2 Tawarikh 21:1-20

  • Yehoram, raja Yehuda (1-11)

  • Surat Elia kepada Yehoram (12-15)

  • Yehoram mati dengan teruk (16-20)

21  Yehosafat meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anak lelakinya yang bernama Yehoram menggantikannya sebagai raja.+  Anak lelaki Yehosafat yang lain ialah Azarya, Yehiel, Zakharia, Azarya, Mikhael, dan Shefatiya. Mereka semua ialah anak lelaki Raja Yehosafat dan adik-adik lelaki Yehoram.  Bapa mereka telah memberikan banyak perak, emas, dan barangan berharga serta kota-kota berkubu di Yehuda kepada mereka.+ Tetapi bapa mereka melantik Yehoram menjadi raja+ kerana dia ialah anak sulungnya.  Apabila Yehoram mewarisi kerajaan bapanya, dia mengukuhkan kedudukannya. Dia membunuh semua adik lelakinya+ dan beberapa orang pegawai Israel dengan pedang.  Dia berumur 32 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama lapan tahun.+  Oleh sebab dia mengahwini anak perempuan Ahab,+ dia mengikut jejak raja-raja Israel,+ seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab. Ya, Yehoram terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.  Tetapi Yehuwa tidak ingin memusnahkan keturunan Daud. Hal ini demikian kerana Dia telah membuat perjanjian dengan Daud+ dan berjanji bahawa Daud akan sentiasa mempunyai seorang keturunan yang menjadi raja.*+  Pada zaman pemerintahan Yehoram, orang Edom memberontak terhadap Yehuda+ dan menabalkan raja sendiri.+  Maka Yehoram dan ketua-ketua tenteranya pergi ke Edom dengan semua kereta kudanya. Pada waktu malam, Yehoram bangkit dan mengalahkan orang Edom yang telah mengepungnya dan ketua-ketua pasukan kereta kudanya. 10  Namun demikian, Edom tetap memberontak terhadap Yehuda sampai hari ini. Pada masa itu juga, Libna+ memberontak terhadap Yehoram kerana dia telah meninggalkan Yehuwa, Tuhan nenek moyangnya.+ 11  Dia bahkan mendirikan tempat-tempat ibadat+ di pergunungan Yehuda dan menyebabkan penduduk Yerusalem tidak setia kepada Tuhan.* Dia telah menyesatkan orang Yehuda. 12  Kemudian Nabi Elia+ menulis surat kepada Yehoram. Surat itu berbunyi, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Daud, nenek moyang tuanku: ‘Engkau tidak mengikut haluan bapamu Yehosafat+ ataupun haluan Asa,+ raja Yehuda. 13  Sebaliknya engkau mengikut haluan raja-raja Israel+ dan menyebabkan Yehuda dan penduduk Yerusalem tidak setia kepada Tuhan,*+ sebagaimana keluarga Ahab tidak setia kepada Tuhan.+ Engkau bahkan membunuh adik-adik lelakimu.+ Ya, engkau membunuh ahli keluargamu yang lebih baik daripadamu. 14  Oleh itu, Yehuwa akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat atas rakyatmu dan anak isterimu serta membinasakan semua harta milikmu. 15  Engkau akan mendapat banyak penyakit, termasuk penyakit usus. Penyakit ususmu akan bertambah teruk hari demi hari sehingga ususmu terkeluar.’” 16  Kemudian Yehuwa menyebabkan*+ orang Filistin+ dan orang Arab+ yang tinggal dekat dengan orang Etiopia* untuk datang menyerang Yehoram. 17  Mereka pun menyerbu Yehuda dan menyerang penduduknya. Mereka merampas semua harta di dalam istana.+ Selain itu, mereka menawan semua anak isteri Yehoram, kecuali Yehoahas,*+ anak bongsunya. 18  Setelah semua ini berlaku, Yehuwa menyebabkan Yehoram mendapat penyakit usus yang tidak dapat diubati.+ 19  Beberapa lama kemudian, iaitu selepas dua tahun berlalu, penyakit Yehoram begitu parah sehingga ususnya terkeluar. Dia menderita dengan sangat teruk, dan akhirnya mati. Rakyat tidak menyalakan unggun api untuk menghormatinya, sebagaimana yang telah dilakukan bagi nenek moyangnya.+ 20  Yehoram berusia 32 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Tiada seorang pun yang berasa sedih ketika dia meninggal. Dia dikebumikan di Kota Daud,+ tetapi bukan di makam diraja.+

Nota Kaki

Harfiah, “bahawa Daud dan anak-anaknya akan sentiasa mempunyai sebuah pelita.”
Atau “melakukan pelacuran rohani.”
Atau “melakukan pelacuran rohani.”
Atau “membangkitkan semangat memberontak.”
Atau “Habsyah.”
Juga dipanggil Ahazia.