2 Raja-Raja 10:1-36

  • Yehu membunuh keluarga Ahab (1-17)

    • Yehonadab menyertai Yehu (15-17)

  • Yehu membunuh penyembah Baal (18-27)

  • Ringkasan tentang pemerintahan Yehu (28-36)

10  Raja Ahab+ mempunyai 70 orang anak lelaki di Samaria. Oleh itu, Yehu menulis surat lalu mengirimkannya ke Samaria, iaitu kepada para pegawai tinggi di Yizreel, kepada para pemimpin,+ dan kepada penjaga anak-anak Ahab.* Suratnya berbunyi,  “Anak-anak tuanmu, kereta-kereta kuda, kuda-kuda, kota yang bertembok, dan semua senjata ada bersama-sama kamu. Jadi apabila kamu menerima surat ini,  pilihlah salah seorang daripada anak tuanmu yang paling baik dan paling layak* untuk duduk di atas takhta bapanya. Setelah itu, bersedialah untuk berjuang demi keluarga tuanmu.”  Tetapi mereka sangat takut lalu berkata, “Jika dua orang raja tewas di tangannya,+ apalagi kita?”  Oleh itu, pengurus istana, ketua kota, para pemimpin, dan para penjaga mengutus pesanan berikut kepada Yehu: “Kami hamba-hamba tuanku, dan kami sudi melakukan segala perintah tuanku. Kami tidak akan melantik sesiapa pun untuk menjadi raja kami. Jadi lakukanlah apa sahaja yang baik di mata tuanku.”  Kemudian Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Dia menulis, “Jika kamu memihak kepada beta dan rela mematuhi beta, bawalah kepala anak-anak tuanmu kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.” Pada waktu itu, 70 orang anak lelaki raja ada di kota bersama para pemimpin kota yang membesarkan mereka.  Sebaik sahaja para pemimpin kota itu menerima suratnya, mereka menangkap dan membunuh 70 orang anak raja.+ Mereka meletakkan kepala anak-anak raja itu ke dalam beberapa buah bakul lalu mengirimkannya kepada Yehu di Yizreel.  Selepas itu, seorang utusan masuk lalu memberitahu Yehu, “Mereka telah membawa kepala anak-anak raja.” Maka Yehu berkata, “Letakkanlah kepala mereka dalam dua longgokan di pintu gerbang kota, dan biarkannya di situ sampai pagi.”  Pada keesokan paginya, Yehu keluar dan berdiri di hadapan semua orang lalu berkata, “Kamu tidak bersalah. Betalah yang berkomplot untuk melawan tuan beta lalu membunuhnya.+ Tetapi siapakah yang telah membunuh mereka semua ini? 10  Ketahuilah bahawa Yehuwa telah melaksanakan apa yang difirmankan melalui hamba-Nya Elia.+ Setiap firman Yehuwa, ya, segala yang difirmankan oleh Yehuwa berkenaan keluarga Ahab pasti menjadi kenyataan.”+ 11  Yehu juga membunuh semua ahli keluarga Ahab yang tertinggal di Yizreel, termasuk semua pemimpin kota, sahabat, dan imamnya.+ Ya, tidak seorang pun antara mereka yang dibiarkan hidup.+ 12  Kemudian, Yehu berangkat lalu pergi ke Samaria. Dalam perjalanannya, dia lalu di sebuah tempat yang digunakan untuk menggunting bulu biri-biri.* 13  Di situ, Yehu bertembung dengan saudara-saudara Ahazia,+ raja Yehuda. Yehu bertanya, “Siapakah kamu ini?” Mereka menjawab, “Kami saudara-saudara Ahazia, dan kami dalam perjalanan untuk mengunjungi anak-anak raja dan anak-anak bonda ratu. Kami ingin tanya khabar mereka.” 14  Dengan segera dia berkata, “Tangkaplah mereka hidup-hidup!” Maka mereka ditangkap hidup-hidup dan dibunuh di perigi dekat tempat menggunting bulu biri-biri. Kesemua 42 orang itu dibunuh, dan tidak ada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ 15  Selepas Yehu bertolak dari sana, dia berjumpa dengan Yehonadab+ anak Rekhab+ yang telah keluar untuk menemuinya. Dia memberikan salam kepada Yehonadab lalu berkata, “Adakah kamu akan menyokong beta dengan sepenuh hati sebagaimana beta menyokongmu dengan sepenuh hati?” Yehonadab menjawab, “Ya.” “Jika ya, hulurkanlah tanganmu kepada beta.” Maka Yehonadab berbuat demikian dan Yehu menarik dia ke atas kereta kudanya. 16  Yehu berkata, “Ikutlah beta dan lihatlah betapa berkobarnya semangat beta untuk Yehuwa.”*+ Maka Yehu membawa Yehonadab di dalam kereta kudanya. 17  Apabila Yehu tiba di Samaria, dia membunuh semua ahli keluarga Ahab yang masih tertinggal di situ. Tidak seorang pun antara mereka yang dibiarkan hidup.+ Semua ini terjadi menurut apa yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Elia.+ 18  Seterusnya Yehu mengumpulkan semua orang dan berkata, “Ahab memang menyembah Baal,+ tetapi beta akan menyembah Baal secara besar-besaran. 19  Oleh itu, panggillah semua nabi Baal,+ semua penyembahnya, dan semua imamnya.+ Tiada seorang pun dikecualikan kerana beta akan mempersembahkan korban yang besar kepada Baal. Sesiapa yang tidak hadir akan dihukum mati.” (Inilah muslihat Yehu untuk membunuh semua penyembah Baal.) 20  Yehu menambah, “Umumkanlah satu perhimpunan suci untuk Baal.” Mereka pun berbuat demikian. 21  Kemudian Yehu mengutus orang untuk mengumumkan berita ini ke seluruh negeri Israel. Semua penyembah Baal datang, dan tidak ada seorang pun yang dikecualikan. Mereka memasuki kuil Baal+ sehingga kuil itu sesak dengan orang. 22  Dia berkata kepada orang yang mengurus tempat penyimpanan pakaian, “Keluarkanlah pakaian untuk semua penyembah Baal.” Maka orang itu pun berbuat demikian. 23  Kemudian Yehu dan Yehonadab+ anak Rekhab masuk ke dalam kuil Baal. Yehu berkata kepada penyembah Baal, “Periksalah tempat ini dengan teliti. Pastikanlah bahawa hanya penyembah Baal yang hadir di sini, dan tiada seorang pun penyembah Yehuwa yang masuk ke tempat ini.” 24  Selepas itu, mereka mula mempersembahkan korban-korban, termasuk korban bakar. Yehu telah menugaskan 80 orang di luar kuil itu dan berkata, “Jika kamu membiarkan salah seorang di dalam kuil itu melarikan diri, kamu akan dihukum mati!”* 25  Sebaik sahaja korban bakar selesai dipersembahkan, Yehu berkata kepada para pengawal dan pegawai tentera, “Masuklah ke dalam kuil dan bunuhlah mereka semua! Jangan biarkan seorang pun melarikan diri!”+ Maka mereka membunuh semua orang dengan pedang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Mereka terus berbuat demikian sehingga mereka sampai ke ruang dalaman* kuil Baal. 26  Kemudian mereka membawa keluar tugu-tugu suci*+ dari kuil Baal dan membakarnya.+ 27  Mereka menghancurkan tugu suci+ Baal dan merobohkan kuil Baal.+ Kuil itu dijadikan tandas sampai hari ini. 28  Demikianlah Yehu melenyapkan penyembahan Baal dari negeri Israel. 29  Meskipun demikian, Yehu masih mengikut haluan Yerobeam anak Nebat yang telah menyebabkan umat Israel berdosa. Dia membiarkan orang Israel terus menyembah patung-patung anak lembu emas di Bethel dan di Dan.+ 30  Maka Yehuwa berfirman kepada Yehu, “Engkau telah bertindak dengan baik dan melakukan apa yang benar di mata-Ku. Engkau telah melaksanakan semua keinginan hati-Ku berkenaan keluarga Ahab.+ Maka empat generasi anak lelakimu akan duduk di atas takhta Israel.”+ 31  Tetapi Yehu tidak mematuhi Hukum Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.+ Dia tidak berpaling daripada haluan jahat Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 32  Pada masa itu, Yehuwa membiarkan tanah orang Israel ditakluki secara beransur-ansur. Hazael terus menyerang seluruh kawasan Israel,+ 33  dari sebelah timur Sungai Yordan, semua kawasan Gilead (iaitu kawasan suku Gad, suku Ruben, dan suku Manasye),+ dari Aroer yang terletak di pinggir Lembah* Arnon, sampai ke Gilead dan Basan.+ 34  Berkenaan kisah hidup Yehu yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 35  Yehu meninggal lalu dikebumikan di Samaria. Anak lelakinya yang bernama Yehoahas+ menggantikannya sebagai raja. 36  Yehu memerintah sebagai raja Israel di Samaria selama 28 tahun.

Nota Kaki

Harfiah, “penjaga Ahab.”
Atau “paling lurus hati.”
Atau “tempat para gembala mengikat biri-biri.”
Atau “lihatlah bahawa beta tidak membiarkan orang lain bertindak tidak setia terhadap Yehuwa.”
Atau “nyawa kamu akan menggantikan nyawa orang itu.”
Harfiah, “kota,” mungkin merujuk kepada bangunan yang menyerupai sebuah kubu.
Lihat Kamus.
Atau “Wadi.”