Ayub 12:1-25

  • Ayub menjawab (1-25)

    • “Aku tidak lebih rendah daripada kamu” (3)

    • “Aku sudah menjadi bahan ketawa” (4)

    • ‘Tuhan mempunyai kebijaksanaan’ (13)

    • Tuhan lebih tinggi daripada hakim dan raja (17, 18)

12  Kemudian Ayub menjawab,  2  “Memanglah kamu orang yang bijak,Dan kebijaksanaan akan lenyap apabila kamu mati!  3  Tetapi aku juga berpengertian. Aku tidak lebih rendah daripada kamu. Siapakah yang tidak tahu akan semua perkara itu?  4  Aku sudah menjadi bahan ketawa bagi sahabat-sahabatku,+Kerana aku berharap agar Tuhan mendengarkan seruanku.+ Ya, orang yang baik dan tidak bercela seperti aku akan ditertawakan.  5  Orang yang tiada kerunsingan menghina orang yang ditimpa malapetaka.Mereka berfikir bahawa hanya orang yang tidak teguh dilanda bencana.  6  Seperti orang yang menggenggam berhala pujaan mereka,Para perompak hidup damai sejahtera,+Dan orang yang mengundang kemurkaan Tuhan hidup aman sentosa.+  7  Namun bertanyalah kepada binatang-binatang, dan kamu akan diajar;Bertanyalah juga kepada burung-burung di langit, dan kamu akan diberi pemahaman.  8  Perhatikanlah* bumi, dan kamu akan mendapat ilmu;Perhatikanlah juga ikan-ikan di laut, dan kamu akan menerima penjelasan.  9  Siapakah yang tidak tahu bahawaYehuwalah yang menciptakan semua itu? 10  Nafas kehidupan segala makhlukDan nyawa setiap manusia ada dalam tangan-Nya.+ 11  Bukankah telinga yang menguji kata-kata,Sebagaimana lidah mengecap makanan?+ 12  Bukankah kebijaksanaan ada pada orang tua?+Bukankah pengertian ada pada orang yang lanjut usia? 13  Tetapi Tuhanlah yang mempunyai kebijaksanaan dan kekuatan;+Dialah yang mempunyai pengertian dan Dialah yang akan melaksanakan kehendak-Nya.+ 14  Apa yang dirobohkan-Nya tidak dapat dibina semula,+Dan apa yang telah ditutup-Nya tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun. 15  Apabila Dia menahan hujan, segala sesuatu menjadi kering;+Apabila Dia mencurahkan hujan, bumi digenangi air.+ 16  Tuhan amat kuat dan bijaksana;+Para pendosa dan orang yang menyebabkan orang lain berdosa ada dalam kekuasaan-Nya. 17  Dia memalukan para penasihat,Dan mempersendakan para hakim.+ 18  Dia melepaskan belenggu-belenggu yang dikenakan oleh para raja,+Dan mengenakan pengikat pada pinggang mereka. 19  Dia merendahkan para imam,+Dan menggulingkan para pemerintah.+ 20  Dia membungkam mulut para penasihat yang dipercayai,Dan merampas kebijaksanaan daripada orang tua-tua. 21  Dia menghina para pembesar,+Dan melemahkan orang yang berkuasa. 22  Dia mendedahkan perkara-perkara yang tersembunyi dalam kegelapan,+Dan menerangi tempat-tempat yang kelam. 23  Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat supaya mereka dibinasakan;Dia menjadikan bangsa-bangsa besar supaya mereka ditawan. 24  Dia merampas pengertian para pemimpin,Dan membuat mereka mengembara tanpa tujuan di tanah yang tandus.+ 25  Dia membuat mereka meraba-raba dalam kegelapan,+Dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “Bercakaplah kepada.”