Dua Korintus 9:1-15
9 Sebenarnya aku tidak perlu menulis kepada kamu tentang bantuan* yang diberikan kepada umat suci Tuhan,+
2 kerana aku tahu bahawa kamu rela membantu. Aku membanggakan kamu di hadapan orang Kristian di Makedonia. Aku memberitahu mereka bahawa sudah setahun kamu semua yang berada di Akhaya bersedia untuk membantu. Semangat kamu yang membara sudah menyemarakkan semangat kebanyakan daripada mereka.
3 Maka sekarang aku mengutus saudara-saudara itu supaya apa yang kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap kosong belaka. Kamu haruslah bersedia untuk membantu seperti yang telah aku katakan.
4 Jika saudara-saudara dari Makedonia yang datang bersamaku mendapati bahawa kamu tidak bersedia, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu.
5 Oleh itu, aku berfikir bahawa aku perlu menggalakkan saudara-saudara itu agar pergi kepada kamu terlebih dahulu untuk mengumpulkan pemberian yang sudah kamu janjikan. Dengan demikian, apabila kami tiba, pemberian kamu yang sudah tersedia itu akan menunjukkan bahawa kamu memberikannya dengan murah hati, dan bukan secara terpaksa.
6 Berkenaan dengan hal itu, sesiapa yang bersikap kedekut semasa menabur benih akan mendapat tuaian yang sedikit, tetapi sesiapa yang murah hati semasa menabur benih akan mendapat tuaian yang banyak.+
7 Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa,+ kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.+
8 Tuhan dapat mencurahkan segala kebaikan hati-Nya yang unggul kepada kamu, supaya kamu sentiasa berkecukupan dan berlimpah-limpah dengan apa yang kamu perlukan untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.+
9 Ada tertulis, “Dia selalu murah hati dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Kebaikannya akan berkekalan.”+
10 Dia yang memberikan banyak benih untuk ditabur dan banyak roti untuk dimakan, akan memberikan dan melipatgandakan benih yang kamu tabur. Dia juga akan memberi kamu tuaian yang melimpah disebabkan perbuatan baik kamu.
11 Tuhan memberkati kamu dengan berlimpah-limpah supaya kamu dapat menunjukkan kemurahan hati dalam pelbagai cara. Dengan demikian pemberian kamu yang dikirim melalui kami akan menyebabkan ucapan syukur diberikan kepada Tuhan.
12 Hal ini demikian kerana bantuan yang kamu berikan secara melimpah itu bukan sahaja akan memenuhi keperluan umat suci Tuhan,+ malah akan menyebabkan banyak ucapan syukur diberikan kepada Tuhan.
13 Mereka akan memuliakan Tuhan kerana bantuan yang kamu berikan membuktikan bahawa kamu taat kepada berita baik tentang Kristus yang kamu isytiharkan, dan kerana kamu memberikan sumbangan dengan murah hati kepada mereka dan kepada semua orang.+
14 Mereka sangat mengasihi kamu dan mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang sangat unggul kepada kamu.
15 Marilah kita bersyukur kepada Tuhan atas kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Nota Kaki
^ Harfiah, “khidmat.”