Dua Raja-Raja 1:1-18
-
Elia menubuatkan kematian Ahazia (1-18)
1 Selepas kematian Ahab, orang Moab+ memberontak melawan orang Israel.
2 Pada suatu hari, Ahazia terjatuh dari siling istananya* di Samaria lalu tercedera. Maka dia menghantar utusan dengan perintah berikut: “Pergilah dan dapatkan petunjuk daripada Baal-zebub, dewa di kota Ekron.+ Beta ingin mengetahui sama ada beta akan sembuh atau tidak.”+
3 Malaikat Yehuwa berkata kepada Elia,*+ orang Tisbi itu, “Bangunlah dan pergilah berjumpa dengan utusan raja Samaria. Katakan kepada mereka, ‘Mengapakah kamu pergi ke Ekron untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub? Adakah kerana tidak ada Tuhan di Israel?+
4 Itulah sebabnya Yehuwa berfirman, “Engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu, tempat engkau berbaring sekarang. Engkau pasti akan mati!”’” Selepas itu, Elia pun beredar dari sana.
5 Apabila utusan-utusan itu kembali kepada raja, raja bertanya, “Mengapakah kamu sudah kembali?”
6 Mereka menjawab, “Kami ditemui oleh seorang lelaki yang berkata, ‘Kembalilah kepada raja yang telah mengutus kamu dan katakanlah kepadanya, “Yehuwa berfirman, ‘Mengapakah engkau menghantar utusan ke Ekron untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub? Adakah kerana tidak ada Tuhan di Israel? Oleh itu, engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu, iaitu tempat engkau berbaring. Engkau pasti akan mati!’”’”+
7 Raja bertanya, “Bagaimanakah rupa lelaki yang menemui kamu dan menyampaikan pesanan ini?”
8 Mereka menjawab, “Pakaiannya diperbuat daripada bulu binatang+ dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit.”+ Raja segera berkata, “Lelaki itu ialah Elia, orang Tisbi.”
9 Kemudian raja mengutus seorang ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Pada masa itu, Elia sedang duduk di atas sebuah gunung. Ketua tentera itu naik ke situ lalu berkata kepadanya, “Wahai nabi Tuhan,+ raja memerintah kamu untuk turun.”
10 Tetapi Elia menjawabnya, “Jika aku ini nabi Tuhan, biarlah api turun dari langit+ dan melenyapkan kamu dan 50 orang askarmu.” Maka api pun turun dari langit dan melenyapkan ketua tentera itu bersama 50 orang askarnya.
11 Sekali lagi, raja mengutus seorang ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Ketua tentera itu pergi dan berkata kepada Elia, “Wahai nabi Tuhan, raja memerintah kamu untuk turun dengan segera.”
12 Tetapi Elia berkata kepada mereka, “Jika aku ini nabi Tuhan, biarlah api turun dari langit dan melenyapkan kamu dan 50 orang askarmu.” Maka Tuhan menurunkan api dari langit dan melenyapkan ketua tentera itu bersama 50 orang askarnya.
13 Kemudian, buat kali ketiga, raja mengutus seorang lagi ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Ketua tentera itu naik ke gunung lalu berlutut di depan Elia. Dia merayu kepadanya, “Wahai nabi Tuhan, tolonglah, benarkanlah aku dan 50 orang hambamu ini untuk terus hidup.
14 Sebelum ini, api turun dari langit dan melenyapkan dua orang ketua tentera bersama dengan 50 orang askar mereka. Tetapi sekarang kasihanilah aku, dan biarkanlah aku terus hidup.”
15 Maka malaikat Yehuwa memberitahu Elia, “Turunlah bersama-sama dia. Jangan takut akan dia.” Oleh itu, Elia bangun dan pergi bersama ketua tentera itu untuk menghadap raja.
16 Elia berkata kepada raja, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau menghantar utusan ke Ekron+ untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub. Tetapi mengapakah engkau tidak mendapatkan petunjuk daripada Tuhan di Israel?+ Oleh itu, engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu ini. Engkau pasti akan mati!’”
17 Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Elia, Ahazia pun meninggal. Dia tidak mempunyai anak, maka Yehoram*+ menggantikannya sebagai raja. Hal ini berlaku pada tahun kedua Yehoram+ anak Yehosafat menjadi raja Yehuda.
18 Berkenaan kisah hidup Ahazia+ yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.