Dua Samuel 16:1-23
16 Sebaik sahaja Daud melalui puncak gunung,+ dia disambut oleh Ziba,+ iaitu hamba Mefiboset.+ Ziba membawa sepasang keldai yang mengangkut 200 buku roti, 100 keping kuih kismis, 100 keping kuih buah-buahan,* dan sebuah tempayan besar yang berisi wain.+
2 Raja berkata kepada Ziba, “Mengapakah kamu membawa semua ini?” Ziba menjawab, “Keldai-keldai ini untuk tunggangan keluarga tuanku. Roti dan buah-buahan ini untuk dimakan oleh hamba-hamba tuanku, dan wain ini untuk diminum oleh mereka yang letih di padang belantara.”+
3 Raja bertanya, “Di manakah cucu* tuanmu?”+ Ziba menjawab, “Dia masih di Yerusalem. Dia berkata bahawa pada hari ini orang Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya* kepadanya.”+
4 Maka raja berkata kepada Ziba, “Segala milik Mefiboset akan menjadi milikmu.”+ Ziba menjawab, “Terima kasih, tuanku.* Semoga hamba terus mendapat perkenan tuanku.”+
5 Semasa Raja Daud sampai di Bahurim, seorang saudara lelaki Saul yang bernama Simei+ anak Gera datang kepada Daud. Seraya Simei menghampiri Daud, dia berteriak-teriak mengutuk Daud.+
6 Dia melemparkan batu ke arah Daud dan rombongannya, termasuk semua askar dan pahlawan gagah yang berada di kiri dan kanan Daud.
7 Sambil mengutuk Daud, Simei berteriak, “Keluar dari sini! Keluar! Kamu pembunuh! Lelaki yang tak berguna!
8 Sekarang kamu dihukum Yehuwa kerana kamu telah membunuh sanak saudara Saul. Kamu telah merampas takhta Saul, dan Yehuwa pula menyerahkannya kepada anakmu Absalom. Lihatlah! Kamu ditimpa malapetaka kerana kamu seorang pembunuh!”+
9 Abisai anak Zeruya+ berkata kepada raja, “Mengapakah tuanku membenarkan anjing mati ini+ mengutuk tuanku?+ Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!”+
10 Tetapi raja berkata, “Wahai anak-anak Zeruya,+ jangan masuk campur! Biarlah dia mengutuk beta.+ Jika Yehuwa telah menyuruhnya untuk mengutuk beta,+ siapakah yang berhak mempersoalkan tindakannya itu?”
11 Kemudian Daud berkata kepada Abisai dan semua pegawainya, “Jika anak kandung beta, darah daging beta sendiri, ingin membunuh beta,+ apalagi orang Benyamin ini!+ Biarkan saja dia terus mengutuk beta kerana Yehuwa telah menyuruhnya untuk berbuat demikian!
12 Mungkin Yehuwa akan melihat penderitaan beta,+ dan Yehuwa akan memberkati beta sebagai ganti kutukan yang dilemparkan kepada beta hari ini.”+
13 Oleh itu, Daud dan rombongannya meneruskan perjalanan, sementara Simei mengikuti Daud di lereng gunung sambil mengutuknya+ dan melemparinya dengan batu dan tanah.
14 Akhirnya, raja dan rombongannya tiba di destinasi mereka. Mereka berasa sangat penat lalu mereka berehat di situ.
15 Sementara itu, Absalom dan semua orang Israel tiba di Yerusalem. Ahitofel+ juga ada bersama mereka.
16 Husai,+ orang Arki,+ iaitu sahabat* Daud, datang bertemu dengan Absalom. Dia berkata kepadanya, “Daulat tuanku!+ Daulat tuanku!”
17 Absalom pun berkata kepada Husai, “Di manakah kasih setiamu kepada Daud, sahabatmu? Mengapakah kamu tidak pergi bersama sahabatmu itu?”
18 Husai menjawab, “Hamba berpihak kepada orang yang dipilih oleh Yehuwa, oleh semua orang ini, dan oleh semua orang Israel. Orang itulah yang akan hamba ikuti.
19 Lagipun, kepada siapakah hamba akan mengabdikan diri kalau bukan kepada anak raja? Sebagaimana hamba mengabdikan diri kepada ayahanda tuanku, demikianlah hamba akan mengabdikan diri kepada tuanku.”+
20 Lalu Absalom berkata kepada Ahitofel, “Apakah yang harus kita lakukan? Apa cadanganmu?”*+
21 Ahitofel menjawab, “Tuanku harus meniduri gundik-gundik ayahanda tuanku+ yang telah ditinggalkan untuk menjaga istana.+ Dengan demikian, seluruh Israel akan tahu bahawa tuanku telah dibenci oleh ayahanda tuanku, dan para penyokong tuanku akan bertambah berani.”
22 Maka mereka mendirikan sebuah khemah di atas bumbung istana,+ lalu Absalom meniduri gundik-gundik bapanya+ di hadapan semua orang Israel.+
23 Pada zaman itu, nasihat Ahitofel+ dianggap sebagai firman* Tuhan. Baik Daud mahupun Absalom menghargai semua nasihat Ahitofel.