Ayub 3:1-26
3 Selepas itu, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya.+
2 Ayub berkata,
3 “Terkutuklah hari kelahiranku,+Dan terkutuklah malam itu semasa seseorang berkata, ‘Seorang anak lelaki sudah dilahirkan!’
4 Semoga Tuhan menghapuskan hari itu daripada ingatan-Nya.
Biarlah hari itu menjadi gelap,Dan biarlah cahaya tidak bersinar pada hari itu.
5 Biarlah kegelapan yang pekat menyelubunginya,
Biarlah awan mendung menutupinya,
Dan biarlah kegelapan yang mengerikan meliputinya.
6 Biarlah malam itu dibelenggu kesuraman,+Biarlah kesedihan menyelubungi malam itu,Dan biarlah malam itu dihapuskan daripada hitungan tahun dan bulan.
7 Ya, biarlah malam itu dipenuhi kesunyian,Dan biarlah sorakan gembira tidak kedengaran pada malam itu.
8 Biarlah malam itu dikutukOleh orang yang dapat membangunkan Lewiatan.*+
9 Biarlah bintang fajar menjadi gelap,Biarlah malam itu menunggu siang hari yang tidak kunjung tiba,Dan biarlah malam itu tidak melihat sinaran fajar.
10 Terkutuklah malam itu kerana membiarkan aku keluar dari rahim ibuku,+Dan membiarkan aku ditimpa kesusahan.
11 Mengapakah aku tidak mati semasa dilahirkan?
Mengapakah aku tidak meninggal semasa aku keluar dari rahim ibuku?+
12 Mengapakah aku disambut dan dipangku?Mengapakah aku disusui oleh ibuku?
13 Aku sepatutnya sudah berbaring untuk berehat,+Dan tidur nyenyak tanpa gangguan+
14 Bersama para raja dan penasihat mereka,Yang membina tempat kediaman yang kini menjadi reruntuhan,
15 Serta bersama para putera* yang memiliki banyak emas,Dan yang rumah-rumah mereka dipenuhi dengan perak.
16 Mengapakah aku tidak menjadi seperti bayi yang mati dalam kandungan,Dan seperti anak-anak yang tidak pernah melihat cahaya?
17 Kerana di kubur, orang jahat tidak lagi berasa resah,Dan orang yang lelah juga dapat berehat.+
18 Di kubur, para banduan mendapat ketenangan,Dan mereka tidak lagi mendengar suara orang yang mengawasi mereka.
19 Di sana, orang yang berpangkat tinggi dan yang berpangkat rendah sama sahaja,+Dan hamba-hamba dibebaskan daripada tuan mereka.
20 Mengapakah Tuhan membiarkan orang terus hidup sengsara?Mengapakah Dia membiarkan orang terus dicengkam penderitaan?+
21 Mengapakah orang yang menanti kematian tidak menemui maut,+
Sedangkan mereka menginginkannya lebih daripada harta karun?
22 Semasa mereka mati dan dikebumikan,Mereka akan bersukacita dan bergembira.
23 Mengapakah Tuhan membiarkan orang terus hidup tanpa arah tujuan?Mengapakah Dia membiarkan orang terus hidup tanpa harapan?+
24 Sebagai ganti makan, aku mengeluh,+Dan seperti air sungai yang terus mengalir, aku terus merintih.+
25 Segala yang membuat aku takut telah menimpa aku,Dan segala yang membuat aku gerun telah melanda aku.
26 Aku tidak menikmati ketenangan dan ketenteraman,Dan kesusahanku tidak berkesudahan.”