Dua Samuel 1:1-27
1 Selepas kematian Saul, Daud pulang setelah dia mengalahkan orang Amalek, dan dia tinggal di Ziklag+ selama dua hari.
2 Pada hari ketiga, seorang pemuda datang dari perkhemahan Saul. Pakaiannya sudah koyak rabak dan kepalanya ditaburi dengan tanah. Dia datang kepada Daud dan membongkok lalu bersujud ke tanah.
3 Daud bertanya, “Kamu datang dari mana?” Dia menjawab, “Aku telah melarikan diri dari perkhemahan orang Israel.”
4 Daud bertanya lagi, “Beritahulah aku, bagaimana keadaan di sana?” Pemuda itu menjawab, “Askar-askar Israel telah melarikan diri dari medan tempur. Banyak orang yang rebah dan mati. Saul dan anaknya Yonatan juga terkorban.”+
5 Maka Daud bertanya kepada pemuda yang membawa berita itu, “Bagaimana kamu tahu bahawa Saul dan anaknya Yonatan sudah meninggal?”
6 Pemuda itu menjawab, “Kebetulan aku ada di Gunung Gilboa,+ dan aku nampak Saul bersandar pada tombaknya. Pada masa itu, kereta-kereta kuda dan pasukan berkuda mengejar baginda dan semakin mendekatinya.+
7 Apabila Saul menoleh dan melihat aku, baginda memanggilku. Aku pun menjawab, ‘Ya, tuanku!’
8 Baginda bertanya, ‘Kamu siapa?’ Aku menjawab, ‘Hamba ialah orang Amalek.’+
9 Baginda berkata lagi, ‘Beta sedang menderita kesakitan, tetapi masih hidup. Marilah ke sini, dan bunuhlah beta.’
10 Jadi aku pergi ke sisi baginda dan membunuhnya,+ kerana aku tahu bahawa baginda tentu mati setelah baginda jatuh dan cedera parah. Kemudian aku mengambil mahkota dari kepalanya dan gelang dari lengannya, lalu membawanya kepada tuan.”
11 Setelah mendengar hal itu, Daud mengoyakkan pakaiannya. Semua anak buahnya yang ada bersamanya juga berbuat demikian.
12 Mereka semua meraung, menangis, dan berpuasa+ sehingga petang kerana Saul, Yonatan, umat Yehuwa, dan bangsa Israel+ telah dibunuh dengan pedang.
13 Daud bertanya kepada pemuda itu, “Kamu berasal dari mana?” Pemuda itu menjawab, “Aku keturunan orang Amalek yang tinggal di Israel sebagai orang asing.”
14 Daud berkata kepadanya, “Berani kamu bunuh dia dengan tanganmu! Dia raja yang diurapi oleh Yehuwa!”+
15 Daud memanggil salah seorang anak buahnya dan berkata, “Datanglah ke sini, dan bunuhlah dia.” Maka anak buahnya menikam orang itu, dan dia pun mati.+
16 Daud berkata kepadanya, “Kamu bertanggungjawab atas kematianmu sendiri, kerana kamu sendiri telah mengakui bahawa kamu membunuh raja yang diurapi oleh Yehuwa.”+
17 Kemudian Daud menyanyikan lagu untuk meratapi kematian Saul dan anaknya, Yonatan.+
18 Lagu itu bertajuk “Busur,” dan dicatatkan dalam buku Yasar.+ Daud juga mengarahkan agar lagu itu diajarkan kepada orang Yehuda. Lagu itu berbunyi:
19 “Wahai Israel, orang yang mulia gugur di tempat-tempatmu yang tinggi.+
Betapa banyaknya pahlawanmu yang telah gugur!
20 Jangan sebarkan berita ini di Gat;+Jangan umumkannya di jalan-jalan Askelon,Agar gadis-gadis orang Filistin tidak bersukacita,Dan agar gadis-gadis daripada bangsa yang tidak bersunat itu tidak bergembira.
21 Wahai gunung-ganang Gilboa,+Tiada hujan atau embun yang akan membasahimu,Padang rumputmu juga tidak akan menghasilkan persembahan suci untuk Tuhan,+Kerana di situlah perisai milik para pahlawan diaibkan;Perisai milik Saul tidak lagi diurapi dengan minyak.
22 Busur Yonatan+ dan pedang Saul+Berlumuran dengan darah musuh dan menikam tubuh* musuh yang perkasa;Busur dan pedang mereka tidak pernah gagal.
23 Saul dan Yonatan,+ orang yang dikasihi dan disayangi sepanjang hayat mereka,Kematian pun tidak dapat memisahkan mereka.+
Mereka lebih pantas daripada burung helang,+Dan lebih gagah daripada singa.+
24 Wahai gadis-gadis Israel, ratapilah Saul.Dia telah mengenakan pakaian merah marak dan perhiasan yang indah pada kamu,Dia telah menghiasi pakaian kamu dengan emas.
25 Pahlawan yang gagah tumpas di medan tempur!
Yonatan dibunuh dan terlantar di tempatmu yang tinggi!+
26 Wahai saudaraku Yonatan, aku amat sedih dengan pemergianmu.Aku sangat mengasihimu.+
Kasih* yang kamu tunjukkan kepadaku lebih mulia daripada kasih seorang wanita.+
27 Pahlawan yang gagah sudah tumpasDan senjata-senjata perang telah lenyap!”