2 Raja-Raja 6:1-33

  • Elisa mengapungkan kepala kapak (1-7)

  • Elisa melawan orang Siria (8-23)

    • Mata pembantu Elisa terbuka (16, 17)

    • Orang Siria menjadi “buta” (18, 19)

  • Samaria dikepung; kebuluran (24-33)

6  Sekumpulan nabi*+ berkata kepada Elisa, “Lihatlah! Tempat tinggal kita sekarang terlalu sempit!  Benarkanlah kami pergi ke Sungai Yordan. Di sana, kami masing-masing akan mengambil sebatang kayu balak lalu membina sebuah tempat tinggal untuk kami.” Dia berkata, “Pergilah.”  Salah seorang daripada mereka bertanya, “Sudikah tuan pergi bersama kami?” Dia menjawab, “Baiklah.”  Maka dia pun pergi bersama mereka. Apabila mereka tiba di Sungai Yordan, mereka mula menebang pokok-pokok.  Semasa salah seorang daripada mereka sedang menebang pokok, kepala kapaknya terjatuh ke dalam air. Lalu dia berteriak, “Alamak! Tuan, kapak itu aku pinjam daripada orang lain!”  Maka Nabi Elisa berkata, “Di manakah kepala kapak itu terjatuh?” Lelaki itu menunjukkan tempatnya kepada Elisa. Kemudian Elisa memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke tempat itu. Maka, terapunglah kepala kapak itu di permukaan air.  Elisa berkata, “Ambillah kepala kapak itu.” Maka lelaki itu menghulurkan tangannya lalu mengambilnya.  Pada suatu ketika, raja Siria pergi berperang melawan Israel.+ Setelah berbincang dengan para pegawainya, dia memberitahu mereka tempat mereka harus mendirikan khemah.  Tetapi Nabi Elisa+ menghantar pesanan berikut kepada raja Israel: “Janganlah lalu di tempat itu, kerana di situlah orang Siria akan turun untuk menyerang kamu.” 10  Raja Israel pun memberikan amaran kepada orang yang berada di tempat itu. Elisa berkali-kali memberikan amaran kepada raja Israel. Dengan demikian, raja Israel selalu dapat menjauhkan diri dari tempat-tempat itu.+ 11  Hal ini membuat raja Siria menjadi sangat marah. Dia memanggil para pegawainya lalu berkata, “Beritahulah beta, siapa antara kamu yang berpihak kepada raja Israel?” 12  Salah seorang pegawainya berkata, “Bukan kami, tuanku! Ada seorang yang tahu tentang hal-hal yang tuanku ucapkan di bilik tuanku sendiri. Orangnya ialah Elisa, seorang nabi di Israel. Dialah yang memberitahukan semuanya kepada raja Israel.”+ 13  Raja Siria berkata, “Pergilah dan carilah dia. Beta mahu mengutus orang untuk menangkapnya.” Beberapa lama kemudian, raja diberitahu bahawa Elisa berada di Dotan.+ 14  Dengan segera, raja mengutus sepasukan askar yang besar bilangannya bersama kuda-kuda dan kereta kuda ke situ. Mereka tiba di kota itu pada waktu malam lalu mengepungnya. 15  Pada awal pagi keesokan harinya, pembantu Nabi Elisa bangun lalu pergi ke luar. Dia nampak sepasukan askar dengan kuda-kuda dan kereta kuda mengepung kota itu. Pembantu itu serta-merta memberitahu Elisa, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” 16  Elisa berkata, “Jangan takut,+ sebab yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai mereka.”+ 17  Lalu Elisa mula berdoa, “Ya Yehuwa, bukalah mata pembantuku supaya dia dapat melihat.”+ Pada saat itu juga Yehuwa membuka mata pembantu Elisa, dan dia nampak kawasan pergunungan itu penuh dengan kuda-kuda berapi dan kereta kuda berapi+ di sekeliling Elisa.+ 18  Apabila tentera Siria mula mara ke depan, Elisa berdoa kepada Yehuwa, “Butakanlah mata mereka.”+ Maka Tuhan membutakan mata mereka seperti yang diminta oleh Elisa. 19  Kemudian, Elisa berkata kepada mereka, “Ini bukan jalannya, dan ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah aku. Aku akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari.” Tetapi, Elisa pula membawa mereka ke Samaria.+ 20  Apabila mereka tiba di Samaria, Elisa berdoa, “Ya Yehuwa, bukalah mata mereka agar mereka dapat melihat.” Maka Yehuwa pun membuka mata mereka, lalu mereka nampak bahawa mereka berada di tengah-tengah Samaria. 21  Ketika raja Israel nampak mereka, dia bertanya kepada Elisa, “Tuan, patutkah beta membunuh mereka?” 22  Elisa menjawab, “Adakah tuanku akan membunuh tawanan tuanku dengan pedang dan busur? Janganlah bunuh mereka. Berilah mereka roti dan air supaya mereka dapat makan dan minum+ lalu pulang kepada tuan mereka.” 23  Oleh itu, raja mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk mereka. Selepas mereka makan dan minum, mereka dihantar kembali kepada tuan mereka. Sejak itu, kumpulan perompak dari Siria+ tidak lagi pergi ke negeri Israel. 24  Beberapa lama kemudian, Raja Ben-hadad dari Siria mengumpulkan pasukan tenteranya lalu pergi mengepung Samaria.+ 25  Akibatnya, kebuluran yang dahsyat+ menimpa Samaria sehingga kepala keldai+ pun berharga 80 keping wang perak, dan bahkan sedikit* tahi burung merpati berharga 5 keping wang perak. 26  Semasa raja Israel sedang berjalan di atas tembok, seorang wanita berseru kepadanya, “Wahai tuanku! Bantulah kami!” 27  Raja menjawab, “Jika Yehuwa tidak membantu kamu, dari mana beta dapat mencari bantuan bagimu? Dari tempat mengirik* gandum? Dari tempat memeras anggur atau minyak?” 28  Raja bertanya, “Apakah masalah kamu?” Wanita itu menjawab, “Seorang wanita berkata kepada hamba, ‘Serahkanlah anak lelakimu. Hari ini, kita akan memakannya. Esok pula kita akan memakan anak lelakiku.’+ 29  Maka kami memasak anak lelaki hamba dan memakannya.+ Pada hari yang seterusnya, hamba berkata kepada wanita itu, ‘Serahkanlah anak lelakimu agar kita dapat memakannya.’ Tetapi dia pula menyembunyikan anaknya.” 30  Sebaik sahaja raja Israel mendengar kata-kata wanita itu, dia mengoyakkan pakaiannya.+ Semasa dia berjalan di atas tembok, rakyatnya dapat melihat bahawa dia sedang memakai kain guni di sebelah dalam pakaiannya. 31  Selepas itu, raja berkata, “Biarlah Tuhan menghukum beta, dan melipatgandakan hukuman-Nya atas beta, jika kepala Elisa anak Safat tidak dipancung hari ini!”+ 32  Pada masa itu, Elisa sedang duduk di rumahnya bersama para pemimpin. Raja Israel menghantar utusan kepada Elisa, tetapi sebelum utusan itu tiba, Elisa berkata kepada para pemimpin itu, “Lihatlah! Anak si pembunuh itu+ telah mengutus orang untuk memenggal kepalaku. Apabila orang itu datang, kamu harus menutup pintu, dan tahanlah pintu itu dari dalam agar dia tidak dapat masuk. Tuannya akan datang menyusulinya.” 33  Sementara Elisa masih sedang bercakap dengan mereka, utusan raja Israel sampai di situ lalu raja berkata, “Yehuwalah yang telah mendatangkan malapetaka ini. Jadi apa gunanya beta menantikan Yehuwa?”

Nota Kaki

Harfiah, “Anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.
Harfiah, “satu perempat kab.” Lihat Lampiran B14.
Proses memisahkan buah daripada tangkai.