Dua Tawarikh 33:1-25
33 Manasye+ menjadi raja semasa dia berusia 12 tahun, dan dia memerintah di Yerusalem selama 55 tahun.+
2 Manasye melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Dia mengikut amalan jijik bangsa-bangsa yang telah dihalau oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+
3 Dia membina semula tempat-tempat pemujaan yang telah dimusnahkan oleh bapanya Hizkia.+ Dia juga membina mazbah untuk Baal dan mendirikan tiang-tiang suci.* Selain itu, dia sujud menyembah segala sesuatu di langit.+
4 Walaupun Yehuwa pernah berfirman mengenai Rumah-Nya,+ “Nama-Ku akan ada di Yerusalem buat selama-lamanya,” Manasye masih membina mazbah-mazbah di dalam Rumah Yehuwa.+
5 Di kedua-dua halaman Rumah Yehuwa, dia membina mazbah-mazbah yang digunakan untuk menyembah segala sesuatu yang ada di langit.+
6 Dia membakar anak-anak lelakinya di dalam api*+ di Lembah Hinom,+ mengamalkan ilmu sihir+ dan ilmu ramal, melantik bomoh, dan melantik tukang tilik.+ Dia membangkitkan kemurkaan Yehuwa dengan melakukan begitu banyak dosa di hadapan-Nya.
7 Dia telah membina patung berhala dan meletakkannya di dalam rumah Tuhan yang benar,+ padahal mengenai rumah itu, Tuhan pernah berfirman kepada Daud dan anaknya Salomo, “Aku akan meletakkan nama-Ku secara kekal di rumah ini dan di Yerusalem, kota yang telah Aku pilih dari seluruh kawasan suku Israel.+
8 Jika orang Israel mematuhi segala perintah yang telah Aku berikan, iaitu Hukum, peraturan, dan ketetapan yang telah disampaikan oleh Musa, Aku tidak lagi akan menghalau mereka keluar dari negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.”
9 Namun Manasye asyik menyesatkan Yehuda dan penduduk Yerusalem. Dia menyebabkan mereka melakukan dosa yang lebih teruk daripada dosa bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+
10 Yehuwa berfirman kepada Manasye dan rakyatnya berkali-kali, tetapi mereka tidak menghiraukan-Nya.+
11 Maka Yehuwa membiarkan ketua-ketua tentera raja Assyria menyerang mereka. Mereka menangkap Manasye dengan cangkuk,* mengikatnya dengan dua utas rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.
12 Sewaktu Manasye menderita, dia merayu dan meminta perkenan Tuhannya Yehuwa. Dia juga merendahkan dirinya dengan sepenuh hati di hadapan Tuhan nenek moyangnya.
13 Dia asyik berdoa dan merayu kepada Tuhan agar Tuhan berbelas kasihan kepadanya. Oleh itu, Tuhan tergerak untuk mengabulkan permintaan Manasye dan memulihkan kedudukannya sebagai raja di Yerusalem.+ Selepas itu, Manasye sedar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.+
14 Manasye mendirikan sebuah tembok yang sangat tinggi di luar Kota Daud.+ Tembok itu bermula dari sebelah barat Gihon,+ yang terletak di dalam sebuah lembah,* sampai ke Pintu Gerbang Ikan.+ Tembok itu juga sampai sejauh Ofel.+ Selain itu, dia melantik ketua-ketua tentera dan menempatkan mereka di semua kota berkubu di Yehuda.
15 Kemudian dia menyingkirkan tuhan-tuhan bangsa asing dan patung berhala yang ada di dalam Rumah Yehuwa.+ Dia juga merobohkan semua mazbah yang dibina olehnya di gunung Rumah Yehuwa+ dan di Yerusalem lalu membuang semuanya ke luar kota.
16 Manasye membaiki mazbah Yehuwa+ dan mula mempersembahkan korban pendamaian+ dan korban kesyukuran+ di atasnya. Dia menyuruh orang Yehuda untuk menyembah Yehuwa, Tuhan orang Israel.
17 Meskipun demikian, rakyat masih mempersembahkan korban di tempat-tempat tinggi. Tetapi mereka hanya mempersembahkan korban itu kepada Yehuwa, Tuhan mereka.
18 Berkenaan kisah hidup Manasye yang lain, doa yang diucapkannya kepada Tuhan, dan perkhabaran-perkhabaran nabi yang disampaikan kepadanya atas nama Yehuwa, Tuhan orang Israel, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang raja-raja Israel.
19 Catatan tentang perkhabaran yang disampaikan oleh para nabi juga merangkumi doa Manasye+ dan cara doanya dikabulkan, semua dosa yang dilakukannya, perbuatannya yang tidak setia,+ dan lokasi tempat ibadat dan tiang suci yang didirikannya+ serta patung-patung berhala yang disembahnya sebelum dia merendahkan diri.
20 Selepas itu, Manasye meninggal lalu dikebumikan dekat istananya. Anak lelakinya Amon menggantikannya sebagai raja.+
21 Amon+ berusia 22 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama dua tahun.+
22 Amon terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa seperti bapanya Manasye.+ Dia mempersembahkan korban kepada semua patung berhala yang dibuat oleh bapanya,+ dan dia terus menyembah patung-patung itu.
23 Dia tidak merendahkan diri di hadapan Yehuwa,+ seperti yang dilakukan oleh bapanya.+ Sebaliknya, Amon melakukan lebih banyak dosa.
24 Akhirnya, hamba-hambanya membelot+ lalu membunuhnya di dalam istananya sendiri.
25 Tetapi rakyat negeri itu membunuh semua orang yang membelot terhadap Raja Amon,+ lalu menjadikan anaknya Yosia+ sebagai raja.