Dua Samuel 20:1-26

  • Syeba memberontak; Yoab membunuh Amasa (1-13)

  • Syeba dikejar dan kepalanya dipenggal (14-22)

  • Pentadbiran Daud (23-26)

20  Terdapat seorang pemberontak yang bernama Syeba+ anak Bikri, seorang lelaki Benyamin. Dia meniup trompet+ dan berkata, “Kita tidak ada kaitan dengan Daud. Kita tidak mendapat warisan daripada anak Isai+ itu. Hai orang Israel, kembalilah kepada tuhan-tuhan* kamu!”+ 2  Oleh itu, semua orang Israel meninggalkan Daud dan mengikut Syeba anak Bikri.+ Tetapi orang Yehuda masih mengikut raja mereka, dan mengiringinya dari Sungai Yordan sampai ke Yerusalem.+ 3  Apabila Daud tiba di istananya di Yerusalem,+ 10 orang gundik yang ditinggalkannya untuk menjaga istana,+ ditempatkannya ke dalam sebuah rumah yang dijaga oleh pengawal. Dia membekalkan makanan kepada mereka, tetapi dia tidak lagi meniduri mereka.+ Mereka tinggal di rumah itu sepanjang hayat. Mereka hidup seperti balu, walaupun suami mereka masih hidup. 4  Raja berkata kepada Amasa,+ “Kumpulkanlah orang Yehuda dan baliklah ke sini bersama dengan mereka dalam tempoh tiga hari.” 5  Amasa pun pergi mengumpulkan orang Yehuda, tetapi dia datang lambat dan tidak balik pada waktu yang telah ditentukan oleh raja. 6  Maka Daud berkata kepada Abisai,+ “Syeba+ anak Bikri lebih berbahaya daripada Absalom.+ Kumpulkan askar-askar beta dan kejarlah dia, supaya dia tidak sempat sampai di kota-kota berkubu dan melepaskan diri daripada kita.” 7  Kemudian anak buah Yoab,+ orang Kreti, orang Pleti,+ dan semua pahlawan yang gagah keluar dari Yerusalem untuk mengejar Syeba anak Bikri. 8  Apabila mereka sampai dekat batu besar di Gibeon,+ Amasa+ datang bertemu dengan mereka. Pada waktu itu, Yoab sedang memakai pakaian perangnya, dan dia telah menggantungkan sebilah pedang yang bersarung pada tali pinggangnya. Ketika Yoab melangkah maju, pedangnya terjatuh. 9  Yoab bertanya kepada Amasa, “Apa khabar, saudaraku?” Kemudian dia memegang janggut Amasa dengan tangan kanannya seolah-olah dia ingin mencium Amasa. 10  Amasa tidak memperhatikan pedang yang dipegang oleh Yoab, lalu Yoab menikam perut Amasa dengan pedang itu,+ sehingga usus Amasa terburai ke tanah. Dia tidak perlu menikam Amasa buat kali kedua kerana satu tikaman sudah cukup untuk membunuhnya. Selepas itu, Yoab dan abangnya Abisai terus mengejar Syeba anak Bikri. 11  Salah seorang anak buah Yoab yang muda berdiri di sisi Amasa dan berseru, “Sesiapa yang menyokong Yoab dan Daud, ikutlah Yoab!” 12  Sementara itu, Amasa terbaring di tengah jalan dan badannya berlumuran darah. Apabila pemuda itu nampak bahawa semua orang berhenti di situ, dia memindahkan Amasa ke padang lalu menutupinya dengan sehelai pakaian. Dia berbuat demikian kerana semua orang yang lalu di situ akan berhenti apabila mereka nampak Amasa. 13  Setelah Amasa dipindahkan dari jalan itu, semua orang mengikut Yoab dan terus mengejar Syeba+ anak Bikri. 14  Syeba melalui semua kawasan suku Israel dan akhirnya dia tiba di Abel-bet-maakha.+ Kemudian orang Bikri berkumpul dan mengikuti Syeba. 15  Yoab dan anak buahnya* datang dan mengepung Abel-bet-maakha kerana Syeba ada di dalam kota itu. Kota itu dikelilingi benteng, dan mereka membuat timbunan tanah di luar kota itu. Kemudian mereka menggali tanah di bawah tembok kota itu untuk meruntuhkannya. 16  Seorang wanita yang bijak berseru dari kota, “Dengarlah, hai semua orang! Dengarlah! Suruhlah Yoab datang ke sini. Aku hendak bercakap dengannya.” 17  Yoab pun datang, dan wanita itu bertanya, “Adakah kamu Yoab?” Yoab menjawab, “Ya.” Wanita itu berkata, “Dengarlah kata-kataku.” “Baiklah,” kata Yoab. 18  Wanita itu berkata, “Dahulu orang selalu berkata, ‘Pergilah minta petunjuk di kota Abel, dan masalah kamu akan selesai.’ 19  Aku mewakili orang Israel yang setia dan yang menginginkan kedamaian. Kamu ingin memusnahkan sebuah kota yang penting di Israel. Mengapakah kamu mahu memusnahkan warisan Yehuwa?”+ 20  Yoab menjawab, “Aku bukannya ingin menghancurkan atau memusnahkan kota ini! 21  Itu bukanlah rancangan kami. Sebenarnya, ada seorang lelaki dari kawasan pergunungan Efraim+ yang memberontak terhadap Raja Daud. Dia bernama Syeba+ anak Bikri. Jika kamu menyerahkan orang ini kepada aku, aku akan berundur dari kota ini.” Wanita itu berkata, “Baiklah! Kami akan melemparkan kepalanya kepada kamu dari belakang tembok kota.” 22  Wanita itu segera berjumpa dengan semua penduduk kota, dan mereka memenggal kepala Syeba anak Bikri lalu melemparkannya kepada Yoab. Yoab pun meniup trompet lalu semua tentera meninggalkan kota itu dan pulang ke rumah masing-masing.+ Yoab pulang ke Yerusalem dan menghadap raja. 23  Yoab memimpin seluruh tentera orang Israel.+ Benaya+ anak Yehoyada+ mengetuai orang Kreti dan orang Pleti.+ 24  Adoram+ bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja. Yehosafat+ anak Ahilud ialah pencatat. 25  Syewa ialah setiausaha. Zadok+ dan Abiatar+ ialah imam. 26  Ira dari Yair menjadi ketua menteri* Daud.

Nota Kaki

Atau mungkin, “khemah-khemah.”
Harfiah, “Mereka.”
Harfiah, “menjadi imam.”