,+ bahkan melebihi kemampuan mereka.+
4 Atas kehendak sendiri, mereka terus merayu kepada kami dengan bersungguh-sungguh supaya diberi penghormatan untuk memberikan sumbangan dan mengambil bahagian untuk membantu umat suci Tuhan.+
5 Mereka melakukan lebih daripada apa yang kami harapkan. Mula-mula mereka menyerahkan diri untuk berkhidmat kepada Tuan Yesus, kemudian mereka menyerahkan diri untuk membantu kami, sesuai dengan kehendak Tuhan.
6 Oleh itu, kami menggalakkan Titus+ supaya dia juga menyelesaikan tugas yang dimulakannya dalam kalangan kamu, iaitu tugas untuk mengumpulkan sumbangan yang telah kamu berikan dengan rela hati.
7 Kamu melakukan segala hal dengan baik sekali: Iman kamu teguh, kamu mahir bercakap, kamu kaya dengan pengetahuan, kamu melakukan segala sesuatu dengan gigih, dan kamu mengasihi orang lain sepertimana kami mengasihi kamu. Oleh itu, kami berharap agar kamu juga memberikan sumbangan dengan murah hati.+
8 Apa yang aku katakan ini bukanlah suatu perintah. Aku cuma mahu kamu sedar bahawa orang lain sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh, dan aku juga mahu menguji sama ada kamu memiliki kasih yang sejati atau tidak.
9 Kamu tahu bagaimana Tuan kita, Yesus Kristus, menunjukkan kebaikan hatinya yang unggul. Meskipun dia kaya, dia menjadi miskin demi kamu,+ supaya kamu menjadi kaya melalui kemiskinannya.
10 Dalam hal ini, aku memberikan pandanganku:+ Tugas ini membawa manfaat kepada kamu. Setahun yang lalu, kamu bukan sahaja berhasrat untuk melakukan tugas ini, malah kamu telah memulakannya.
11 Maka, sekarang, selesaikanlah apa yang telah kamu mulakan. Memandangkan sebelum ini kamu rela melakukan tugas ini, lakukanlah apa yang kamu mampu untuk menyelesaikannya.
12 Seseorang yang memberi dengan rela hati sangat diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan mahu seseorang memberi berdasarkan apa yang dimiliki,+ bukan apa yang tidak dimiliki.
13 Aku tidak berniat untuk meringankan beban orang lain dengan menambahkan beban kamu.
14 Sebaliknya, hal ini adalah supaya kelebihan kamu sekarang dapat memenuhi kekurangan mereka, dan supaya kelebihan mereka juga dapat memenuhi kekurangan kamu kelak. Dengan itu, tanggungan yang dipikul menjadi sama rata.
15 Ada tertulis, “Orang yang mempunyai banyak tidak mempunyai terlalu banyak, dan orang yang mempunyai sedikit tidak mempunyai terlalu sedikit.”+
16 Syukurlah kepada Tuhan kerana seperti kami, Titus juga sangat prihatin terhadap kamu.+
17 Dia bukan sahaja menyambut baik galakan kami, malah dia benar-benar ingin melakukan apa yang kami minta. Oleh itu, dia sendiri membuat keputusan untuk pergi kepada kamu.
18 Bersama dengan dia, kami turut mengutus seorang saudara yang dipuji di semua sidang kerana usahanya untuk menyebarkan berita baik.
19 Lagi pula, dia telah dilantik oleh sidang-sidang untuk membawa pemberian ini bersama-sama kami. Pemberian yang akan kami edarkan ini akan memuliakan Tuan kita dan akan membuktikan bahawa kami rela membantu orang lain.
20 Maka kami sangat berhati-hati semasa mengurus sumbangan yang kamu berikan dengan murah hati ini, supaya kami tidak dicela oleh sesiapa pun.+
21 Kami ‘mengendalikan segala sesuatu dengan jujur, bukan sahaja di hadapan Yehuwa,* tetapi juga di hadapan manusia.’+
22 Kami turut mengutus seorang saudara kita yang lain untuk pergi bersama dengan mereka. Kami telah mengujinya berkali-kali dan mendapati bahawa dia melakukan segala sesuatu dengan tekun. Oleh sebab dia yakin sepenuhnya terhadap kamu, dia akan berusaha dengan lebih tekun.
23 Jika sesiapa mempersoalkan kelayakan Titus, hendaklah dia tahu bahawa Titus ialah rakan sekerjaku yang berkhidmat demi kepentingan kamu. Jika sesiapa mempersoalkan kelayakan saudara-saudara yang datang bersamanya, hendaklah dia tahu bahawa mereka ialah rasul-rasul dalam sidang yang sedang memuliakan Kristus.
24 Oleh itu, buktikanlah kasih kamu kepada mereka,+ dan tunjukkanlah kepada sidang-sidang sebabnya kami membangga-banggakan kamu.