Ayub 42:1-17
42 Kemudian Ayub berkata kepada Yehuwa,
2 “Sekarang aku tahu bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu.Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Engkau daripada melaksanakan kehendak-Mu.+
3 Engkau berfirman, ‘Siapakah ini yang mencuba menimbulkan keraguan terhadap firman-Ku, dan berkata-kata tanpa pengetahuan?’+
Sesungguhnya, aku telah berkata-kata tentang perkara yang terlalu menakjubkan bagiku,Padahal aku tidak tahu dan tidak mengerti apa-apa.+
4 Engkau berfirman, ‘Dengarlah dan Aku akan bercakap kepadamu.
Aku akan bertanya kepadamu, dan engkau mesti menjawab.’+
5 Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau,Tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.
6 Itulah sebabnya aku menarik kembali segala kata-kataku,+Dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.”+
7 Selepas Yehuwa selesai berfirman kepada Ayub, Yehuwa berfirman kepada Elifas orang Teman itu,
“Aku murka terhadapmu dan kedua-dua orang sahabatmu,+ kerana kamu semua tidak mengatakan apa yang benar tentang Aku,+ seperti yang dilakukan oleh hamba-Ku Ayub.
8 Sekarang bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor bebiri jantan kepada hamba-Ku Ayub, lalu persembahkanlah korban bakar bagi dosa kamu sendiri. Kemudian hamba-Ku Ayub akan berdoa bagi pihak kamu,+ dan Aku pasti akan mendengarkan permohonannya. Dengan demikian, meskipun kamu tidak mengatakan apa yang benar tentang Aku, seperti yang dilakukan oleh hamba-Ku Ayub, Aku tidak akan menghukum kamu atas kebodohan kamu itu.”
9 Maka Elifas orang Teman, Bildad orang Suah, dan Zofar orang Naama, melakukan apa yang diperintahkan oleh Yehuwa, lalu Yehuwa mengabulkan doa Ayub.
10 Setelah Ayub berdoa bagi pihak sahabat-sahabatnya,+ Yehuwa menyingkirkan penderitaan Ayub+ dan memulihkan keadaan Ayub sehingga dia hidup makmur semula. Yehuwa memberinya kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya.+
11 Semua saudara lelaki dan saudara perempuan Ayub, serta semua sahabat lamanya+ datang ke rumahnya lalu menjamu selera bersamanya. Yehuwa telah membiarkan banyak kesusahan menimpa Ayub, maka mereka semua bersimpati terhadapnya dan menghiburkan hatinya. Tiap-tiap seorang daripada mereka memberinya sekeping wang perak dan sebentuk cincin emas.
12 Yehuwa memberkati Ayub dengan lebih berlimpah-limpah pada akhir hidupnya.+ Ayub memiliki 14,000 ekor bebiri, 6,000 ekor unta, 2,000 ekor lembu, dan 1,000 ekor keldai betina.+
13 Selain itu, dia mendapat tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan lagi.+
14 Dia menamakan anak perempuannya yang sulung Yemima, yang kedua Kezia, dan yang bongsu Keren-hapukh.
15 Tiada gadis di seluruh negeri yang secantik anak-anak perempuan Ayub. Ayub mewariskan hartanya kepada mereka bersama dengan saudara-saudara lelaki mereka.
16 Selepas itu, Ayub hidup selama 140 tahun lagi dan dia dapat melihat cucu-cicitnya sehingga generasi yang keempat.
17 Akhirnya, Ayub meninggal setelah menikmati umur yang panjang. Dia sangat puas hati dengan kehidupannya.