Dua Samuel 14:1-33
14 Yoab anak Zeruya+ mendapat tahu bahawa Raja Daud amat merindui Absalom.+
2 Maka dia mengutus orang ke Tekoa+ untuk memanggil seorang wanita yang bijak. Dia berkata kepada wanita itu, “Berpura-puralah berkabung. Kenakanlah pakaian perkabungan dan jangan menyapu minyak pada badanmu.+ Berlakonlah seperti seorang wanita yang sudah lama berkabung atas kematian seseorang.
3 Kemudian pergilah menghadap raja dan sampaikanlah kata-kata ini.” Yoab pun memberitahunya apa yang harus dikatakan.
4 Wanita dari Tekoa itu pergi menghadap raja lalu membongkok dan bersujud kepadanya. Dia berkata, “Tuanku, tolonglah hamba!”
5 Raja bertanya kepadanya, “Apakah yang telah berlaku?” Wanita itu menjawab, “Hamba seorang balu, dan suami hamba sudah meninggal.
6 Hamba mempunyai dua orang anak lelaki, dan pada suatu hari, mereka bergaduh di padang. Tiada seorang pun yang meleraikan mereka. Akhirnya seorang memukul yang seorang lagi dan membunuhnya.
7 Sekarang, seisi keluarga hamba melawan hamba. Mereka berkata, ‘Serahkanlah anakmu yang telah membunuh saudaranya itu supaya kami dapat membunuhnya untuk mengganti nyawa saudaranya yang telah mati.+ Kami tidak kisah jika perbuatan kami akan melenyapkan waris keluarga kamu!’ Mereka ingin membunuh anak hamba yang masih hidup ini. Tuanku, dialah satu-satunya harapan hamba. Jika mereka berjaya, mereka akan menghapuskan nama dan keturunan suami hamba dari muka bumi.”
8 Maka raja berkata, “Pulanglah ke rumahmu. Beta akan menguruskan hal ini.”
9 Wanita dari Tekoa itu berkata, “Tuanku, biarlah hamba dan keluarga bapa hamba menanggung dosa ini. Tuanku dan keturunan tuanku tidak bersalah.”
10 Raja berkata, “Jika ada orang yang menyusahkan kamu lagi, bawalah orang itu kepada beta, dan dia tidak akan mengganggumu lagi.”
11 Wanita itu berkata, “Tetapi tuanku, ingatlah juga tentang Tuhan Yehuwa. Jangan biarkan anak hamba dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan,*+ dan menambah penderitaan hamba.” Raja pun menjawab, “Demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, beta bersumpah+ bahawa tidak sehelai rambut dari kepala anakmu akan gugur ke tanah.”
12 Kemudian wanita itu berkata, “Tuanku, benarkanlah hamba berkata-kata lagi.” “Baiklah,” jawab raja.
13 Wanita itu berkata, “Mengapa pula tuanku melakukan sesuatu yang akan memudaratkan umat Tuhan?+ Menurut kata-kata tuanku tadi, tuanku memang bersalah kerana tuanku telah menghalau anak sendiri dan tidak mengizinkannya untuk pulang.+
14 Tuanku, kita semua pasti akan mati dan menjadi seperti air yang dicurahkan ke tanah dan tidak dapat dikumpulkan lagi. Meskipun begitu, Tuhan tidak akan membiarkan seseorang mati begitu sahaja. Dia pasti mencari sebab untuk membawa kembali orang yang telah diusir dari hadapan-Nya.
15 Hamba telah menghadap tuanku untuk memberitahukan hal ini kepada tuanku kerana ada orang menakut-nakutkan hamba. Jadi hamba berfikir, ‘Biarlah aku bercakap dengan raja sekali lagi. Barangkali raja akan mengabulkan permintaanku.
16 Sebelum ini, raja telah mendengar kata-kataku dan bersetuju untuk menyelamatkan aku, kerana ada orang yang ingin menghalang aku dan satu-satunya anakku supaya kami langsung tidak mendapat warisan yang diberikan oleh Tuhan.’+
17 Oleh itu, hamba berfikir, ‘Semoga kata-kata tuanku melegakan hati hamba,’ kerana tuanku seperti malaikat Tuhan yang benar, dan dapat membezakan apa yang baik daripada apa yang jahat. Semoga Tuhan Yehuwa menyertai tuanku.”
18 Raja menjawab, “Beta mahu menanyakan sesuatu kepadamu. Jangan menyembunyikan apa-apa semasa kamu menjawab beta.” Wanita itu berkata, “Baik tuanku.”
19 Raja pun bertanya, “Adakah Yoab yang menyuruh kamu untuk melakukan semua ini?”+ Wanita itu menjawab, “Apa yang tuanku katakan memang benar. Hamba bersumpah di hadapan tuanku bahawa Yoablah yang telah menyuruh hamba untuk berbuat demikian dan memberitahu hamba apa yang harus hamba katakan.
20 Yoab menyuruh hamba untuk berbuat demikian supaya tuanku mengubah pandangan tuanku tentang hal ini. Tuanku bijaksana seperti malaikat Tuhan yang benar sehingga tuanku mengetahui semua yang sedang berlaku di negeri ini.”
21 Kemudian raja berkata kepada Yoab, “Baiklah, beta akan berbuat demikian.+ Pergilah kepada Absalom dan bawalah pemuda itu balik.”+
22 Yoab membongkok dan bersujud ke tanah lalu memuji raja. Dia berkata, “Hari ini, hamba tahu bahawa tuanku berkenan kepada hamba kerana tuanku mengabulkan permintaan hamba.”
23 Maka Yoab berangkat ke Gesur+ dan membawa Absalom balik ke Yerusalem.
24 Tetapi raja berkata, “Suruhlah dia pulang ke rumahnya, tetapi dia tidak boleh menghadap beta.” Oleh itu, Absalom pulang ke rumahnya dan tidak menghadap raja.
25 Absalom dipuji sebagai orang yang paling kacak di seluruh negeri Israel. Dia tidak mempunyai kecacatan dari telapak kaki sampai hujung rambutnya.
26 Pada akhir setiap tahun, dia harus mencukur kepalanya kerana rambutnya terlalu berat. Berat rambut yang dicukurnya kira-kira dua kilogram* menurut timbangan diraja.*
27 Absalom mempunyai tiga orang anak lelaki+ dan seorang anak perempuan yang bernama Tamar. Tamar ialah seorang wanita yang sangat jelita.
28 Absalom tinggal di Yerusalem selama dua tahun. Sepanjang masa itu, dia tidak berjumpa dengan raja.+
29 Maka Absalom memanggil Yoab supaya Yoab membawanya menghadap raja, tetapi Yoab tidak mahu datang. Kemudian dia memanggil Yoab sekali lagi, tetapi Yoab menolak buat kali kedua.
30 Akhirnya, dia berkata kepada hamba-hambanya, “Ladang Yoab di sebelah ladang aku, dan dia menanam barli di situ. Pergilah dan bakarlah ladang itu.” Mereka pun pergi membakarnya.
31 Kemudian Yoab pergi ke rumah Absalom dan bertanya kepadanya, “Mengapakah hamba-hambamu membakar ladangku?”
32 Absalom menjawab Yoab, “Aku ingin menyuruh kamu menghadap raja dan menyampaikan pertanyaanku ini: ‘Mengapakah saya dibawa balik dari Gesur?+ Lebih baik jika saya tinggal di sana sahaja. Benarkanlah saya menghadap ayahanda. Jika saya bersalah, biarlah ayahanda membunuh saya.’”
33 Kemudian Yoab menghadap raja dan menyampaikan kata-kata Absalom. Maka raja memanggil Absalom. Apabila Absalom tiba di hadapan raja, dia membongkok dan bersujud. Raja pun menciumnya.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
^ Harfiah, “200 syekel.” Lihat Lampiran B14.
^ Mungkin timbangan yang digunakan di istana atau timbangan yang berbeza daripada timbangan biasa.