Dua Raja-Raja 16:1-20
16 Pada tahun ke-17 pemerintahan Pekah anak Remalia, Ahas+ anak Raja Yotam dari Yehuda menjadi raja.
2 Ahas menjadi raja apabila dia berusia 20 tahun, dan dia memerintah di Yerusalem selama 16 tahun. Dia tidak seperti nenek moyangnya Daud, yang melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, Tuhannya.+
3 Dia mengikut haluan hidup raja-raja Israel,+ dan bahkan membakar anak lelakinya di dalam api.*+ Dia mengikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa+ yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.
4 Selain itu, dia sering mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat tinggi+ sehingga asap naik. Dia juga berbuat demikian di atas bukit, dan di bawah setiap pokok yang subur.+
5 Raja Rezin dari Siria dan Pekah anak Raja Remalia dari Israel datang menyerang Ahas yang berada di Yerusalem.+ Mereka mengepung kota itu tetapi tidak dapat menawannya.
6 Pada waktu itu, Raja Rezin dari Siria telah mengembalikan kota Elat+ kepada orang Edom dan mengusir orang Yahudi* dari kota itu. Oleh itu, orang Edom menduduki kota Elat sehingga hari ini.
7 Ahas menghantar utusan kepada Raja Tiglat-pileser+ dari Assyria. Katanya, “Beta ialah anak dan hamba tuanku. Datanglah dan selamatkanlah beta daripada tangan raja Siria dan raja Israel yang sedang menyerang beta.”
8 Kemudian Ahas mengambil perak dan emas yang ada di Rumah Yehuwa dan di tempat penyimpanan harta istana, lalu memberikannya kepada raja Assyria sebagai rasuah.+
9 Raja Assyria pun mendengar permintaan Ahas. Dia pergi menyerang Damsyik dan menaklukinya lalu membunuh Rezin.+ Dia juga membawa penduduk Damsyik ke Kir sebagai orang tawanan.+
10 Raja Ahas pergi ke Damsyik untuk berjumpa dengan Raja Tiglat-pileser dari Assyria. Apabila Raja Ahas nampak mazbah yang ada di situ, dia mengirim pelan yang mengandungi gambar rajah dan cara membuat mazbah itu kepada Imam Uria.+
11 Maka Imam Uria+ membina sebuah mazbah+ mengikut pelan yang telah dikirimkan oleh Raja Ahas dari Damsyik. Sebelum Raja Ahas kembali, Imam Uria telah menyiapkan mazbah itu.
12 Apabila Raja Ahas kembali dari Damsyik dan nampak mazbah itu, dia menghampiri mazbah itu lalu mempersembahkan korban di atasnya.+
13 Setelah itu, dia mempersembahkan korban bakar dan korban bijirin, lalu membakarnya sehingga asap naik. Dia juga mencurahkan korban wain dan memercikkan darah korban pendamaian ke atas mazbah.
14 Kemudian dia memindahkan mazbah tembaga+ yang terletak di hadapan Rumah Tuhan (yang ada di hadirat Yehuwa) ke sebelah utara mazbahnya. Pada mulanya, mazbah tembaga itu terletak di antara Rumah Yehuwa dan mazbah Raja Ahas.
15 Raja Ahas memberikan perintah kepada Imam Uria,+ “Persembahkanlah korban bakar* yang dipersembahkan pada waktu pagi+ dan korban bijirin yang dipersembahkan pada waktu petang.+ Selain itu, persembahkanlah korban bakar dan korban bijirin yang diberikan oleh raja, serta korban bakar, korban bijirin, dan korban wain yang diberikan oleh rakyat. Persembahkanlah korban-korban itu di atas mazbah besar itu. Kamu juga harus memercikkan semua darah dari korban bakar dan semua darah dari korban-korban lain ke atas mazbah itu. Berkenaan mazbah tembaga itu, biarlah beta memutuskan bagaimana beta akan menggunakannya.”
16 Uria pun melakukan segala yang diperintahkan oleh Raja Ahas.+
17 Selain itu, Raja Ahas memotong bahagian tepi pedati+ menjadi beberapa bahagian lalu memindahkan besen yang ada di atas pedati-pedati itu.+ Dia juga mengambil Laut Tembaga yang disokong oleh patung-patung lembu tembaga,+ lalu meletakkannya di atas lantai berbatu.+
18 Selain itu, Ahas memindahkan laluan berbumbung yang dibina di Rumah Tuhan untuk kegunaan hari Sabat ke tempat lain. Dia juga memindahkan pintu yang sering digunakan oleh raja-raja semasa mereka memasuki Rumah Yehuwa. Dia berbuat demikian kerana dia takut kepada raja Assyria.
19 Berkenaan kisah hidup Ahas yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+
20 Ahas meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anak lelakinya Hizkia*+ menggantikannya sebagai raja.