2 Samuel 9:1-13

  • Kasih setia Daud terhadap Mefiboset (1-13)

9  Kemudian Daud berkata, “Adakah Saul mempunyai ahli keluarga lain yang masih hidup? Beta ingin menunjukkan kasih setia kepadanya demi Yonatan.”+  Pada masa itu, ada seorang hamba keluarga Saul yang bernama Ziba.+ Dia disuruh menghadap Daud, dan Daud bertanya kepadanya, “Adakah kamu Ziba?” “Ya, tuanku,” jawabnya.  Raja terus bertanya, “Adakah Saul mempunyai ahli keluarga lain yang masih hidup? Sepertimana Tuhan menunjukkan kasih setia-Nya, demikian juga beta ingin menunjukkan kasih setia kepadanya.” Ziba menjawab, “Ada, tuanku. Orang itu ialah anak lelaki Yonatan. Kedua-dua belah kakinya cacat.”*+  Raja pun bertanya, “Di mana dia?” Ziba menjawab, “Dia ada di Lo-debar, di rumah Makhir+ anak Amiel.”  Raja Daud segera mengutus orang ke rumah Makhir anak Amiel di Lo-debar untuk memanggilnya.  Maka Mefiboset anak Yonatan, cucu Saul, pun pergi menghadap Daud. Apabila dia nampak Daud, dia membongkok lalu bersujud ke tanah. Kemudian Daud berkata, “Mefiboset!” Dia menjawab, “Ya, tuanku.”  Daud berkata kepadanya, “Janganlah takut. Beta pasti akan menunjukkan kasih setia+ kepadamu demi ayahmu Yonatan. Beta akan mengembalikan kepadamu semua tanah yang dahulunya milik datukmu Saul. Kamu akan sentiasa makan di meja beta.”+  Mefiboset bersujud dan berkata, “Siapalah hamba ini. Hamba hanya seperti anjing mati.+ Mengapakah tuanku melayan hamba dengan begitu baik?”  Selepas itu, raja memanggil Ziba, iaitu hamba Saul, dan berkata kepadanya, “Segala milik Saul dan keluarganya akan beta berikan kepada cucunya, Mefiboset.+ 10  Kamu, anak-anakmu, dan hamba-hambamu akan mengusahakan tanahnya. Kamu akan mengumpulkan hasil tanah dan membekalkan makanan kepada keluarganya. Tetapi Mefiboset akan sentiasa makan di meja beta.”+ Ziba mempunyai 15 orang anak lelaki dan 20 orang hamba.+ 11  Kemudian Ziba berkata kepada raja, “Hamba akan melakukan segala yang telah tuanku perintahkan.” Maka Mefiboset makan di meja Daud, seperti seorang anak raja. 12  Mefiboset mempunyai seorang anak lelaki. Namanya Mika,+ dan dia masih muda. Semua orang yang tinggal di rumah Ziba menjadi hamba Mefiboset. 13  Demikianlah Mefiboset, yang cacat kedua-dua belah kakinya itu,+ tinggal di Yerusalem dan dia selalu makan di meja raja.+

Nota Kaki

Atau “Dia tempang.”