Dua Yohanes 1:1-13

  • Salam (1-3)

  • Terus berjalan mengikut kebenaran (4-6)

  • Berhati-hati terhadap penipu (7-11)

  • Rancangan untuk melawat dan salam (12, 13)

1  Surat ini daripada penatua* dan ditujukan kepada wanita yang terpilih* dan anak-anaknya. Aku benar-benar mengasihi kamu semua, dan bukan aku sahaja tetapi juga mereka semua yang telah mengetahui kebenaran, 2  kerana kebenaran tetap ada dalam diri kita dan akan menyertai kita buat selama-lamanya. 3  Kebaikan hati yang unggul, belas kasihan, kedamaian, kebenaran, dan kasih, daripada Tuhan, Bapa kita, dan daripada Anak Bapa, iaitu Yesus Kristus, akan menyertai kita. 4  Aku sangat gembira kerana aku mendapati bahawa beberapa orang antara anak-anak kamu berjalan mengikut kebenaran,+ selaras dengan perintah yang kita terima daripada Bapa. 5  Maka sekarang aku memohon kepada kamu, hai wanita yang terpilih, agar kamu saling mengasihi. (Perintah yang aku tulis ini bukanlah perintah yang baharu, tetapi perintah yang sudah kita miliki sejak mula lagi.)+ 6  Kita menunjukkan bahawa kita mempunyai kasih dengan terus hidup menurut perintah-perintah Bapa.+ Inilah perintah yang telah kamu dengar sejak permulaan: Kamu harus terus menunjukkan kasih. 7  Hal ini demikian kerana ada banyak penipu yang telah muncul di dunia,+ dan mereka tidak mengakui bahawa Yesus Kristus pernah datang sebagai manusia.+ Mereka ialah penipu dan musuh Kristus.*+ 8  Berhati-hatilah agar kamu tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan. Dengan demikian kamu akan memperoleh ganjaran yang sepenuhnya.+ 9  Setiap orang yang tidak berpegang pada ajaran Kristus dan yang melampaui batas ajaran tersebut, tidak diperkenankan Tuhan.+ Orang yang tetap berpegang pada ajaran Kristus diperkenankan oleh Bapa dan Anak.+ 10  Jika seseorang datang kepada kamu dan tidak menyampaikan ajaran itu, janganlah menyambut dia ke dalam rumah kamu+ ataupun mengucapkan salam kepadanya. 11  Hal ini demikian kerana orang yang mengucapkan salam kepadanya turut mengambil bahagian dalam perbuatannya yang jahat. 12  Ada banyak perkara yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi aku tidak mahu menyatakannya melalui surat. Aku berharap dapat datang kepada kamu dan bercakap dengan kamu secara bersemuka, supaya sukacita kamu menjadi sempurna. 13  Anak-anak kepada saudara perempuanmu, iaitu wanita yang terpilih, mengirim salam kepada kamu.

Nota Kaki

Atau “lelaki tua.”
“Wanita yang terpilih” mungkin merujuk kepada seorang wanita atau sebuah sidang Kristian.
Lihat Kamus, “Anti-Kristus.”