Dua Samuel 7:1-29
7 Raja Daud sudah tinggal di dalam istananya.+ Yehuwa memberinya kedamaian, dan musuh-musuh di sekelilingnya tidak lagi menyerang negerinya.
2 Maka raja berkata kepada Nabi Natan,+ “Beta tinggal di dalam istana* yang diperbuat daripada kayu sedar,+ sedangkan tabut Tuhan yang benar diletakkan di dalam khemah yang diperbuat daripada kain.”+
3 Natan berkata kepada raja, “Lakukanlah apa saja yang tuanku inginkan kerana Yehuwa menyertai tuanku.”+
4 Tetapi pada malam itu juga Yehuwa berfirman kepada Natan,
5 “Pergilah kepada hamba-Ku Daud, dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Adakah engkau ingin membina sebuah rumah untuk Kudiami?+
6 Sejak Aku menyelamatkan orang Israel dari Mesir sehingga hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam sebuah rumah.+ Aku telah berpindah-randah dan tinggal di dalam khemah.+
7 Sepanjang masa Aku bersama bangsa Israel, pernahkah Aku bertanya, ‘Mengapakah kamu tidak mendirikan rumah daripada kayu sedar untuk-Ku?’ Pernahkah Aku menanyakan hal itu kepada para ketua puak yang telah Aku lantik untuk menggembala umat-Ku Israel?”’
8 Beritahulah hamba-Ku Daud, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Dahulu engkau menjaga ternakan di padang rumput,+ tetapi Aku telah mengambil engkau dan menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.+
9 Aku akan menyertai engkau ke mana saja engkau pergi.+ Aku akan menyingkirkan semua musuhmu dari hadapanmu.+ Aku akan memasyhurkan namamu,+ seperti orang kenamaan yang ada di bumi.
10 Aku akan memilih sebuah tempat untuk umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana. Mereka akan tinggal di sana tanpa gangguan, dan orang jahat tidak akan menindas mereka lagi.+
11 Sejak Aku melantik hakim-hakim+ atas umat-Ku Israel, mereka telah ditindas, tetapi Aku akan memastikan bahawa engkau tidak akan diganggu oleh musuh-musuhmu lagi.+
“‘“Yehuwa juga memberitahu engkau bahawa Yehuwa akan menjadikan keluargamu keturunan diraja.*+
12 Apabila engkau sampai di akhir hayatmu+ dan engkau meninggal, Aku akan melantik keturunanmu sebagai raja. Ya, Aku akan melantik anakmu, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.+
13 Anak itulah yang akan membina sebuah rumah untuk memuliakan nama-Ku,+ dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya buat selama-lamanya.+
14 Aku akan menjadi bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku.+ Apabila dia berbuat salah, Aku akan membetulkan kesalahannya dengan tongkat, seperti tongkat yang digunakan oleh manusia. Aku akan menghukumnya dengan sebatan, seperti sebatan yang diberikan oleh anak-anak manusia.*+
15 Aku akan terus menunjukkan kasih setia kepadanya, walaupun Aku pernah berhenti menunjukkan kasih setia kepada Saul,+ yang telah Aku singkirkan dari hadapanmu.
16 Keturunanmu akan tetap memerintah dan kerajaanmu akan kekal buat selama-lamanya. Ya, takhtamu akan kukuh buat selama-lamanya.”’”+
17 Natan memberitahu Daud kata-kata itu dan penglihatan itu.+
18 Kemudian Raja Daud duduk di hadapan Yehuwa dan berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, siapalah aku ini dan siapalah keluargaku sehingga Engkau begitu baik terhadap kami.+
19 Malah Engkau ingin melakukan lebih banyak daripada semua itu, ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kerana Engkau berfirman bahawa keturunan hamba-Mu ini akan wujud buat masa yang lama. Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah memberikan perintah* ini kepada semua manusia.
20 Apa lagi yang dapat hamba-Mu ini katakan? Engkau mengetahui segala sesuatu tentangku,+ ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
21 Selaras dengan firman-Mu dan kehendak-Mu,* Engkau melakukan perbuatan-perbuatan besar ini dan menyingkapkan semuanya kepada hamba-Mu ini.+
22 Itulah sebabnya Engkau sungguh agung,+ ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Segala-gala yang telah kami dengar membuktikan bahawa Engkau tiada tandingan,+ dan tiada Tuhan yang lain selain Engkau.+
23 Di seluruh bumi ini, tiada bangsa lain seperti umat-Mu Israel.+ Engkau telah menebus mereka dan menjadikan mereka umat-Mu.+ Engkau mengukir nama baik untuk diri-Mu+ dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang besar dan menakjubkan untuk mereka.+ Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dan tuhan-tuhan mereka demi umat-Mu. Ya Tuhan, Engkau telah menyelamatkan* mereka dari Mesir untuk menjadi umat-Mu.
24 Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu buat selama-lamanya.+ Ya Yehuwa, Engkau telah menjadi Tuhan mereka.+
25 “Ya Tuhan Yehuwa, tunaikanlah janji yang telah Engkau ucapkan berkenaan aku dan keturunanku untuk selama-lamanya. Semoga Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan.+
26 Semoga nama-Mu diagungkan buat selama-lamanya,+ supaya orang berkata, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, ialah Tuhan orang Israel.’ Semoga keluarga hamba-Mu ini teguh di hadapan-Mu.+
27 Ya Yehuwa, ketua angkatan syurga dan Tuhan orang Israel, Engkau telah menyingkapkan perkara ini kepadaku dengan berfirman, ‘Aku akan menjadikan keluargamu keturunan diraja.’+ Itulah sebabnya aku berani mengucapkan doa ini kepada-Mu.
28 Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkaulah Tuhan yang benar, dan firman-Mu sentiasa benar.+ Engkau telah menjanjikan perkara-perkara baik ini untukku.
29 Oleh itu, semoga Engkau memberkati keturunanku supaya mereka memerintah di hadapan-Mu buat selama-lamanya.+ Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah menjanjikan hal ini. Semoga Engkau memberkati keturunanku buat selama-lamanya.”+