Dua Tawarikh 23:1-21
23 Pada tahun ketujuh, Yehoyada bertindak dengan berani. Dia membuat perjanjian dengan ketua-ketua atas 100 orang.+ Ketua-ketua itu ialah Azarya anak Yeroham, Ismael anak Yehohanan, Azarya anak Obed, Maaseya anak Adaya, dan Elisafat anak Zikhri.
2 Kemudian mereka menjelajahi seluruh Yehuda untuk mengumpulkan ketua-ketua puak Israel dan orang Lewi+ dari semua kota Yehuda. Apabila mereka tiba di Yerusalem,
3 mereka membuat perjanjian+ dengan Raja Yehoas di rumah Tuhan yang benar. Selepas itu, Yehoyada berkata kepada mereka,
“Anak raja pasti akan memerintah, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa tentang keturunan Daud.+
4 Inilah apa yang harus kamu lakukan: Kumpulkanlah para imam dan orang Lewi yang bertugas+ pada hari Sabat, dan bahagikan mereka kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan akan menjadi penjaga pintu,+
5 satu kumpulan akan mengawal istana,+ dan satu kumpulan lagi akan mengawal Pintu Gerbang Dasar. Semua rakyat akan berada di halaman Rumah Yehuwa.+
6 Jangan benarkan sesiapa pun untuk masuk ke dalam Rumah Yehuwa, kecuali para imam dan orang Lewi yang sedang bertugas.+ Mereka dibenarkan masuk kerana mereka telah disucikan. Semua rakyat mesti menunaikan kewajipan mereka kepada Yehuwa.
7 Orang Lewi harus memegang senjata dan melindungi raja dari setiap penjuru. Sesiapa yang mencuba masuk ke dalam Rumah Tuhan harus dibunuh. Iringilah raja ke mana sahaja baginda pergi.”
8 Orang Lewi dan semua orang Yehuda melakukan segala yang diperintahkan oleh Imam Yehoyada. Maka setiap orang mengumpulkan anak buah mereka, baik yang bertugas pada hari Sabat mahupun yang tidak bertugas pada hari Sabat,+ kerana Imam Yehoyada mahu mereka semua untuk terus bertugas.+
9 Selepas itu, Imam Yehoyada memberi ketua-ketua atas 100 orang+ tombak, perisai kecil,* dan perisai berbentuk bulat milik Raja Daud,+ yang disimpan di rumah Tuhan yang benar.+
10 Setiap orang memegang senjata dan ditugaskan ke tempat masing-masing. Mereka berkawal di sekeliling raja, dari sebelah kiri Rumah Tuhan sampai ke sebelah kanan, di sisi mazbah dan di sisi Rumah Tuhan.
11 Kemudian mereka membawa anak raja+ keluar lalu mengenakan mahkota padanya dan meletakkan gulungan yang mengandungi Hukum Tuhan di atas kepalanya.+ Yehoyada dan anak-anak lelakinya mengurapi anak itu dan menabalkannya sebagai raja. Setelah itu, mereka bersorak, “Daulat tuanku!”+
12 Apabila Atalya mendengar orang sedang berlari dan bersorak-sorai sambil memuji raja, dia segera pergi ke Rumah Yehuwa, ke tempat mereka berkumpul.+
13 Dia nampak raja sedang berdiri di sisi tiang dekat pintu masuk. Para pemimpin+ dan peniup trompet ada bersama dengan raja. Semua orang bersukacita+ dan meniup trompet. Para penyanyi sedang memimpin nyanyian pujian dengan alat-alat muzik mereka. Maka Atalya mengoyakkan jubahnya dan berteriak, “Pengkhianat! Pengkhianat!”
14 Imam Yehoyada memanggil ketua-ketua atas 100 orang (iaitu ketua-ketua angkatan tentera) dan berkata, “Bawalah Atalya keluar dari barisan pengawal, dan sesiapa yang mengikutnya haruslah dibunuh dengan pedang!” Hal ini demikian kerana Yehoyada pernah berkata, “Jangan bunuh Atalya di Rumah Yehuwa.”
15 Maka mereka menangkap Atalya dan membawanya ke Pintu Gerbang Kuda di istana. Kemudian mereka serta-merta membunuhnya di situ.
16 Selepas itu, Yehoyada membuat perjanjian antara dirinya dengan raja dan dengan semua rakyat bahawa mereka akan terus menjadi umat Yehuwa.+
17 Kemudian semua rakyat pergi ke kuil Baal dan merobohkannya.+ Mereka menghancurkan mazbah-mazbahnya dan patung-patung berhalanya.+ Mereka juga membunuh Matan, iaitu imam Baal,+ di depan mazbah-mazbah itu.
18 Seterusnya Yehoyada melantik para imam dan orang Lewi untuk menguruskan Rumah Yehuwa, menurut pembahagian kumpulan yang telah ditetapkan oleh Daud. Mereka harus bertugas di Rumah Yehuwa dan mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa,+ selaras dengan apa yang tertulis dalam Hukum Musa.+ Mereka juga harus menyanyikan lagu dengan sukacita, seperti yang telah ditetapkan oleh Daud.
19 Selain itu, Yehoyada menempatkan para pengawal di pintu-pintu+ Rumah Yehuwa supaya tiada orang yang najis dapat masuk ke rumah itu.
20 Dia juga menyuruh ketua-ketua atas 100 orang,+ orang bangsawan, para pemimpin, dan semua rakyat pergi bersamanya untuk mengiringi raja yang keluar dari Rumah Yehuwa. Mereka mengikut jalan yang melalui Pintu Gerbang Atas lalu tiba di istana. Kemudian, Yehoas duduk di atas takhta raja.+
21 Seluruh rakyat bersukacita, dan kota itu pun aman damai kerana Atalya telah dibunuh dengan pedang.
Nota Kaki
^ Perisai ini biasanya dibawa oleh pemanah.