Dua Raja-Raja 8:1-29
8 Elisa berkata kepada wanita itu (anak lelaki wanita itu telah dibangkitkan* oleh Elisa sebelum ini),+ “Berangkatlah dari tempat ini bersama seisi keluargamu. Pergilah ke mana sahaja kamu mahu, dan tinggallah di situ sebagai orang asing, kerana Yehuwa telah berfirman bahawa negeri ini akan dilanda kebuluran+ selama tujuh tahun.”
2 Wanita itu menurut nasihat yang diberikan oleh Nabi Elisa lalu berangkat dari situ. Dia dan keluarganya telah pergi ke negeri Filistin,+ dan mereka tinggal di sana selama tujuh tahun.
3 Selepas tujuh tahun, wanita itu meninggalkan negeri Filistin lalu pergi menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya dikembalikan kepadanya.
4 Pada masa itu, raja sedang bercakap dengan Gehazi, pembantu Nabi Elisa. Raja berkata kepada Gehazi, “Ceritakanlah kepada beta hal-hal menakjubkan yang telah dilakukan oleh Elisa.”+
5 Maka Gehazi pun menceritakan bagaimana Elisa membangkitkan orang mati.+ Sedang dia bercerita, wanita yang anak lelakinya telah dibangkitkan oleh Elisa datang menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya dikembalikan kepadanya.+ Oleh itu, Gehazi segera berkata, “Tuanku, inilah wanita itu, dan inilah anak lelakinya yang telah dibangkitkan oleh Elisa.”
6 Raja pun meminta wanita itu untuk menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah wanita itu menceritakan semuanya, raja menugaskan seorang pegawai istana untuk mengembalikan segala harta milik wanita itu, dan semua hasil ladangnya sejak dia meninggalkan tanahnya.
7 Semasa Ben-hadad,+ iaitu raja Siria, sedang sakit, Elisa ada di Damsyik.+ Maka ada orang memberitahu raja, “Nabi Elisa+ ada di negeri ini.”
8 Oleh itu, raja berkata kepada Hazael,+ “Bawalah hadiah bersamamu dan pergilah berjumpa dengan nabi itu.+ Suruhlah dia bertanya kepada Yehuwa, ‘Adakah beta akan sembuh?’”
9 Hazael pun pergi berjumpa dengan nabi itu. Dia membawa segala macam hadiah yang terbaik dari Damsyik dan memuatkan semuanya pada 40 ekor unta. Apabila dia menemui nabi itu, dia berkata, “Hamba tuan, iaitu Raja Ben-hadad dari Siria, telah menyuruh aku untuk bertanya kepada tuan sama ada penyakitnya akan sembuh atau tidak.”
10 Elisa menjawab, “Pergilah beritahu raja, ‘Tuanku pasti akan sembuh.’ Tetapi Yehuwa juga memberitahu aku bahawa baginda pasti akan mati.”+
11 Selepas itu, dia merenung Hazael sehingga Hazael berasa tidak selesa. Tiba-tiba Nabi Elisa menangis.
12 Hazael pun bertanya, “Mengapakah tuan menangis?” Elisa menjawab, “Sebab aku tahu perkara dahsyat yang akan kamu lakukan terhadap orang Israel.+ Kamu akan membakar kubu-kubu mereka. Kamu akan membunuh askar-askar terbaik mereka dengan pedang. Kamu akan membunuh anak-anak mereka dengan kejam. Kamu juga akan membelah perut wanita mereka yang hamil.”+
13 Hazael berkata, “Bagaimanakah hambamu yang hina ini* mampu berbuat demikian?” Elisa berkata, “Yehuwa telah memberitahu aku bahawa kamu akan menjadi raja Siria.”+
14 Kemudian dia meninggalkan Elisa dan pulang menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Apakah yang dikatakan oleh Elisa kepadamu?” Dia menjawab, “Elisa memberitahu hamba bahawa tuanku pasti akan sembuh.”+
15 Tetapi pada keesokan harinya, Hazael mengambil sehelai selimut, mencelupkannya ke dalam air lalu menekankan selimut itu pada muka raja sehingga raja sesak nafas dan mati.+ Kemudian Hazael menggantikan Ben-hadad sebagai raja.+
16 Pada tahun kelima pemerintahan Yehoram+ anak Ahab, raja Israel, Yehosafat sedang memerintah di Yehuda. Pada waktu itu, Yehoram+ anak Yehosafat menjadi raja.
17 Yehoram berumur 32 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama lapan tahun.
18 Oleh sebab dia mengahwini anak perempuan Ahab,+ dia mengikut jejak raja-raja Israel,+ seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab.+ Ya, Yehoram terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+
19 Tetapi demi hamba-Nya Daud, Yehuwa tidak ingin memusnahkan Yehuda.+ Hal ini demikian kerana Dia telah berjanji bahawa Daud akan sentiasa mempunyai seorang keturunan yang menjadi raja.*+
20 Pada zaman pemerintahan Yehoram, orang Edom memberontak terhadap Yehuda+ dan menabalkan raja sendiri.+
21 Maka Yehoram pergi ke Zair dengan semua kereta kudanya. Pada waktu malam, Yehoram bangkit dan mengalahkan orang Edom yang telah mengepungnya dan ketua-ketua pasukan kereta kudanya. Orang Edom pun melarikan diri dan pulang ke khemah masing-masing.
22 Namun demikian, Edom tetap memberontak terhadap Yehuda sampai hari ini. Pada masa itu juga, Libna+ memberontak terhadap Yehuda.
23 Berkenaan kisah hidup Yehoram yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.
24 Yehoram meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ Kemudian anak lelakinya yang bernama Ahazia+ menggantikannya sebagai raja.
25 Ahazia anak kepada Raja Yehoram dari Yehuda menjadi raja pada tahun ke-12 pemerintahan Yehoram anak Ahab, raja Israel.+
26 Ahazia berumur 22 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama setahun. Ibunya ialah Atalya,+ cucu* kepada Raja Omri+ dari Israel.
27 Oleh sebab dia mempunyai hubungan keluarga dengan Ahab, dia mengikut jejak mereka.+ Dia sentiasa melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti keluarga Ahab.+
28 Dia pergi bersama Yehoram anak Ahab ke Ramot-gilead+ untuk melawan Raja Hazael dari Siria, dan tentera Siria telah mencederakan Yehoram.+
29 Memandangkan Raja Yehoram tercedera di Rama* semasa dia melawan Raja Hazael dari Siria,+ dia telah kembali ke Yizreel+ supaya luka-lukanya sembuh. Maka Ahazia anak Yehoram, raja Yehuda, telah pergi ke Yizreel untuk melawat Yehoram anak Ahab yang tercedera.*