Dua Tawarikh 26:1-23

  • Uzia, raja Yehuda (1-5)

  • Angkatan tentera Uzia (6-15)

  • Uzia dijangkiti kusta kerana angkuh (16-21)

  • Uzia meninggal (22, 23)

26  Selepas itu, rakyat Yehuda menabalkan Uzia+ sebagai raja untuk menggantikan bapanya Amazia.+ Pada masa itu, Uzia berusia 16 tahun. 2  Selepas raja* dikebumikan, Uzia membina semula kota Elot+ dan menjadikannya sebahagian daripada kawasan pemerintahan Yehuda.+ 3  Uzia+ berusia 16 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 52 tahun. Ibunya ialah Yekolia dari Yerusalem.+ 4  Dia terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, seperti bapanya Amazia.+ 5  Zakharia mengajarnya untuk takut kepada Tuhan yang benar. Selama Zakharia masih hidup, Uzia menyembah Tuhan. Sepanjang masa dia menyembah Yehuwa, dia hidup makmur.+ 6  Dia melawan orang Filistin+ dan berjaya menembusi tembok kota Gat,+ kota Yabne,+ dan kota Asdod.+ Kemudian dia membina kota-kota lain dekat Asdod dan di kawasan orang Filistin. 7  Tuhan yang benar terus membantu Uzia mengalahkan orang Filistin, orang Arab+ yang tinggal di Gurbaal, dan orang Meunim. 8  Orang Ammon+ mula membayar ufti kepada Uzia, dan dia menjadi begitu berkuasa dan terkenal sehingga kemasyhurannya tersebar ke Mesir. 9  Selain itu, Uzia mendirikan menara+ di Yerusalem, dekat Pintu Gerbang Sudut,+ Pintu Gerbang Lembah,+ dan Tiang Penyokong. Dia juga menguatkan menara-menara itu. 10  Seterusnya dia mendirikan menara-menara+ di padang belantara dan menggali banyak perigi* (kerana dia mempunyai banyak sekali ternakan). Dia juga berbuat demikian di Syefela dan di kawasan dataran.* Dia menyukai pertanian, maka dia mengupah banyak petani dan penjaga ladang anggur di kawasan pergunungan dan di Karmel. 11  Uzia mempunyai angkatan tentera besar yang bersenjata. Mereka akan keluar berperang menurut kumpulan masing-masing. Yeiel, seorang setiausaha,+ dan Maaseya, seorang pegawai, menghitung dan mencatatkan bilangan askar-askar itu.+ Hal itu dilakukan di bawah arahan Hanania, seorang pegawai raja. 12  Dalam kalangan pahlawan yang gagah itu, terdapat 2,600 orang ketua puak. 13  Ketua-ketua ini memimpin 307,500 orang askar yang gagah. Askar-askar ini pandai berperang dan membantu raja melawan musuh.+ 14  Uzia melengkapi seluruh angkatan tenteranya dengan perisai, tombak,+ topi besi, baju zirah,+ busur, dan batu lontar.+ 15  Selain itu, dia membuat mesin-mesin perang yang direka oleh para juruteranya di Yerusalem. Mesin-mesin ini dapat melepaskan anak panah dan menghumban batu besar dari atas menara+ dan penjuru tembok. Demikianlah kemasyhuran Raja Uzia tersebar luas, dan dia menjadi sangat berkuasa kerana dia mendapat pertolongan daripada Tuhan. 16  Selepas Uzia menjadi berkuasa, dia menjadi angkuh. Keangkuhannya menyebabkan kejatuhannya. Dia bertindak tidak setia kepada Yehuwa, Tuhannya, dengan memasuki Rumah Yehuwa untuk membakar kemenyan di mazbah kemenyan.+ 17  Imam Azarya bersama 80 orang imam Yehuwa yang berani segera menyusuli Uzia 18  dan mencuba menghalangnya. Mereka berkata, “Tuanku Uzia! Tuanku tidak berhak membakar kemenyan kepada Yehuwa!+ Hanya para imam yang boleh berbuat demikian kerana mereka ialah keturunan Harun+ yang telah disucikan. Tinggalkanlah tempat suci ini. Tuanku telah bertindak tidak setia kepada Tuhan, dan tuanku tidak akan memperoleh penghormatan daripada Tuhan Yehuwa kerana hal ini.” 19  Pada waktu itu, Uzia sedang memegang bekas perbaraan dan ingin membakar kemenyan. Dia menjadi marah,+ dan semasa dia marah terhadap imam-imam itu, penyakit kusta+ timbul pada dahinya. Hal ini terjadi di hadapan para imam, dekat mazbah kemenyan di dalam Rumah Yehuwa. 20  Ketua Imam Azarya dan semua imam melihat Uzia dan nampak penyakit kusta timbul pada dahinya. Maka mereka segera mendesaknya keluar dari situ. Dia keluar dengan tergesa-gesa kerana Yehuwa telah menghukumnya. 21  Raja Uzia menderita penyakit kusta sehingga akhir hayatnya. Dia tinggal di rumah yang berlainan+ dan dia tidak lagi dibenarkan untuk pergi ke Rumah Yehuwa. Sementara itu, anak lelakinya Yotam mengurus istana dan mengadili rakyat.+ 22  Berkenaan kisah hidup Uzia yang lain, iaitu kisah hidupnya dari mula sampai akhir, semuanya dicatatkan oleh Nabi Yesaya+ anak Amoz. 23  Uzia meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya. Oleh sebab dia menghidap penyakit kusta, dia dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran dengan makam diraja. Kemudian, anak lelakinya Yotam+ menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Iaitu, bapanya Amazia.
Atau “di dataran tinggi.”
Kemungkinan besar perigi-perigi ini digali di kawasan berbatu.