Dua Raja-Raja 11:1-21
11 Apabila Atalya,+ iaitu ibu Ahazia, mengetahui bahawa anak lelakinya telah mati,+ dia membunuh semua kerabat diraja.+
2 Tetapi Yehosyeba, iaitu anak perempuan Raja Yehoram dan kakak kepada Ahazia, telah menyelamatkan Yehoas+ anak Ahazia daripada kalangan anak-anak raja lain yang bakal dibunuh. Dia menyembunyikan Yehoas dan pengasuhnya di dalam sebuah bilik tidur. Oleh itu, Yehoas tidak dibunuh oleh Atalya.
3 Selama enam tahun, Yehoas bersembunyi di Rumah Yehuwa sementara Atalya memerintah negeri Yehuda.
4 Pada tahun ketujuh, Yehoyada memanggil ketua-ketua atas 100 orang pengawal peribadi raja dan pengawal istana+ untuk berjumpa dengannya di Rumah Yehuwa. Dia membuat perjanjian dengan mereka di Rumah Yehuwa dan menyuruh mereka bersumpah untuk menunaikannya. Selepas itu, dia membawa anak raja untuk berjumpa dengan mereka.+
5 Dia berkata, “Inilah yang harus kamu lakukan: Apabila kamu bertugas pada hari Sabat, satu pertiga daripada kamu harus mengawal istana dengan ketat,+
6 satu pertiga daripada kamu akan mengawal Pintu Gerbang Dasar, dan satu pertiga lagi akan mengawal pintu gerbang di belakang para pengawal istana. Kamu perlu berbuat demikian secara bergilir-gilir.
7 Dua kumpulan yang tidak bertugas pada hari Sabat haruslah mengawal Rumah Yehuwa dengan ketat untuk melindungi raja.
8 Kamu harus memegang senjata dan melindungi raja dari setiap penjuru. Sesiapa yang mencuba menembusi barisan pertahanan kamu harus dibunuh. Iringilah raja ke mana sahaja baginda pergi.”
9 Ketua-ketua itu+ melakukan apa yang diperintahkan oleh Imam Yehoyada. Mereka masing-masing membawa anak buah mereka, baik yang bertugas pada hari Sabat mahupun yang tidak bertugas pada hari Sabat, untuk berjumpa dengan Imam Yehoyada.+
10 Selepas itu, Imam Yehoyada memberi ketua-ketua itu tombak dan perisai berbentuk bulat milik Raja Daud, yang disimpan di Rumah Yehuwa.
11 Para pengawal istana+ memegang senjata mereka dan pergi berkawal di tempat masing-masing. Mereka berkawal di sekeliling raja, dari sebelah kiri Rumah Tuhan sampai ke sebelah kanan, di sisi mazbah+ dan di sisi Rumah Tuhan.
12 Kemudian Yehoyada membawa anak raja+ keluar lalu mengenakan mahkota padanya dan meletakkan gulungan yang mengandungi Hukum Tuhan+ di atas kepalanya. Anak itu diurapi dan ditabalkan sebagai raja. Sambil bertepuk tangan, orang ramai bersorak, “Daulat tuanku!”+
13 Apabila Atalya mendengar orang sedang berlari dan bersorak-sorai, dia segera pergi ke Rumah Yehuwa, ke tempat mereka berkumpul.+
14 Dia nampak raja sedang berdiri di sisi tiang mengikut adat.+ Para pemimpin dan peniup trompet+ ada bersama dengan raja. Semua orang bersukacita dan meniup trompet. Maka Atalya mengoyakkan jubahnya dan berteriak, “Pengkhianat! Pengkhianat!”
15 Imam Yehoyada memberikan perintah kepada ketua-ketua atas 100 orang+ (iaitu ketua-ketua angkatan tentera), “Bawalah Atalya keluar dari barisan pengawal, dan sesiapa yang mengikutnya haruslah dibunuh dengan pedang!” Hal ini demikian kerana Yehoyada pernah berkata, “Jangan bunuh Atalya di Rumah Yehuwa.”
16 Maka mereka menangkap Atalya dan membawanya ke pintu masuk istana yang sering dilalui kuda-kuda.+ Kemudian mereka membunuhnya di situ.
17 Selepas itu, Yehoyada membuat perjanjian antara Yehuwa dengan raja dan dengan rakyat+ bahawa mereka akan terus menjadi umat Yehuwa. Dia juga membuat perjanjian antara raja dengan semua rakyat.+
18 Kemudian semua rakyat pergi ke kuil Baal dan merobohkan mazbah-mazbahnya,+ menghancurkan patung-patung berhalanya,+ dan membunuh Matan, iaitu imam Baal,+ di depan mazbah-mazbah itu.
Seterusnya Imam Yehoyada melantik beberapa orang untuk menguruskan Rumah Yehuwa.+
19 Dia juga menyuruh pengawal peribadi raja, pengawal istana,+ dan ketua-ketua atas 100 orang,+ serta semua rakyat pergi bersamanya untuk mengiringi raja yang keluar dari Rumah Yehuwa. Mereka mengikut jalan yang melalui pintu pengawal istana lalu tiba di istana. Kemudian, Yehoas duduk di atas takhta raja.+
20 Seluruh rakyat bersukacita, dan kota itu pun aman damai kerana Atalya telah dibunuh dengan pedang di istana.
21 Yehoas+ menjadi raja ketika dia berumur tujuh tahun.+