Dua Raja-Raja 24:1-20

  • Pemberontakan Yehoyakim dan kematiannya (1-7)

  • Yehoyakhin, raja Yehuda (8, 9)

  • Kali pertama tawanan dibawa ke Babilon (10-17)

  • Zedekia, raja Yehuda; pemberontakannya (18-20)

24  Pada masa pemerintahan Yehoyakim, Raja Nebukadnezar+ dari Babilon datang menyerangnya. Selama tiga tahun, Yehoyakim menjadi hamba Nebukadnezar, tetapi kemudian dia memberontak. 2  Yehuwa menghantar kumpulan perompak dari Kasdim,+ Siria, Moab, dan Ammon untuk menyerangnya dan memusnahkan Yehuda. Hal ini terjadi selaras dengan firman Yehuwa+ yang disampaikan melalui para nabi-Nya. 3  Sememangnya, semua kejadian ini berlaku atas perintah Yehuwa untuk menyingkirkan Yehuda dari pandangan-Nya,+ kerana semua dosa yang telah dilakukan oleh Manasye.+ 4  Manasye telah menumpahkan darah orang yang tidak bersalah+ sehingga darah mereka memenuhi seluruh Yerusalem, dan Yehuwa tidak mahu memberikan pengampunan.+ 5  Berkenaan kisah hidup Yehoyakim yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ 6  Selepas itu, Yehoyakim meninggal+ lalu anaknya Yehoyakhin menggantikannya sebagai raja. 7  Sejak itu, raja Mesir tidak lagi menghantar askar keluar dari negerinya kerana raja Babilon telah mengambil segala wilayah miliknya,+ dari Wadi* Mesir+ sampai ke Sungai Efrat.+ 8  Yehoyakhin+ berusia 18 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama tiga bulan.+ Ibunya ialah Nehusta anak Elnatan dari Yerusalem. 9  Yehoyakhin mengikut haluan bapanya dan terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. 10  Pada masa itu, para pegawai Raja Nebukadnezar dari Babilon menyerang Yerusalem dan mengepungnya.+ 11  Raja Nebukadnezar pergi ke kota itu ketika para pegawainya sedang mengepung kota itu. 12  Raja Yehoyakhin dari Yehuda bersama ibunya, para pegawainya, pemimpinnya, dan pegawai istananya+ menyerah diri kepada raja Babilon.+ Raja Babilon pun mengambil Yehoyakhin sebagai tawanan pada tahun kelapan pemerintahannya.+ 13  Kemudian raja Babilon mengambil semua harta di Rumah Yehuwa dan di istana.+ Dia mengambil semua perkakas emas di Rumah Yehuwa yang dibuat oleh Salomo, raja Israel,+ lalu memotongnya menjadi beberapa bahagian. Hal ini terjadi tepat seperti yang telah dinubuatkan oleh Yehuwa. 14  Raja juga membawa semua penduduk Yerusalem, termasuk pemimpin,+ pahlawan yang gagah, tukang seni, dan tukang besi,*+ sebagai tawanan. Jumlah yang ditawannya ialah 10,000 orang. Tiada seorang pun yang ditinggalkan di negeri itu kecuali rakyat yang paling miskin.+ 15  Raja Nebukadnezar membawa Yehoyakhin+ ke Babilon sebagai tawanan.+ Raja juga membawa ibu Yehoyakhin, isteri-isterinya, para pegawai istananya, dan orang yang terkemuka, dari Yerusalem ke Babilon. 16  Raja membawa semua orang yang pandai berperang ke Babilon sebagai tawanan. Dalam kalangan mereka, terdapat 7,000 orang pahlawan, dan 1,000 orang tukang seni dan tukang besi.* 17  Raja Babilon menjadikan Matania, iaitu bapa saudara Yehoyakhin,+ sebagai raja untuk menggantikan Yehoyakhin. Dia juga menukar nama Matania kepada Zedekia.+ 18  Zedekia berusia 21 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 11 tahun. Ibunya ialah Hamutal+ anak Yeremia dari Libna. 19  Zedekia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti Yehoyakim.+ 20  Yerusalem dan Yehuda ditimpa malapetaka kerana Yehuwa murka terhadap penduduknya dan ingin menyingkirkan mereka dari pandangan-Nya.+ Kemudian Zedekia memberontak terhadap raja Babilon.+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau mungkin, “pembina benteng.”
Atau mungkin, “pembina benteng.”