Dua Tawarikh 5:1-14

  • Persediaan untuk perasmian Rumah Tuhan (1-14)

    • Tabut perjanjian dibawa ke Rumah Tuhan (2-10)

5  Apabila semua kerja yang dilakukan oleh Salomo bagi Rumah Yehuwa selesai,+ dia menyimpan semua barangan yang telah disucikan oleh bapanya Daud.+ Dia memasukkan perak, emas, dan semua perkakas ke dalam tempat penyimpanan harta di rumah Tuhan yang benar.+ 2  Kemudian Salomo mengumpulkan para pemimpin, iaitu semua ketua suku dan ketua puak orang Israel. Mereka datang ke Yerusalem untuk membawa tabut perjanjian Yehuwa dari Kota Daud,+ iaitu Sion.+ 3  Semua orang Israel berkumpul menghadap raja sempena perayaan* yang diadakan pada bulan ketujuh.+ 4  Apabila semua pemimpin orang Israel tiba, orang Lewi pun mengangkat tabut itu.+ 5  Para imam dan orang Lewi* membawa tabut itu, khemah pertemuan,+ dan semua peralatan suci yang ada di dalam khemah itu. 6  Raja Salomo dan segenap umat Israel yang telah dijemput untuk menghadapnya, berkumpul di hadapan tabut perjanjian. Ada begitu banyak biri-biri dan lembu yang dikorbankan+ sehingga bilangannya tidak dapat dikira. 7  Kemudian para imam membawa tabut perjanjian Yehuwa ke tempat yang telah ditentukan, iaitu ke dalam Bilik Maha Suci. Itulah bilik di bahagian paling belakang Rumah Tuhan, dan mereka meletakkannya di bawah sayap kerub-kerub.+ 8  Sayap kerub-kerub itu terbentang di atas tabut perjanjian dan menutupi tabut itu dan kayu pengusungnya.+ 9  Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari Bilik Suci yang terletak di hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari luar. Kayu-kayu pengusung itu masih di situ sehingga sekarang. 10  Di dalam tabut itu, tidak ada apa-apa kecuali dua keping batu tulis. Batu-batu tulis itu dimasukkan oleh Musa semasa dia berada di Horeb,+ iaitu ketika Yehuwa membuat perjanjian+ dengan orang Israel selepas mereka keluar dari Mesir.+ 11  Semua imam yang hadir, iaitu imam-imam daripada semua kumpulan, telah menyucikan diri mereka.+ Semasa para imam itu keluar dari tempat yang suci,+ 12  para penyanyi orang Lewi+ yang terdiri daripada Asaf,+ Heman,+ Yedutun,+ dan anak-anak lelaki mereka serta saudara-saudara mereka, sedang berdiri di sebelah timur mazbah. Mereka memakai pakaian yang bermutu tinggi, dan memegang simbal, alat-alat muzik bertali, dan kecapi. Mereka juga disertai 120 orang imam lain yang meniup trompet.+ 13  Peniup trompet dan para penyanyi memuji dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa dengan sebulat suara. Mereka memuji Yehuwa dengan berkata, “Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi,”+ sambil diiringi bunyi trompet, simbal, dan alat-alat muzik yang lain. Pada waktu itu, Rumah Yehuwa mula dipenuhi dengan awan.+ 14  Para imam tidak dapat meneruskan tugas mereka kerana awan itu. Sesungguhnya, kemuliaan Yehuwa telah memenuhi rumah Tuhan yang benar.+

Nota Kaki

Iaitu, Perayaan Pondok Daun.
Atau “Para imam daripada keturunan Lewi.”