Dua Raja-Raja 14:1-29

  • Amazia, raja Yehuda (1-6)

  • Perang dengan Edom dan Israel (7-14)

  • Kematian Yehoas, raja Israel (15, 16)

  • Kematian Amazia (17-22)

  • Yerobeam II, raja Israel (23-29)

14  Amazia anak Raja Yehoas dari Yehuda mula memerintah pada tahun kedua pemerintahan Yehoas+ anak Yehoahas, raja Israel. 2  Amazia berumur 25 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 29 tahun. Ibunya ialah Yehoadin dari Yerusalem.+ 3  Amazia mengikut haluan bapanya, Yehoas.+ Dia terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, tetapi dia tidak seperti nenek moyangnya Daud.+ 4  Dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat,+ dan rakyat masih mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat itu sehingga asap naik.+ 5  Sebaik sahaja pemerintahannya kukuh, dia membunuh para pegawai yang telah membunuh bapanya, iaitu raja yang memerintah sebelumnya.+ 6  Tetapi dia tidak membunuh anak-anak mereka. Perbuatannya ini selaras dengan perintah Yehuwa yang tercatat dalam Hukum Musa: “Bapa tidak patut dihukum mati kerana dosa anak, dan anak tidak patut dihukum mati kerana dosa bapa. Setiap orang harus dihukum mati kerana dosa sendiri.”+ 7  Dia membunuh 10,000 orang Edom+ di Lembah Garam,+ dan menawan kota Sela.+ Kota itu dinamakan sebagai Yokteel sehingga hari ini. 8  Kemudian Amazia menghantar utusan kepada Yehoas anak Yehoahas, cucu Yehu, iaitu raja Israel. Katanya, “Marilah kita bersemuka* di medan perang.”+ 9  Raja Yehoas dari Israel membalas pesanan Raja Amazia dari Yehuda dengan berkata, “Semak berduri di Lebanon mengirim pesanan kepada pokok sedar di Lebanon, ‘Benarkanlah anak lelakiku mengahwini anak perempuanmu.’ Tetapi seekor binatang buas di Lebanon lalu di sana dan menginjak-injak semak berduri itu. 10  Tuanku telah mengalahkan Edom.+ Itulah sebabnya tuanku menjadi angkuh. Berpuas hatilah dengan kemenangan tuanku, dan tinggallah di istana. Mengapakah tuanku mencari nahas dan mendatangkan bencana kepada diri tuanku dan negeri Yehuda?” 11  Tetapi Amazia tidak mempedulikan pesanannya.+ Maka Raja Yehoas dari Israel pergi bersemuka dengan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka berperang di Bet-semes,+ yang terletak di Yehuda.+ 12  Yehuda dikalahkan oleh Israel, dan semua orang melarikan diri ke rumah* masing-masing. 13  Di Bet-semes, Raja Yehoas dari Israel menangkap Raja Amazia anak Yehoas, cucu Ahazia. Kemudian mereka pergi ke Yerusalem, dan Yehoas merobohkan tembok Yerusalem bermula dari Pintu Gerbang Efraim+ sampai ke Pintu Gerbang Sudut,+ iaitu kira-kira 178 meter* panjang. 14  Yehoas mengambil semua emas, perak, dan perkakas yang ditemuinya di Rumah Yehuwa dan di tempat penyimpanan harta istana, lalu dia kembali ke Samaria. Dia juga membawa beberapa orang tebusan bersamanya. 15  Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan bagaimana dia melawan Raja Amazia dari Yehuda, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 16  Kemudian Yehoas meninggal dan dikebumikan di Samaria+ bersama raja-raja Israel yang lain. Selepas itu, anak lelakinya, Yerobeam,*+ menggantikannya sebagai raja. 17  Amazia+ anak Yehoas, iaitu raja Yehuda, hidup 15 tahun lagi selepas kematian Yehoas+ anak Yehoahas, raja Israel.+ 18  Berkenaan kisah hidup Amazia yang lain, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 19  Di Yerusalem, beberapa orang berkomplot untuk menentang Amazia.+ Maka dia melarikan diri ke Lakhis, tetapi mereka menyuruh orang untuk mengejarnya ke Lakhis dan membunuhnya di sana. 20  Kemudian mereka membawa mayatnya dengan kuda ke Yerusalem, dan mengebumikannya bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ 21  Selepas itu, rakyat Yehuda menabalkan Azarya*+ sebagai raja untuk menggantikan bapanya Amazia.+ Pada masa itu, Azarya berusia 16 tahun.+ 22  Selepas raja* dikebumikan,+ Azarya membina semula kota Elat+ dan menjadikannya sebahagian daripada kawasan pemerintahan Yehuda. 23  Pada tahun ke-15 pemerintahan Amazia anak Yehoas, raja Yehuda, Yerobeam+ anak Raja Yehoas dari Israel mula memerintah di Samaria, dan dia memerintah selama 41 tahun. 24  Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, dan mengikut perbuatan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 25  Dia merebut semula semua kawasan yang dahulunya dimiliki Israel, dari Lebo-hamat*+ sampai ke Laut Araba.*+ Hal ini selaras dengan firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang telah disampaikan oleh Yunus+ anak Amitai, seorang nabi dari Gat-hefer.+ 26  Yehuwa telah melihat betapa teruknya penderitaan orang Israel.+ Mereka semua lemah dan tidak berdaya, dan tiada sesiapa pun yang dapat menolong mereka. 27  Tetapi Yehuwa telah berjanji bahawa Dia tidak akan melenyapkan nama Israel dari muka bumi.+ Oleh itu, Dia menyelamatkan mereka dengan tangan Yerobeam anak Yehoas.+ 28  Berkenaan kisah hidup Yerobeam yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, bagaimana dia berperang dan menjadikan Damsyik+ dan Hamat+ sebahagian daripada kawasan pemerintahan Yehuda dan Israel, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 29  Selepas itu, Yerobeam meninggal dan dikebumikan bersama raja-raja Israel yang lain. Anak lelakinya, Zakharia,+ menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Atau “berlawan.”
Harfiah, “khemah.”
Harfiah, “400 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Iaitu, Yerobeam II.
Maksudnya “Yehuwa Telah Membantu.” Dia juga dikenali sebagai Uzia di 2Ra 15:13; 2Ta 26:1-23; Yes 6:1; dan Za 14:5.
Iaitu, bapanya Amazia.
Iaitu, Laut Mati.
Atau “pintu masuk kota Hamat.”