Dua Raja-Raja 21:1-26
21 Manasye+ menjadi raja semasa dia berusia 12 tahun, dan dia memerintah di Yerusalem selama 55 tahun.+ Ibunya bernama Hefzibah.
2 Manasye melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Dia mengikut amalan jijik bangsa-bangsa+ yang telah dihalau oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+
3 Dia membina semula tempat-tempat pemujaan yang telah dimusnahkan oleh bapanya Hizkia.+ Dia juga membina mazbah untuk Baal dan mendirikan tiang-tiang suci*+ seperti yang dilakukan oleh Raja Ahab dari Israel.+ Selain itu, dia sujud menyembah segala sesuatu di langit.+
4 Walaupun Yehuwa pernah berfirman mengenai Rumah-Nya, “Aku akan meletakkan nama-Ku di Yerusalem,”+ Manasye masih membina mazbah-mazbah di dalam Rumah Yehuwa.+
5 Di kedua-dua halaman Rumah Yehuwa,+ dia membina mazbah-mazbah yang digunakan untuk menyembah segala sesuatu yang ada di langit.+
6 Dia membakar anak-anak lelakinya di dalam api,* mengamalkan ilmu sihir, mencari petanda,+ melantik bomoh, dan melantik tukang tilik.+ Dia membangkitkan kemurkaan Yehuwa dengan melakukan begitu banyak dosa di hadapan-Nya.
7 Dia telah membina patung berhala yang menyerupai tiang-tiang suci+ dan meletakkannya di dalam Rumah Tuhan, padahal mengenai rumah itu, Yehuwa pernah berfirman kepada Daud dan anaknya Salomo, “Aku akan meletakkan nama-Ku secara kekal di rumah ini dan di Yerusalem, kota yang telah Aku pilih dari seluruh kawasan suku Israel.+
8 Jika orang Israel mematuhi segala perintah yang telah Aku berikan,+ iaitu Hukum yang telah disampaikan oleh Musa, hamba-Ku, Aku tidak lagi akan menghalau mereka keluar dari negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.”+
9 Namun, orang Israel tidak mematuhi-Nya, dan Manasye asyik menyesatkan mereka dan menyebabkan mereka melakukan dosa yang lebih besar daripada dosa bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+
10 Melalui para nabi, iaitu hamba-hamba-Nya, Yehuwa terus berfirman,+
11 “Raja Manasye dari Yehuda telah melakukan semua perkara yang menjijikkan ini. Dia lebih jahat daripada semua orang Amori+ yang hidup sebelumnya.+ Dengan berhala-berhala yang menjijikkan,* dia telah menyebabkan orang Yehuda berbuat dosa.
12 Oleh itu, inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka yang teruk sekali atas Yerusalem+ dan Yehuda sehingga sesiapa yang mendengar tentangnya akan terkejut.+
13 Tali pengukur+ yang telah Aku gunakan pada Samaria,+ dan tali unting* yang telah Aku gunakan pada keluarga Ahab,+ akan Aku gunakan pada Yerusalem. Aku akan membersihkan Yerusalem seperti seseorang membersihkan mangkuk dengan kain lap lalu menterbalikkannya.+
14 Aku akan meninggalkan sisa warisan-Ku+ dan menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh. Mereka akan ditawan dan harta milik mereka akan dijarah oleh musuh mereka.+
15 Hal ini demikian kerana mereka melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan sering membangkitkan kemurkaan-Ku sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga hari ini.’”+
16 Selain menyebabkan orang Yehuda berdosa dan melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, Manasye juga membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah. Dia menyebabkan darah mereka memenuhi seluruh Yerusalem, iaitu dari satu hujung ke hujung yang lain.+
17 Berkenaan kisah hidup Manasye yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya dan dosa-dosanya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.
18 Selepas itu, Manasye meninggal lalu dikebumikan di taman istananya, iaitu di taman Uza.+ Anak lelakinya, Amon, menggantikannya sebagai raja.
19 Amon+ berusia 22 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama dua tahun.+ Ibunya ialah Mesulemet anak Haruz dari Yotba.
20 Amon terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa seperti bapanya Manasye.+
21 Dia sentiasa mengikut haluan bapanya. Seperti bapanya, dia sentiasa sujud menyembah patung-patung berhala yang menjijikkan.+
22 Dia meninggalkan Yehuwa, Tuhan nenek moyangnya, dan enggan hidup menurut haluan Yehuwa.+
23 Akhirnya, hamba-hamba Amon membelot lalu membunuhnya di dalam istananya sendiri.
24 Tetapi rakyat negeri itu membunuh semua orang yang membelot terhadap Raja Amon, lalu menjadikan anaknya Yosia sebagai raja.+
25 Berkenaan kisah hidup Amon yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.
26 Mereka mengebumikan Amon di kuburannya, di taman Uza.+ Lalu anak lelakinya Yosia+ menggantikannya sebagai raja.