Dua Tawarikh 19:1-11
19 Yehosafat, iaitu raja Yehuda, pulang dengan selamat+ ke istananya di Yerusalem.
2 Seorang utusan* yang bernama Yehu+ anak Hanani+ pergi menghadap Raja Yehosafat lalu berkata kepadanya, “Patutkah tuanku menolong orang yang jahat?+ Patutkah tuanku mengasihi orang yang membenci Yehuwa?+ Oleh sebab tuanku telah berbuat demikian, Yehuwa murka terhadap tuanku.
3 Walaupun demikian, Tuhan juga menemui hal-hal baik dalam diri tuanku.+ Tuanku telah menyingkirkan tiang-tiang suci* dari negeri ini, dan tuanku telah bertekad dalam hati* untuk mencari Tuhan yang benar.”+
4 Yehosafat terus menetap di Yerusalem. Sekali lagi, dia mengunjungi rakyat, dari Beer-syeba sampai ke kawasan pergunungan Efraim.+ Dia berbuat demikian untuk memimpin mereka kembali kepada Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka.+
5 Dia juga melantik hakim-hakim di setiap kota berkubu di seluruh negeri Yehuda.+
6 Dia berkata kepada para hakim itu, “Berhati-hatilah dalam segala perbuatan kamu, kerana kamu melaksanakan penghakiman atas nama Yehuwa, dan bukannya atas nama manusia. Tuhan menyertai kamu apabila kamu melaksanakan penghakiman.+
7 Hendaklah kamu takut akan Yehuwa.+ Berhati-hatilah dalam segala perbuatan kamu kerana Yehuwa ialah Tuhan yang adil.+ Dia tidak berat sebelah+ dan Dia tidak menerima rasuah.”+
8 Yehosafat juga melantik beberapa orang Lewi, imam, dan ketua puak Israel untuk berkhidmat kepada Yehuwa di Yerusalem. Mereka bertugas sebagai hakim dan mengadili perkara-perkara yang dikemukakan oleh penduduk Yerusalem.+
9 Dia memberikan perintah berikut kepada mereka: “Hendaklah kamu takut akan Yehuwa, dan jalankanlah tugas kamu dengan setia dan sepenuh hati. Inilah apa yang harus kamu lakukan:
10 Apabila saudara-saudara kamu datang dari kota mereka dan mengemukakan perkara kepada kamu, tidak kira perkara yang berkaitan dengan pembunuhan+ atau persoalan tentang hukum, perintah, peraturan, atau undang-undang, kamu haruslah menasihati mereka. Dengan demikian, mereka tidak akan berdosa terhadap Yehuwa, dan Dia tidak akan murka terhadap kamu dan saudara-saudaramu. Kamu haruslah berbuat demikian agar kamu tidak bersalah.
11 Seorang ketua imam yang bernama Amaria akan mengawasi kamu dan bertanggungjawab atas segala perkara yang berkaitan dengan khidmat kepada Yehuwa.+ Ketua suku Yehuda, iaitu Zebadia anak Ismael, bertanggungjawab atas segala perkara yang berkaitan dengan raja. Orang Lewi akan berkhidmat sebagai pegawai kamu. Laksanakanlah tugas kamu dengan penuh keberanian. Semoga Yehuwa memberkati usaha baik kamu.”+