Dua Petrus 1:1-21

  • Salam (1)

  • Tetap setia setelah dipanggil oleh Tuhan (2-15)

    • Sifat-sifat yang ditambahkan kepada iman (5-9)

  • Keyakinan akan nubuat diteguhkan (16-21)

1  Simon Petrus, seorang hamba dan rasul kepada Yesus Kristus, menulis surat ini kepada mereka yang sudah mempercayai kebenaran yang bernilai, yang juga kami miliki, melalui keadilan Tuhan kita dan Yesus Kristus, Penyelamat kita: 2  Semoga kebaikan hati yang unggul dan kedamaian dikurniakan kepada kamu secara berlimpah-limpah melalui pengetahuan yang tepat+ tentang Tuhan dan Yesus, Tuan kita. 3  Dengan kuasa Tuhan, kita telah dikurniai segala sesuatu yang diperlukan supaya hidup kita bertumpu kepada pengabdian kepada Tuhan. Kita menerima semua itu kerana kita telah memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Dia yang telah memanggil kita+ dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya. 4  Melalui kemuliaan dan kebaikan-Nya, Dia telah mengurniakan janji-janji yang berharga dan sangat menakjubkan kepada kita.+ Dengan demikian, setelah kamu melepaskan diri daripada keruntuhan akhlak dunia yang dihasilkan oleh keinginan yang salah,* kamu dapat menerima sifat Tuhan.+ 5  Itulah sebabnya kamu harus berusaha sedaya upaya+ untuk menambahkan kebaikan kepada iman kamu,+ dan kepada kebaikan kamu, tambahkanlah pengetahuan,+ 6  dan kepada pengetahuan kamu, tambahkanlah kawalan diri, dan kepada kawalan diri kamu,+ tambahkanlah ketabahan, dan kepada ketabahan kamu, tambahkanlah pengabdian diri kepada Tuhan,+ 7  dan kepada pengabdian diri kepada Tuhan, tambahkanlah kasih terhadap sesama saudara, dan kepada kasih terhadap sesama saudara, tambahkanlah kasih terhadap semua orang.+ 8  Jika kamu memiliki semua sifat ini dengan berlimpah-limpah, kamu akan terhindar daripada menjadi tidak aktif atau tidak membuahkan hasil+ sehubungan dengan pengetahuan yang tepat tentang Tuan Yesus Kristus. 9  Jika seseorang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut, dia buta kerana dia menutup matanya dan enggan melihat cahaya.*+ Dia lupa bahawa dia sudah dibersihkan daripada dosa-dosanya+ yang lampau. 10  Oleh itu saudara-saudara, sebagai orang yang sudah dipanggil+ dan dipilih oleh Tuhan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi agar kamu tetap setia. Jika kamu terus melakukan hal-hal ini, kamu tidak akan gagal sama sekali.+ 11  Melalui cara ini kamu akan diberkati dengan melimpah dan memasuki Kerajaan kekal+ Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.+ 12  Itulah sebabnya aku ingin selalu mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan sudah berakar umbi dalam kebenaran yang telah kamu pelajari. 13  Namun pada pendapatku, selagi aku berada di dalam tubuh* ini,+ aku patut mengingatkan kamu lagi tentang hal-hal ini,+ 14  kerana aku tahu bahawa aku akan meninggalkan tubuh ini tidak lama lagi sebagaimana yang telah dinyatakan dengan jelas oleh Tuan Yesus Kristus kepadaku.+ 15  Aku akan sentiasa berusaha sedaya upaya agar setelah aku pergi, kamu sendiri dapat mengingat semula* hal-hal tersebut. 16  Semasa kami memberitahu kamu tentang kuasa dan kehadiran Tuan Yesus Kristus, kami tidak bercakap berdasarkan cerita palsu yang direka dengan licik. Sebaliknya kami telah menyaksikan kemuliaannya dengan mata sendiri.+ 17  Dia telah menerima kehormatan dan kemuliaan daripada Tuhan, Bapa kita. Hal ini berlaku semasa Tuhan yang mulia berfirman kepadanya, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.”+ 18  Ya, kami mendengar suara ini dari langit semasa kami bersamanya di gunung yang suci itu. 19  Maka, keyakinan kami akan nubuat-nubuat yang disampaikan menjadi lebih teguh. Kamu patut dipuji kerana kamu memberikan perhatian kepada nubuat-nubuat sedemikian kerana nubuat-nubuat itu seperti sebuah pelita+ yang bersinar di tempat yang gelap dalam hati kamu, sehingga fajar menyingsing dan bintang fajar+ terbit. 20  Pertama sekali, kamu tahu bahawa tidak ada nubuat dalam Ayat-Ayat Suci yang berasal daripada tafsiran peribadi. 21  Hal ini demikian kerana nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia,+ tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.*+

Nota Kaki

Atau “oleh hawa nafsu.”
Atau mungkin, “dia rabun jauh malah buta.”
Harfiah, “khemah.”
Atau “dapat menyebut tentang.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.