Dua Petrus 3:1-18

  • Orang memperolokkan kedatangan hari pembinasaan (1-7)

  • Yehuwa tidak berlambat-lambat (8-10)

  • Fikirkan bagaimana kamu seharusnya hidup (11-16)

    • Langit baharu dan bumi baharu (13)

  • Berwaspada agar tidak disesatkan (17, 18)

3  Saudara-saudara yang dikasihi, inilah surat kedua yang aku tulis kepada kamu. Seperti dalam suratku yang pertama, aku ingin membangkitkan daya pemikiran kamu yang tajam dengan memberi kamu peringatan tentang perkara-perkara tertentu.+ 2  Aku berbuat demikian supaya kamu ingat akan kata-kata yang pernah diucapkan* oleh nabi-nabi suci dan juga perintah-perintah yang diberikan oleh Tuan dan Penyelamat kita kepada kamu melalui para rasul. 3  Mula-mula kamu harus tahu bahawa pada hari-hari terakhir akan muncul orang yang suka memperolok-olokkan hal-hal yang baik. Mereka akan bertindak menurut keinginan sendiri+ 4  dan berkata, “Di manakah kehadirannya yang dijanjikan itu?+ Sejak nenek moyang kita tidur dalam kematian, segala-galanya masih sama sahaja seperti pada permulaan penciptaan dunia.”+ 5  Mereka sengaja mengetepikan fakta ini: Sejak dahulu lagi, melalui firman Tuhan, ada langit, dan ada bumi yang dipisahkan daripada air dan berdiri dengan kukuh di tengah-tengah air.+ 6  Dengan air juga, dunia zaman itu telah dimusnahkan, iaitu ketika bumi dibanjiri air.+ 7  Namun melalui firman yang sama, langit dan bumi yang ada sekarang dipelihara untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga tibanya hari penghakiman dan pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan.+ 8  Namun saudara-saudara yang dikasihi, janganlah lupa akan hal ini: Bagi Yehuwa,* satu hari adalah seperti seribu tahun, dan seribu tahun adalah seperti satu hari.+ 9  Yehuwa* tidak berlambat-lambat untuk menunaikan janji-Nya,+ seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.+ 10  Tetapi hari Yehuwa*+ akan datang seperti pencuri.+ Pada hari itu, langit akan lenyap+ dengan bunyi gemuruh, unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana terlalu panas, dan bumi serta segala perbuatan yang dilakukan di dalamnya akan didedahkan.+ 11  Memandangkan semua itu akan dimusnahkan dengan cara sedemikian, fikirkanlah bagaimana kamu seharusnya hidup. Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan. 12  Hendaklah kamu berbuat demikian sementara kamu menantikan dan sentiasa mengingat akan* kehadiran hari Yehuwa.*+ Pada hari itu, langit akan lenyap+ dalam nyala api, dan unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana bahang api yang terlalu panas. 13  Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan Tuhan, iaitu langit baharu dan bumi baharu.+ Di situ perkara-perkara yang baik akan berkekalan.+ 14  Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan kamu menantikan perkara-perkara itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya pada akhirnya Dia mendapati kamu murni, tidak bercacat cela, dan dalam keadaan damai.+ 15  Anggaplah kesabaran Tuan kita sebagai peluang untuk diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, telah menulis tentang hal-hal itu dalam suratnya kepada kamu berdasarkan kebijaksanaan yang diberikan kepadanya.+ 16  Dalam semua suratnya, dia sudah menulis tentang hal-hal itu. Namun, ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Orang yang kurang pengetahuan* dan tidak mempunyai kepercayaan yang teguh telah memutarbelitkan hal-hal itu sebagaimana mereka juga memutarbelitkan bahagian-bahagian lain daripada Ayat-Ayat Suci. Akibatnya mereka mendatangkan kebinasaan kepada diri mereka sendiri. 17  Saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan awal-awal lagi kamu sudah mengetahui hal ini, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan bersama mereka oleh dusta orang jahat lalu tidak lagi berdiri dengan teguh.+ 18  Berusahalah untuk menerima lebih banyak kebaikan hati yang unggul dan pengetahuan tentang Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus. Semoga dia dimuliakan sekarang dan selama-lamanya. Amin.

Nota Kaki

Atau “hal-hal yang dinubuatkan.”
Atau “dan benar-benar menginginkan.” Harfiah, “dan mempercepat.”
Atau “yang tidak dididik.”