Dua Samuel 24:1-25

  • Daud berdosa kerana membuat pembancian (1-14)

  • Wabak penyakit meragut nyawa 70,000 orang (15-17)

  • Daud mendirikan sebuah mazbah (18-25)

    • Tidak mempersembahkan sesuatu yang percuma (24)

24  Sekali lagi, Yehuwa marah terhadap orang Israel+ kerana Raja Daud dipengaruhi oleh kata-kata berikut: “Pergilah, dan hitunglah bilangan+ orang Israel dan Yehuda.”+ 2  Maka raja berkata kepada Yoab,+ ketua tenteranya yang ada bersamanya, “Pergilah kepada semua suku Israel, dari Dan sampai ke Beer-syeba,+ dan buatlah pembancian. Beta ingin tahu jumlah rakyat beta.” 3  Tetapi Yoab berkata kepada raja, “Semoga Tuhan Yehuwa melipatgandakan rakyat tuanku sampai seratus kali lebih banyak daripada jumlah sekarang. Semoga tuanku dapat melihat hal ini berlaku, tetapi mengapakah tuanku ingin melakukan pembancian ini?” 4  Raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab dan ketua-ketua tentera yang lain beredar dari hadapan raja lalu pergi membanci orang Israel.+ 5  Setelah mereka menyeberangi Sungai Yordan, mereka berkhemah di Aroer,+ iaitu di tengah-tengah lembah* yang terletak di sebelah kanan* sebuah kota. Kemudian mereka berangkat ke kawasan orang Gad dan pergi ke Yaezer.+ 6  Mereka meneruskan perjalanan ke Gilead+ dan negeri Tahtim-hodshi sampai ke Dan-yaan, lalu membelok ke Sidon.+ 7  Selepas itu, mereka pergi ke kota berkubu Tirus+ dan ke semua kota orang Hewi+ dan kota orang Kanaan. Akhirnya mereka tiba di Beer-syeba yang terletak di Negeb,+ iaitu kawasan Yehuda.+ 8  Demikianlah mereka menjelajahi seluruh negeri Israel dalam masa 9 bulan dan 20 hari. Kemudian mereka kembali ke Yerusalem. 9  Yoab melaporkan hasil pembancian kepada raja, iaitu 800,000 orang lelaki Israel dan 500,000 orang lelaki Yehuda yang memenuhi syarat untuk menjadi askar.+ 10  Namun Daud rasa bersalah*+ kerana dia telah membanci rakyat. Dia pun berkata kepada Yehuwa, “Aku telah melakukan dosa+ yang besar dengan membanci rakyat. Ya Yehuwa, ampunkanlah dosa hamba-Mu ini.+ Aku telah bertindak dengan bodoh sekali.”+ 11  Apabila Daud bangun pada keesokan harinya, dia mendapat perkhabaran daripada Yehuwa melalui Nabi Gad,+ iaitu orang yang menyampaikan penglihatan Tuhan kepada Daud. Tuhan berfirman, 12  “Pergilah menghadap Daud dan katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku memberi engkau tiga pilihan. Pilihlah salah satu. Apa saja yang engkau pilih akan Aku lakukan kepadamu.”’”+ 13  Maka Gad pergi kepada Daud dan berkata kepadanya, “Adakah tuanku mahu negeri tuanku dilanda kebuluran selama tujuh tahun?+ Atau adakah tuanku mahu melarikan diri daripada musuh-musuh tuanku selama tiga bulan?+ Atau adakah tuanku mahu negeri tuanku dilanda wabak penyakit selama tiga hari?+ Fikirkanlah hal ini baik-baik. Beritahulah hamba jawapan tuanku, dan hamba akan menyampaikannya kepada Tuhan yang telah mengutus hamba.” 14  Daud menjawab, “Beta amat runsing! Beta tidak mahu jatuh ke dalam tangan manusia.+ Jadi lebih baik jika kita jatuh ke dalam tangan Yehuwa+ kerana Dia berbelas kasihan.”+ 15  Oleh itu, Yehuwa mendatangkan wabak penyakit+ atas Israel mulai pagi itu sampai ke waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya. Akibatnya, sebanyak 70,000 orang meninggal+ dari Dan sampai ke Beer-syeba.+ 16  Sewaktu malaikat menghulurkan tangannya ke arah Yerusalem untuk memusnahkan kota itu, Yehuwa berasa kesal* kerana Dia telah mendatangkan wabak itu.+ Maka Dia berkata kepada malaikat itu, “Cukuplah! Turunkan tanganmu.” Pada waktu itu, malaikat Yehuwa sedang berdiri dekat tempat mengirik tuaian milik Arauna,+ seorang lelaki Yebus.+ 17  Apabila Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, dia berkata kepada Yehuwa, “Akulah yang berdosa, dan akulah yang bersalah. Tetapi apakah yang telah dilakukan oleh bangsa yang bagaikan biri-biri ini?+ Apakah kesalahan mereka? Ya Tuhan, biarlah tangan-Mu menghukum aku dan keluarga bapaku!”+ 18  Pada hari itu juga Gad pergi kepada Daud dan berkata kepadanya, “Pergilah ke tempat mengirik tuaian milik Arauna, orang Yebus itu, dan dirikanlah sebuah mazbah untuk Yehuwa di situ.”+ 19  Daud pun pergi ke situ, selaras dengan apa yang telah diperintahkan oleh Yehuwa melalui Gad. 20  Apabila Arauna melihat ke bawah, dia nampak raja dan hamba-hambanya menuju ke tempatnya. Maka Arauna segera keluar dan berlutut lalu bersujud kepada raja. 21  Dia bertanya kepada raja, “Mengapakah tuanku datang ke tempat hamba?” Daud menjawab, “Beta hendak membeli tempat mengirik tuaian ini daripadamu, kerana beta ingin mendirikan sebuah mazbah untuk Yehuwa di sini, supaya wabak yang menimpa rakyat dapat dihentikan.”+ 22  Namun Arauna menjawab, “Tuanku, ambillah tempat ini dan persembahkanlah apa sahaja yang baik di mata tuanku. Inilah lembu-lembu jantan untuk dijadikan korban bakar, dan tuanku boleh menggunakan papan mengirik dan peralatan yang dipasang pada lembu sebagai kayu api. 23  Ya tuanku, semua ini hamba berikan kepada tuanku.” Kemudian Arauna berkata lagi, “Semoga Yehuwa, Tuhan tuanku, berkenan kepada tuanku.” 24  Tetapi raja menjawab, “Tidak! Beta mesti membelinya daripada kamu. Beta tidak akan mempersembahkan korban bakar yang beta dapat dengan percuma kepada Yehuwa, Tuhan beta.” Maka Daud membeli tempat itu dan lembu-lembu jantan itu dengan harga 50 syekel* perak.+ 25  Daud pun mendirikan sebuah mazbah+ untuk Yehuwa lalu mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian di situ. Selepas itu, Yehuwa mendengar rayuan+ orang Israel dan menghentikan wabak yang menimpa mereka.

Nota Kaki

Atau “wadi.”
Atau “sebelah selatan.”
Atau “hati nurani Daud menyalahkannya.”
Atau “sedih.”