Ayub 2:1-13
2 Kemudian malaikat-malaikat*+ menghadap Yehuwa lagi,+ dan Syaitan juga datang menghadap Yehuwa.+
2 Lalu Yehuwa bertanya kepada Syaitan, “Dari manakah engkau datang?” Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”+
3 Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Adakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Di seluruh bumi, tiada seorang pun yang seperti dia. Dia setia dan tulus hati.+ Dia takut kepada-Ku dan menjauhi kejahatan. Walaupun engkau mencuba menghasut Aku+ untuk mencelakakan dia tanpa sebab, dia tetap setia kepada-Ku.”+
4 Tetapi Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.
5 Jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan menyakiti tubuhnya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”+
6 Maka Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Engkau boleh melakukan apa sahaja terhadapnya. Tetapi engkau tidak boleh mengambil nyawanya.”
7 Kemudian Syaitan beredar dari hadapan Yehuwa lalu menyebabkan Ayub dijangkiti bisul yang sangat teruk+ dari telapak kaki sampai kepalanya.
8 Ayub duduk di atas abu+ sambil mengikis kulitnya dengan sekeping pecahan tembikar.
9 Isteri Ayub berkata kepadanya, “Apa gunanya kamu tetap setia kepada Tuhan? Kutuklah Tuhan, dan matilah!”
10 Ayub menjawab, “Kamu bercakap seperti seorang wanita yang bodoh. Adakah kita hanya menerima perkara yang baik daripada Tuhan, tetapi tidak menerima perkara yang buruk?”+ Walaupun semua hal tersebut menimpa Ayub, dia tidak mengucapkan apa-apa yang menyebabkannya berdosa.+
11 Tiga orang sahabat Ayub, iaitu Elifas+ orang Teman, Bildad+ orang Suah,+ dan Zofar+ orang Naama, berangkat dari tempat masing-masing setelah mendengar tentang segala kesusahan yang menimpa Ayub. Mereka memutuskan untuk berkumpul dan melawat Ayub supaya mereka dapat melegakan dan menghiburkan hatinya.
12 Ketika mereka masih jauh, mereka nampak Ayub tetapi tidak mengenalnya. Apabila mereka sedar bahawa orang itu ialah Ayub, mereka mula menangis dengan kuat dan mengoyakkan jubah masing-masing. Mereka juga menghamburkan debu ke udara dan ke atas kepala mereka.+
13 Mereka duduk di atas tanah bersama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam. Mereka tidak mengucapkan sepatah kata pun kepadanya kerana mereka nampak bahawa dia sangat menderita.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “anak-anak Tuhan.”