Dua Raja-Raja 12:1-21
12 Pada tahun ketujuh pemerintahan Yehu,+ Yehoas+ menjadi raja dan memerintah selama 40 tahun di Yerusalem. Ibunya ialah Zibya yang berasal dari Beer-syeba.+
2 Selama Imam Yehoyada masih hidup, Yehoas mendengar ajarannya dan melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.
3 Meskipun demikian, tempat-tempat ibadat*+ tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban dan membakarnya di situ sehingga asap naik.
4 Yehoas berkata kepada para imam, “Kumpulkanlah semua wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa sebagai persembahan suci,+ iaitu cukai yang wajib dibayar oleh setiap orang,+ bayaran yang diterima daripada orang yang membuat sumpah, dan wang yang diberikan secara sukarela.* Semuanya harus dikumpulkan untuk Rumah Yehuwa.+
5 Imam-imam akan mengumpulkan wang daripada penderma* dan menggunakannya untuk membaiki sebarang kerosakan* yang ada pada Rumah Tuhan.”+
6 Pada tahun ke-23 pemerintahan Raja Yehoas, para imam masih belum membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan.+
7 Oleh itu, Raja Yehoas memanggil Imam Yehoyada+ dan imam-imam lain. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan? Mulai sekarang, kamu tidak akan mengumpulkan wang daripada para penderma lagi. Kamu harus menyerahkan wang itu kepada orang yang akan membaiki rumah itu.”+
8 Para imam pun bersetuju untuk tidak lagi mengumpulkan wang daripada rakyat, dan tidak lagi bertanggungjawab terhadap kerja pembaikan Rumah Tuhan.
9 Kemudian Imam Yehoyada mengambil sebuah peti+ dan membuat lubang pada penutupnya. Dia meletakkan peti itu di tepi mazbah, iaitu di sebelah kanan pintu masuk Rumah Yehuwa. Imam-imam yang bertugas sebagai penjaga pintu akan mengambil wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa lalu memasukkannya ke dalam peti itu.+
10 Apabila peti itu sudah penuh dengan wang, setiausaha raja dan imam agung akan mengumpulkan* wang yang telah dibawa ke Rumah Yehuwa lalu mengiranya.+
11 Setelah wang itu dikira, wang itu akan diberikan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan Rumah Yehuwa. Mereka pula menggunakan wang itu untuk membayar tukang kayu dan jurubina yang bekerja di Rumah Yehuwa,+
12 serta untuk membayar tukang batu dan pemotong batu. Mereka juga membeli kayu dan batu yang sudah dipotong untuk membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Yehuwa. Selain itu, wang itu digunakan untuk membayar semua perbelanjaan lain untuk membaiki Rumah Tuhan.
13 Tetapi wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa itu tidak digunakan untuk membuat besen perak, alat pemadam sumbu pelita, mangkuk, atau trompet.+ Wang itu juga tidak digunakan untuk membuat sebarang perkakas emas atau perak di dalam Rumah Yehuwa.+
14 Wang itu hanya diberikan kepada mereka yang membaiki Rumah Yehuwa, dan digunakan untuk menjalankan kerja pembaikan.
15 Selepas wang itu diserahkan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan, mereka akan memberikan wang itu kepada para pekerja. Cara mereka menggunakan wang itu tidak akan dipersoalkan kerana mereka dapat dipercayai.+
16 Namun, wang bagi korban ganti rugi+ dan wang bagi korban dosa tidak dibawa ke Rumah Yehuwa kerana wang itu milik para imam.+
17 Pada masa itu, Raja Hazael+ dari Siria menyerang kota Gat+ dan dia berjaya menawannya. Selepas itu, dia bercadang untuk menyerang Yerusalem.+
18 Oleh itu, Raja Yehoas dari Yehuda mengambil semua persembahan suci yang telah ditahbiskan oleh nenek moyangnya, iaitu Yehosafat, Yehoram, dan Ahazia. (Mereka ialah raja-raja Yehuda yang memerintah sebelumnya.) Dia juga mengambil persembahan sucinya dan semua emas di dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa dan di istana. Kemudian dia memberikan semua itu kepada Hazael, raja Siria.+ Oleh itu, Raja Hazael pun berundur dari Yerusalem.
19 Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.
20 Para pegawai Yehoas bersepakat untuk memberontak terhadapnya.+ Mereka membunuhnya di tempat perlindungan*+ yang terletak di jalan yang menuju ke Sila.
21 Para pegawainya, iaitu Yosyakar anak Simeat dan Yehozabad anak Somer, telah menyerang dan membunuhnya.+ Mereka mengebumikan Yehoas bersama nenek moyangnya di Kota Daud, lalu Amazia, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.+