Dua Tawarikh 9:1-31
9 Ratu dari Syeba+ mendengar tentang kemasyhuran Salomo. Maka dia pergi ke Yerusalem untuk menguji Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. Dia datang bersama rombongan yang sangat besar dan unta-unta yang membawa minyak balsam,* batu-batu berharga, dan emas yang sangat banyak.+ Dia menghadap Salomo untuk mendapatkan jawapan bagi semua soalannya,+
2 dan Salomo menjawab semuanya. Tidak ada satu soalan pun yang terlalu susah bagi Salomo.
3 Apabila ratu dari Syeba melihat kebijaksanaan Salomo,+ istana yang telah dibinanya,+
4 makanan di mejanya,+ aturan tempat duduk pegawainya, cara kerja dan pakaian para pelayannya, pengurus minumannya dan pakaian mereka, dan korban-korban bakar yang sering dipersembahkannya di Rumah Yehuwa,+ ratu itu berasa sangat kagum.
5 Oleh itu, ratu berkata kepada raja, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang pencapaian* dan kebijaksanaan tuanku.
6 Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata sendiri.+ Apa yang beta dengar tentang kebijaksanaan tuanku tidak separuh pun daripada apa yang beta nampak sekarang.+ Tuanku jauh lebih hebat daripada apa yang telah beta dengar.+
7 Berbahagialah rakyat tuanku dan para pegawai tuanku yang sentiasa bersama tuanku kerana mereka dapat mendengar kebijaksanaan tuanku!
8 Terpujilah Yehuwa, Tuhan tuanku! Dia berkenan kepada tuanku dan menjadikan tuanku raja yang mewakili Yehuwa, Tuhan tuanku. Dia mengasihi Israel+ dan mahu mereka kekal buat selama-lamanya, maka Dia telah menjadikan tuanku sebagai raja mereka supaya tuanku dapat menegakkan keadilan dan melakukan apa yang benar.”
9 Ratu dari Syeba memberi Salomo 120 talenta* emas,+ minyak balsam yang banyak sekali, dan batu-batu berharga. Belum pernah ada orang yang memberikan begitu banyak minyak balsam kepada Raja Salomo seperti yang diberikan oleh ratu itu.+
10 Hamba-hamba Hiram dan hamba-hamba Salomo yang membawa emas dari Ofir,+ juga membawa batu-batu berharga dan kayu cendana.+
11 Raja menggunakan kayu itu untuk membuat tangga Rumah Yehuwa+ dan tangga istana raja.+ Dia juga menggunakan kayu itu untuk membuat kecapi dan alat muzik yang bertali untuk para penyanyi.+ Kayu cendana sebanyak itu tidak pernah dilihat di negeri Yehuda.
12 Raja Salomo memberi ratu itu segala yang diminta dan diingininya, lebih banyak daripada* apa yang dibawa oleh ratu itu. Kemudian ratu itu pulang ke negerinya bersama hamba-hambanya.+
13 Setiap tahun, Salomo menerima 666 talenta emas.+
14 Selain itu, dia juga menerima emas dan perak daripada para saudagar, para pedagang, semua raja orang Arab, dan gabenor wilayahnya.+
15 Raja Salomo menggunakan emas campuran untuk membuat 200 buah perisai besar+ (sebanyak 600 syekel* emas campuran digunakan untuk membuat setiap perisai).+
16 Dia juga menggunakan emas campuran untuk membuat 300 buah perisai kecil* (sebanyak 3 mina* emas digunakan untuk membuat setiap perisai kecil). Selepas itu, raja meletakkan semua perisai itu ke dalam Rumah Hutan Lebanon.+
17 Raja juga membuat sebuah takhta yang besar daripada gading dan melapisinya dengan emas tulen.+
18 Di depan takhta itu, ada enam anak tangga, dan ada sebuah bangku kaki emas yang disambungkan pada takhta itu. Takhta itu mempunyai tempat letak tangan pada kedua-dua sisinya, dan terdapat sebuah patung singa yang berdiri pada kedua-dua sisi itu.+
19 Pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu, ada sebuah patung singa; kesemuanya ada 12 buah patung singa.+ Tidak ada kerajaan lain yang mempunyai takhta seperti itu.
20 Semua cawan Raja Salomo diperbuat daripada emas, dan semua perkakas di Rumah Hutan Lebanon diperbuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali kerana pada zaman Salomo, perak dianggap tidak berharga.+
21 Kapal-kapal Salomo yang dikendalikan oleh hamba-hamba Hiram+ akan belayar ke Tarsis.+ Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Tarsis itu akan kembali dengan membawa emas, perak, gading,+ beruk, dan burung merak.
22 Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada semua raja lain di bumi.+
23 Raja-raja di seluruh bumi datang menghadap Salomo untuk mendengar kebijaksanaan yang telah dikurniakan oleh Tuhan yang benar kepadanya.+
24 Setiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah untuknya, iaitu barangan perak dan emas, pakaian,+ senjata, minyak balsam, kuda, dan baghal. Hal ini berterusan tahun demi tahun.
25 Raja Salomo mempunyai kereta-kereta kuda, 4,000 kandang kuda, dan 12,000 ekor kuda.*+ Dia menempatkan semuanya di kota-kota penyimpanan kereta kuda dan di tempat yang berhampiran dengan istana raja di Yerusalem.+
26 Salomo berkuasa atas semua raja dari Sungai Efrat sampai ke negeri orang Filistin dan sempadan negeri Mesir.+
27 Raja Salomo menjadikan perak di Yerusalem sama banyak seperti batu, dan kayu sedar sama banyak seperti pokok ara di Syefela.+
28 Orang membawa kuda-kuda dari Mesir+ dan negeri lain kepada Salomo.
29 Berkenaan kisah hidup Salomo yang lain,+ iaitu kisah hidupnya dari mula sampai akhir, semuanya tertulis dalam buku Nabi Natan,+ dalam nubuat Ahia,+ orang Silo itu, dan dalam catatan Ido,+ seorang lelaki yang menyampaikan penglihatan daripada Tuhan dan yang menulis tentang Yerobeam+ anak Nebat.
30 Salomo memerintah atas seluruh Israel di Yerusalem selama 40 tahun.
31 Salomo meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud.+ Rehabeam, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.+
Nota Kaki
^ Atau “kata-kata.”
^ Lihat Lampiran B14.
^ Atau mungkin, “Raja Salomo memberi ratu itu segala yang diminta dan diingininya, serta memberinya hadiah yang sama nilainya dengan.”
^ Lihat Lampiran B14.
^ Perisai ini biasanya dibawa oleh pemanah.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Atau “12,000 orang penunggang kuda.”