Amos 7:1-17

  • Penglihatan tentang kemusnahan orang Israel (1-9)

    • Belalang juta (1-3), api (4-6), tali unting (7-9)

  • Amos dilarang bernubuat (10-17)

7  Aku mendapat suatu penglihatan daripada Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Dalam penglihatan itu, aku nampak Dia mendatangkan kawanan belalang juta semasa tanaman musim sejuk* mula bercambah. Tumbuhan itu ditanam selepas orang memotong rumput di padang raja. 2  Selepas semua tumbuhan di negeri itu habis dimakan oleh kawanan belalang juta, aku berseru, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ampunkanlah kesalahan umat-Mu!+ Bagaimana mungkin keturunan Yakub dapat bertahan? Mereka sangat lemah!”+ 3  Maka Yehuwa mempertimbangkan semula keputusan-Nya.+ Kemudian Yehuwa berfirman, “Hal itu tidak akan berlaku.” 4  Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Dalam penglihatan itu, aku nampak Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, mengarahkan agar api diturunkan sebagai hukuman. Api itu mengeringkan lautan besar dan menghanguskan sebahagian negeri itu. 5  Selepas itu, aku berseru, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, hentikanlah hukuman itu!+ Bagaimana mungkin keturunan Yakub dapat bertahan? Mereka sangat lemah!”+ 6  Maka Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, mempertimbangkan semula keputusan-Nya.+ Kemudian Yehuwa berfirman, “Hal itu juga tidak akan berlaku.” 7  Selepas itu, aku mendapat suatu penglihatan lagi. Dalam penglihatan itu, aku nampak Yehuwa berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting.* Dia memegang seutas tali unting. 8  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Lalu aku menjawab, “Seutas tali unting.” Yehuwa berfirman lagi, “Aku akan meletakkan tali unting ini dalam kalangan umat-Ku Israel. Aku tidak akan mengampunkan dosa mereka lagi.+ 9  Tempat-tempat pemujaan* Ishak+ akan dimusnahkan, dan semua tempat suci Israel akan dihancurkan.+ Aku akan membinasakan keluarga Yerobeam dengan pedang.”+ 10  Amazia, imam di Bethel,+ menghantar pesanan ini kepada Raja Yerobeam,+ iaitu raja Israel, “Amos sedang merancang untuk memberontak terhadap tuanku di negeri tuanku sendiri.+ Rakyat tidak tahan lagi mendengar kata-kata Amos,+ 11  kerana dia berkata, ‘Yerobeam akan mati dibunuh dengan pedang, dan Israel pasti akan ditawan lalu dibuang negeri.’”+ 12  Kemudian Amazia berkata kepada Amos, “Hai orang yang menyampaikan penglihatan Tuhan, pergilah ke Yehuda dan bernubuatlah di sana. Carilah makananmu di sana.+ 13  Tetapi jangan lagi bernubuat di Bethel,+ kerana tempat ini ialah tempat suci bagi raja+ dan tempat ibadat kerajaan.” 14  Maka Amos menjawab, “Aku bukan nabi dan bukan seorang anak nabi. Aku hanyalah seorang gembala+ dan pemelihara pokok ara. 15  Tetapi Yehuwa telah memanggil aku daripada pekerjaan menggembala ternak. Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Pergilah dan sampaikanlah perkhabaran-Ku kepada umat Israel.’+ 16  Oleh itu, sekarang inilah firman Yehuwa kepadamu: ‘Kamu berkata, “Jangan menyampaikan perkhabaran buruk tentang umat Israel+ dan tentang keturunan Ishak.” 17  Maka Aku, Yehuwa, berfirman kepadamu, “Isterimu akan menjadi pelacur di kota, dan semua anak lelaki serta anak perempuanmu akan dibunuh dengan pedang. Tanahmu akan dibahagi-bahagikan dengan alat pengukur, dan kamu sendiri akan mati di negeri asing. Orang Israel pasti akan ditawan lalu dibuang negeri.”’”+

Nota Kaki

Iaitu, semasa bulan Januari dan Februari.
Alat yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu benda tegak atau tidak.
Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.