Dua Samuel 13:1-39
13 Absalom, anak lelaki Daud, mempunyai seorang adik perempuan yang cantik yang bernama Tamar.+ Amnon,+ anak lelaki Daud, jatuh cinta dengan Tamar.
2 Amnon tidak dapat melakukan apa-apa terhadap adiknya, Tamar, kerana Tamar ialah seorang anak dara. Maka Amnon berasa sangat resah sampai dia jatuh sakit.
3 Amnon mempunyai seorang sahabat yang sangat bijak, namanya Yehonadab.+ Yehonadab ialah anak lelaki Simea,+ iaitu abang Daud.
4 Yehonadab berkata kepada Amnon, “Tuan ialah anak raja, mengapa pula tuan bersedih setiap pagi? Beritahulah aku.” Amnon menjawab, “Aku mencintai Tamar, adik perempuan Absalom, saudaraku itu.”+
5 Yehonadab berkata, “Baringlah di katil tuan dan berpura-puralah sakit. Apabila raja datang melawat tuan, katakanlah kepadanya, ‘Ayahanda, suruhlah adik saya Tamar datang untuk memberi saya makanan. Jika dia menyediakan makanan itu* di hadapan saya, saya akan makan apa yang dihidangkannya.’”
6 Oleh itu, Amnon berbaring di katilnya dan berpura-pura sakit. Apabila raja datang melawatnya, dia berkata kepada raja, “Ayahanda, suruhlah adikku Tamar datang untuk membuat dua keping kuih berbentuk hati di hadapanku. Saya akan makan apa yang dihidangkannya.”
7 Daud pun menghantar pesanan kepada Tamar di istana: “Pergilah ke rumah abangmu Amnon dan sediakanlah makanan untuknya.”
8 Maka Tamar pergi ke rumah Amnon dan mendapati dia sedang berbaring. Tamar mengambil adunan dan mengulinya di depan Amnon lalu memasaknya.
9 Kemudian dia mengeluarkan kuih-kuih itu dan menghidangkannya kepada Amnon. Tetapi Amnon enggan memakannya dan berkata, “Suruhlah semua orang keluar!” Lalu semua orang pun keluar.
10 Amnon berkata kepada Tamar, “Bawalah makanan itu ke bilik tidur supaya aku dapat makan.” Maka Tamar mengambil kuih-kuih berbentuk hati yang telah dibuatnya dan membawanya kepada Amnon di bilik tidurnya.
11 Ketika Tamar menghidangkan kuih-kuih itu kepada Amnon, Amnon memegang Tamar dan berkata, “Marilah tidur dengan aku!”
12 Tetapi Tamar berkata, “Jangan begitu abangku! Jangan menghinaku kerana hal ini tidak patut berlaku di Israel.+ Jangan lakukan perbuatan yang memalukan ini.+
13 Bagaimana mungkin aku dapat menanggung rasa malu ini? Abang juga akan dipandang hina di Israel. Lebih baik jika abang berunding dengan raja. Tentu raja akan mengabulkan permintaanmu.”
14 Namun Amnon tidak mahu mendengar nasihatnya. Oleh sebab Amnon lebih kuat daripada Tamar, dia merogol Tamar.
15 Selepas itu, Amnon menjadi sangat benci terhadap Tamar. Kebenciannya itu lebih besar daripada cintanya yang mula-mula. Maka dia berkata kepada Tamar, “Bangun! Keluar dari sini!”
16 Tamar berkata, “Janganlah usir aku. Jika abang mengusir aku, perbuatan itu lebih teruk daripada apa yang telah abang lakukan tadi!” Tetapi Amnon enggan mendengar kata-katanya.
17 Amnon memanggil pelayannya dan berkata, “Bawalah perempuan ini keluar dari sini, dan kuncilah pintu!”
18 Maka pelayan itu membawa Tamar keluar lalu mengunci pintu. (Pada masa itu, Tamar memakai jubah khas* yang dipakai oleh anak-anak perempuan raja yang masih dara.)
19 Tamar menaburkan abu di atas kepalanya+ dan mengoyakkan jubah cantik yang dipakainya. Sambil berjalan, dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala dan menangis dengan kuat.
20 Abangnya Absalom+ bertanya kepadanya, “Adakah abangmu Amnon yang telah melakukan perkara yang jahat ini kepadamu? Dia ialah abangmu,+ maka janganlah beritahukan hal ini kepada sesiapa pun, dan janganlah berfikir tentangnya lagi.” Oleh itu, Tamar tinggal di rumah Absalom dan tidak bergaul dengan orang lain.
21 Apabila Raja Daud mendengar tentang semua itu, dia sangat marah.+ Tetapi dia tidak sanggup menyakiti perasaan Amnon, kerana Amnon ialah anak sulungnya dan dia sangat mengasihi Amnon.
22 Absalom tidak mengatakan apa-apa kepada Amnon. Dia amat membenci+ Amnon kerana Amnon telah memalukan adiknya Tamar.+
23 Dua tahun kemudian, Absalom mengundang semua anak raja+ untuk menghadiri jamuan di Baal-hazor, yang berhampiran Efraim.+ Pada waktu itu, para pekerja sedang menggunting bulu biri-birinya di sana.
24 Dia pergi menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, para pekerja sedang menggunting bulu biri-biri. Sudikah ayahanda dan para pegawai ayahanda pergi bersama saya?”
25 Raja menjawab, “Tidak, anakku. Jika kami semua pergi, kami akan menyusahkanmu.” Walaupun Absalom asyik mendesak raja, raja tetap tidak mahu pergi. Raja hanya merestuinya.
26 Absalom pun berkata, “Jika ayahanda tidak mahu datang, biarlah abangku Amnon pergi bersama-sama kami.”+ Raja menjawab, “Mengapa pula Amnon harus pergi bersama kamu?”
27 Tetapi Absalom asyik memujuk raja. Akhirnya, raja membenarkan Amnon dan semua anak raja yang lain untuk pergi bersamanya.
28 Absalom memberikan perintah kepada para pelayannya, “Perhatikanlah Amnon. Apabila dia minum wain sehingga dia berasa sangat gembira, aku akan berkata, ‘Bunuhlah Amnon!’ maka kamu mesti membunuhnya. Janganlah takut kerana akulah yang menyuruh kamu berbuat demikian. Bertindaklah dengan berani dan jangan ragu-ragu!”
29 Para pelayan Absalom melaksanakan perintahnya dan membunuh Amnon. Selepas hal itu terjadi, semua anak raja yang lain bangun lalu menunggang baghal masing-masing dan melarikan diri.
30 Ketika mereka masih dalam perjalanan, Daud menerima berita bahawa Absalom telah membunuh semua anak raja, dan tidak seorang pun yang dibiarkan hidup.
31 Setelah mendengar berita itu, Daud bangun dan mengoyakkan pakaiannya lalu berbaring di lantai. Semua pegawai yang berdiri di sisinya turut mengoyakkan pakaian mereka.
32 Namun Yehonadab+ anak lelaki Simea,+ abang Daud, berkata, “Tuanku, janganlah sangka bahawa mereka telah membunuh semua anak lelaki tuanku. Hanya Amnon yang dibunuh.+ Hal ini terjadi atas perintah Absalom, kerana dia telah bertekad untuk berbuat demikian+ sejak Amnon memalukan adiknya+ Tamar.+
33 Janganlah mempercayai berita yang mengatakan bahawa semua putera tuanku telah dibunuh, kerana Amnon sahaja yang dibunuh.”
34 Sementara itu, Absalom telah melarikan diri.+ Kemudian seorang pengawal nampak banyak orang datang dari jalan di tepi sebuah gunung.
35 Yehonadab+ berkata kepada raja, “Lihat! Anak-anak raja sudah pulang, tepat seperti yang hamba katakan tadi.”
36 Sebaik sahaja dia habis bercakap, anak-anak raja tiba. Mereka mula menangis dengan kuat, dan raja serta semua pegawainya juga menangis dengan sedih.
37 Absalom pula telah melarikan diri. Dia pergi kepada Talmai+ anak Amihud, iaitu raja Gesur. Daud meratapi kematian anaknya selama berhari-hari.
38 Selepas Absalom melarikan diri ke Gesur,+ dia tinggal di sana selama tiga tahun.
39 Akhirnya, Raja Daud tidak lagi bersedih atas* kematian Amnon. Dia merindui Absalom dan ingin berjumpa dengannya.