Dua Tesalonika 1:1-12
1 Surat ini daripada Paulus, Silvanus,* dan Timotius.+ Surat ini ditujukan kepada sidang di Tesalonika yang bersatu dengan Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus:
2 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.
3 Saudara-saudara, kami harus sentiasa mengucapkan syukur kepada Tuhan untuk kamu. Kami memang patut berbuat demikian kerana iman kamu bertumbuh secara luar biasa dan kasih kamu semua terhadap satu sama lain juga semakin mendalam.+
4 Maka kami membangga-banggakan kamu+ di hadapan sidang-sidang Tuhan, kerana kamu tetap tabah dan beriman semasa menanggung bermacam-macam penganiayaan dan kesusahan.*+
5 Semua ini membuktikan bahawa penghakiman Tuhan adil, dan disebabkan hal ini, kamu semua telah dianggap layak untuk mewarisi Kerajaan Tuhan, yang deminya kamu mengalami penderitaan.+
6 Penghakiman Tuhan ini memang adil, kerana Dia akan mendatangkan kesengsaraan sebagai balasan kepada orang yang mendatangkan kesengsaraan kepada kamu.+
7 Tetapi bagi kamu yang mengalami kesengsaraan, kamu akan menerima kelegaan bersama-sama kami semasa Tuan Yesus+ muncul bersama malaikat-malaikatnya+ yang perkasa dari syurga
8 dalam api yang menyala-nyala. Dia akan mendatangkan pembalasan terhadap mereka yang tidak mengenal Tuhan, dan terhadap mereka yang tidak mentaati berita baik tentang Yesus, Tuan kita.+
9 Hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka ialah kebinasaan yang kekal,+ dan mereka akan terpisah daripada hadirat Tuan dan daripada kuasanya yang mulia.
10 Hal ini akan berlaku semasa dia datang untuk menerima kemuliaan bersama umatnya yang suci. Pada hari itu semua yang menaruh iman kepadanya akan berasa kagum terhadapnya. Oleh sebab kamu mempercayai kesaksian yang kami sampaikan kepada kamu, kamu akan tergolong bersama mereka.
11 Itulah sebabnya kami selalu berdoa untuk kamu semua supaya Tuhan kita menganggap kamu layak untuk menerima panggilan-Nya,+ dan supaya dengan kuasa-Nya, Dia akan melaksanakan sepenuhnya semua hal baik yang diperkenankan-Nya dan menyempurnakan apa yang sedang kamu lakukan kerana didorong oleh iman.
12 Dengan demikian nama Tuan Yesus akan dimuliakan melalui kamu, dan kamu juga akan dimuliakan kerana kamu bersatu dengannya. Kemuliaan ini diberikan berdasarkan kebaikan hati yang unggul daripada Tuhan kita dan Tuan Yesus Kristus.