Dua Raja-Raja 7:1-20
7 Elisa berkata, “Dengarkanlah firman Yehuwa. Inilah apa yang difirmankan oleh Yehuwa: ‘Esok, sekitar waktu ini, di pasar* kota Samaria, satu bekas* tepung yang bermutu tinggi akan bernilai satu keping wang perak,* dan dua bekas* barli akan bernilai satu keping wang perak.’”+
2 Tetapi pegawai tentera yang dipercayai oleh raja berkata kepada Nabi Elisa, “Meskipun Yehuwa membuka pintu-pintu langit, dapatkah hal itu betul-betul berlaku?”+ Maka Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikan hal itu dengan matamu sendiri,+ tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”+
3 Ada empat orang pesakit kusta yang sedang duduk di pintu gerbang kota.+ Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita duduk di sini dan menunggu maut?
4 Jika kita masuk ke dalam kota,+ kita akan mati kebuluran di sana. Jika kita duduk di sini, kita pun akan mati juga. Jadi lebih baik kita pergi ke perkhemahan orang Siria. Jika mereka membunuh kita, biarlah kita mati. Tetapi siapa tahu mungkin mereka akan membiarkan kita hidup.”
5 Oleh itu, apabila hari mulai senja, mereka berangkat ke perkhemahan orang Siria. Apabila mereka tiba di luar perkhemahan itu, mereka mendapati bahawa tiada orang di situ.
6 Hal ini demikian kerana Yehuwa telah menyebabkan orang Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera yang besar telah datang untuk menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda.+ Oleh itu, mereka berkata kepada satu sama lain, “Lihatlah! Raja Israel telah mengupah raja-raja orang Het dan raja-raja orang Mesir untuk menyerang kita!”
7 Maka, pada waktu itu juga mereka melarikan diri dan meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka. Ya, mereka meninggalkan seluruh perkhemahan itu untuk menyelamatkan diri.
8 Ketika keempat-empat pesakit kusta itu tiba di perkhemahan orang Siria, mereka masuk ke dalam salah sebuah khemah lalu makan dan minum. Mereka juga mengambil perak, emas, dan pakaian di situ lalu menyembunyikan semuanya. Kemudian, mereka kembali ke kawasan itu lalu masuk ke dalam khemah yang lain. Mereka juga mengambil barang-barang di khemah itu lalu menyembunyikannya.
9 Akhirnya mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa yang kita lakukan ini tidak baik. Kita harus memberitahu orang lain tentang berita baik ini! Jika kita terus berdiam diri dan menunggu sehingga waktu subuh, kita akan dihukum. Marilah kita pergi kepada para pegawai raja dan melaporkan hal ini kepada mereka.”
10 Maka mereka pun pergi dan berseru kepada pengawal-pengawal pintu gerbang kota, “Kami telah pergi ke perkhemahan orang Siria tetapi kami tidak mendengar suara sesiapa pun di situ. Kami juga mendapati bahawa tiada seorang pun di perkhemahan itu. Kuda dan keldai mereka masih terikat, dan khemah-khemah mereka ditinggalkan begitu sahaja.”
11 Dengan serta-merta, pengawal di pintu kota mengumumkan berita itu, lalu berita itu disampaikan ke istana raja.
12 Pada malam itu juga, raja bangun lalu berkata kepada para pegawainya, “Beta akan memberitahu kamu rancangan orang Siria. Mereka tahu bahawa kita kelaparan.+ Oleh itu, mereka meninggalkan perkhemahan mereka lalu bersembunyi di padang. Mereka berkata, ‘Apabila orang Israel keluar dari kota, kita akan tangkap mereka hidup-hidup. Selepas itu, kita akan masuk ke dalam kota mereka.’”+
13 Kemudian salah seorang pegawainya berkata, “Tuanku, masih ada lima ekor kuda di kota ini. Pilihlah beberapa orang dan hantar mereka ke perkhemahan itu untuk melihat keadaan di sana. Tidak kira sama ada mereka tinggal di kota ini atau pergi ke sana, mereka pun akan mati juga.”
14 Maka mereka pun mengambil dua buah kereta kuda. Lalu raja mengutus mereka ke perkhemahan orang Siria untuk menyiasat apa yang telah berlaku.
15 Mereka membuat perjalanan sampai ke Sungai Yordan. Di sepanjang jalan itu, orang Siria telah meninggalkan banyak pakaian dan perkakas semasa mereka melarikan diri dengan terburu-buru. Maka para utusan itu kembali ke kota dan melaporkan hal tersebut kepada raja.
16 Orang Israel pun keluar untuk menjarah perkhemahan orang Siria. Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa, satu bekas tepung yang bermutu tinggi bernilai satu keping wang perak, dan dua bekas barli bernilai satu keping wang perak.+
17 Raja telah melantik pegawai tentera yang dipercayainya itu untuk bertugas di pintu gerbang kota. Tetapi pegawai itu telah dipijak-pijak oleh orang ramai sampai mati. Hal itu berlaku tepat seperti yang dikatakan oleh nabi Tuhan semasa raja datang berjumpa dengannya.
18 Ya, semuanya telah berlaku seperti yang dikatakan oleh nabi Tuhan kepada raja: “Esok, sekitar waktu ini, di pasar kota Samaria, satu bekas tepung yang bermutu tinggi akan bernilai satu keping wang perak, dan dua bekas barli akan bernilai satu keping wang perak.”+
19 Tetapi pegawai tentera itu telah berkata kepada Nabi Elisa, “Meskipun Yehuwa membuka pintu-pintu langit, dapatkah hal itu betul-betul berlaku?” Maka Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikan hal itu dengan matamu sendiri, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”
20 Itulah yang telah berlaku kepada pegawai itu. Dia mati dipijak-pijak oleh orang ramai di pintu gerbang kota itu.
Nota Kaki
^ Atau “gerbang.”
^ Harfiah, “1 seah.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “1 syekel.” Lihat Lampiran B14.
^ Harfiah, “2 seah.”