Ayub 23:1-17
23 Ayub menjawab,
2 “Aku sudah kehabisan tenaga kerana mengeluh.Namun aku akan tetap mengadu kepada Tuhan.+
3 Seandainya aku tahu di mana Tuhan berada,+
Aku pasti akan pergi ke tempat-Nya.+
4 Aku akan mengadukan perkaraku kepada-Nya,Dan aku akan menyatakan semua hujahku.
5 Aku akan mengetahui bagaimana Dia memberikan jawapan,Dan aku akan meneliti apa yang akan dikatakan-Nya.
6 Adakah Dia akan menentang aku dengan kuasa-Nya yang hebat?
Tentu tidak! Sebaliknya, Dia akan mendengar kata-kataku.+
7 Tuhan akan menyelesaikan aduan orang jujur;Hakimku akan menyatakan aku tidak bersalah buat selama-lamanya.
8 Namun ketika aku pergi ke timur, Dia tiada di sana;Apabila aku pergi ke barat, aku masih tidak menjumpai-Nya.
9 Dia pergi ke sebelah kiriku, tetapi aku tidak dapat melihat-Nya;Dia pergi ke sebelah kananku, tetapi aku masih tidak dapat melihat-Nya.
10 Namun Tuhan mengetahui haluan yang telah kutempuh.+
Setelah aku diuji oleh-Nya, aku akan menjadi seperti emas murni.+
11 Aku telah mengikut jalan-Nya dengan setia;Aku tidak pernah menyimpang daripada haluan-Nya,+
12 Dan aku tidak pernah mengingkari hukum-Nya.
Aku amat menyukai perintah-Nya,+ bahkan melakukan lebih daripada apa yang diminta-Nya daripadaku.
13 Apabila Tuhan menentukan sesuatu, siapakah yang dapat menghalang-Nya?+
Apabila Dia ingin melakukan sesuatu, Dia pasti akan melaksanakannya.+
14 Ada banyak perkara yang ingin dilakukan oleh Tuhan terhadapku,Dan Dia pasti akan melakukan segala yang dikehendaki-Nya.
15 Itulah sebabnya aku berasa resah dan gelisah;Apabila aku memikirkan-Nya, aku semakin takut akan-Nya.
16 Tuhan menyebabkan aku berasa gentar;Tuhan Yang Maha Kuasa telah membuat aku gerun.
17 Mukaku diselubungi kegelapan yang pekat.Namun begitu, aku tetap tidak akan berdiam diri.