Dua Samuel 21:1-22

  • Orang Gibeon membalas dendam terhadap keluarga Saul (1-14)

  • Peperangan dengan orang Filistin (15-22)

21  Pada zaman Daud, kebuluran berlaku+ selama tiga tahun berturut-turut. Oleh itu, Daud meminta petunjuk daripada Yehuwa. Yehuwa berfirman kepadanya, “Saul dan seisi rumahnya berhutang darah kerana Saul telah membunuh orang Gibeon.”+ 2  Maka Daud memanggil orang Gibeon+ dan berbincang dengan mereka. (Orang Gibeon bukanlah orang Israel. Mereka ialah orang Amori.+ Orang Israel tidak membunuh mereka kerana orang Israel pernah bersumpah untuk membiarkan mereka hidup.+ Tetapi Saul berusaha melenyapkan mereka kerana Saul terlalu menjaga kepentingan orang Israel dan orang Yehuda.) 3  Daud berkata kepada orang Gibeon, “Apakah yang dapat beta lakukan untuk kamu? Bagaimanakah beta dapat menebus dosa yang telah dilakukan terhadap kamu, supaya kamu akan memberkati umat* Yehuwa?” 4  Mereka menjawab, “Perak atau emas tidak dapat menyelesaikan masalah+ antara kami dengan Saul dan seisi rumahnya. Kami juga tidak berhak membunuh sesiapa pun daripada bangsa Israel.” Maka Daud berkata, “Apakah yang kamu ingin beta lakukan? Beritahulah beta, dan beta akan menunaikannya.” 5  Mereka menjawab, “Oleh sebab lelaki itu merancang untuk membunuh kami dan melenyapkan kami sehingga kami tidak dapat tinggal di seluruh negeri Israel,+ 6  serahkanlah tujuh orang lelaki daripada keturunannya kepada kami. Kami akan menggantungkan mayat-mayat mereka*+ di hadapan Yehuwa di Gibea,+ kota Saul, raja yang dipilih oleh Yehuwa.”+ Daud berkata, “Baiklah, beta akan menyerahkan mereka kepada kamu.” 7  Tetapi Daud menunjukkan belas kasihan kepada Mefiboset+ anak Yonatan, cucu Saul, kerana Daud dan Yonatan anak Saul pernah bersumpah di hadapan Yehuwa.+ 8  Maka Daud mengambil Armoni dan Mefiboset, iaitu anak-anak lelaki Saul yang dilahirkan oleh Rizpa+ anak Aya. Dia juga mengambil lima orang anak lelaki Adriel yang dilahirkan oleh Mikhal*+ anak Saul. (Adriel+ ialah anak Barzilai dari Mehola.) 9  Kemudian dia menyerahkan mereka kepada orang Gibeon. Orang Gibeon menggantungkan mayat-mayat mereka di atas gunung di hadapan Yehuwa.+ Tujuh orang itu mati bersama-sama. Mereka dibunuh pada permulaan musim menuai, iaitu ketika musim menuai barli bermula. 10  Rizpa+ anak Aya mengambil kain guni dan membentangkannya di atas batu. Pada siang hari, dia mengusir burung-burung agar burung-burung itu tidak menghinggapi mayat mereka, dan pada waktu malam, dia melindungi mayat mereka daripada binatang liar. Dia berada di situ dari permulaan musim menuai sehingga hujan turun membasahi mayat-mayat itu. 11  Daud mendapat berita tentang apa yang dilakukan oleh Rizpa anak Aya, iaitu gundik Saul itu. 12  Oleh itu, Daud pergi kepada para pemimpin* Yabes-gilead+ untuk mendapatkan tulang-tulang Saul dan tulang-tulang anaknya Yonatan, kerana para pemimpin itu telah mencuri tulang-tulang mereka dari lapangan kota Bet-sean. (Sebelum ini, orang Filistin telah menggantungkan mayat Saul dan Yonatan di situ pada hari mereka membunuh Saul di Gilboa.)+ 13  Daud membawa tulang-tulang Saul dan Yonatan dari kota itu. Mereka juga mengumpulkan tulang-tulang tujuh orang yang telah dibunuh* itu.+ 14  Kemudian mereka menanam tulang-tulang Saul dan tulang-tulang anaknya Yonatan di kuburan ayahnya Kish,+ di kota Zela+ yang terletak di Benyamin. Selepas mereka menyempurnakan semua perintah raja, barulah Tuhan mendengar rayuan mereka tentang negeri itu.+ 15  Orang Filistin dan orang Israel berperang lagi.+ Maka Daud dan anak buahnya pergi berperang dengan orang Filistin. Tetapi Daud menjadi letih. 16  Ada seorang lelaki daripada keturunan Refaim+ yang bernama Isbi-benob. Dia membawa tombak tembaga yang beratnya kira-kira tiga kilogram setengah.*+ Dia juga membawa sebatang pedang yang baharu, dan dia ingin membunuh Daud. 17  Abisai+ anak Zeruya segera datang membantu Daud+ dan menyerang orang Filistin itu sehingga dia mati. Pada waktu itu, anak buah Daud bersumpah kepadanya dengan berkata, “Tuanku tidak boleh keluar berperang bersama hamba sekalian lagi+ supaya pelita* orang Israel tidak dilenyapkan!”+ 18  Selepas itu, orang Israel berperang lagi dengan orang Filistin+ di Gob. Sibekai,+ orang Husa itu, membunuh Saf, iaitu seorang lelaki daripada keturunan Refaim.+ 19  Dalam satu lagi pertempuran dengan orang Filistin+ di Gob, Elhanan anak Yaare-oregim dari Betlehem membunuh Goliat dari Gat. Batang tombak Goliat sebesar kayu pada alat tenun.+ 20  Selepas itu, peperangan tercetus lagi di Gat. Di sana, ada seorang lelaki daripada keturunan Refaim yang sangat besar. Dia mempunyai 24 batang jari kaki dan jari tangan; 6 batang jari pada setiap tangan dan kakinya.+ 21  Dia asyik menghina orang Israel.+ Maka Yonatan anak kepada Simei,+ iaitu abang Daud, membunuhnya. 22  Keempat-empat orang itu berasal daripada keturunan Refaim dari Gat, dan mereka telah mati dibunuh oleh Daud dan anak buahnya.+

Nota Kaki

Harfiah, “warisan.”
Harfiah, “akan mendedahkan mereka,” iaitu mematahkan tangan dan kaki mereka.
Atau mungkin, “Merab.”
Atau mungkin, “pemilik tanah.”
Harfiah, “didedahkan.”
Atau “300 syekel.” Lihat Lampiran B14.
Iaitu, pemimpin.