Bilangan 10:1-36

  • Trompet-trompet perak (1-10)

  • Orang Israel berangkat dari Sinai (11-13)

  • Turutan yang diikuti orang Israel semasa berangkat (14-28)

  • Hobab diminta menjadi penunjuk jalan (29-34)

  • Doa Musa setiap kali umat Israel berangkat (35, 36)

10  Yehuwa berfirman kepada Musa,  “Buatlah dua buah trompet+ daripada perak tempaan, dan gunakanlah trompet itu untuk memanggil orang Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat.  Apabila kedua-dua buah trompet itu ditiup, semua orang Israel harus datang kepadamu dan berkumpul di hadapan pintu masuk khemah pertemuan.+  Tetapi jika hanya sebuah trompet ditiup, hanya pemimpin umat Israel, iaitu mereka yang merupakan ketua atas 1,000 orang, yang harus datang kepadamu.+  “Apabila trompet ditiup dengan nada tinggi dan nada rendah, kelompok perkhemahan di bahagian timur+ harus berangkat.  Apabila trompet ditiup dengan cara yang sama untuk kali kedua, kelompok perkhemahan di bahagian selatan+ harus berangkat. Trompet harus ditiup dengan cara sedemikian setiap kali salah sebuah kelompok perkhemahan berangkat.  “Tetapi kedua-dua buah trompet harus ditiup+ dengan nada yang sama semasa memanggil orang Israel berkumpul.  Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun yang berkhidmat sebagai imam.+ Dari generasi ke generasi, begitulah caranya kamu harus meniup trompet, dan kamu harus sentiasa mematuhi peraturan ini.  “Jika kamu berperang dengan musuh yang datang menyerang di negeri kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang.+ Maka Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyelamatkan kamu daripada musuh. Aku tidak akan melupakan kamu. 10  “Tiuplah trompet-trompet itu juga semasa kamu bersukacita,+ iaitu semasa kamu menyambut perayaan-perayaan+ dan pada permulaan bulan baharu. Kamu harus meniup trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban bakar+ dan korban pendamaian.+ Dengan demikian, Aku, Yehuwa, Tuhan kamu,+ akan sentiasa mengingat kamu.” 11  Pada hari ke-20, bulan kedua, tahun kedua selepas orang Israel keluar dari Mesir,+ awan yang berada di atas khemah suci*+ itu naik. 12  Oleh itu, umat Israel berangkat dari padang belantara Sinai mengikut turutan yang sudah ditetapkan.+ Kemudian awan itu berhenti di padang belantara Paran.+ 13  Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah yang diberikan oleh Yehuwa melalui Musa.+ 14  Kelompok perkhemahan pertama yang berangkat ialah kelompok yang diketuai oleh suku Yehuda. Terdapat tiga buah suku dalam kelompok itu. Ketua bagi kelompok perkhemahan itu ialah Nahason+ anak Aminadab. 15  Ketua bagi suku Isakhar ialah Netanel+ anak Zuar, 16  manakala ketua bagi suku Zebulon pula ialah Eliab+ anak Helon. 17  Selepas khemah suci digulung,+ puak Gerson+ dan puak Merari+ yang membawa khemah itu berangkat. 18  Kelompok perkhemahan kedua yang berangkat ialah kelompok yang diketuai oleh suku Ruben. Terdapat tiga buah suku dalam kelompok itu. Ketua bagi kelompok perkhemahan itu ialah Elizur+ anak Shedeyur. 19  Ketua bagi suku Simeon ialah Selumiel+ anak Zurishadai, 20  manakala ketua bagi suku Gad pula ialah Eliasaf+ anak Dehuel. 21  Kemudian puak Kehat yang membawa peralatan+ yang terdapat di dalam khemah suci berangkat. Khemah suci harus dipasang sebelum mereka tiba di tempat perkhemahan yang baharu. 22  Kelompok perkhemahan ketiga yang berangkat ialah kelompok yang diketuai oleh suku Efraim. Terdapat tiga buah suku dalam kelompok itu. Ketua bagi kelompok perkhemahan itu ialah Elisama+ anak Amihud. 23  Ketua bagi suku Manasye ialah Gamaliel+ anak Pedazur, 24  manakala ketua bagi suku Benyamin pula ialah Abidan+ anak Gideoni. 25  Kelompok perkhemahan terakhir yang berangkat ialah kelompok yang diketuai oleh suku Dan. Kelompok yang terdiri daripada tiga buah suku itu menjadi pengawal barisan belakang bagi semua kelompok perkhemahan yang lain. Ketua bagi kelompok perkhemahan itu ialah Ahiezer+ anak Amishadai. 26  Ketua bagi suku Asyer ialah Pagiel+ anak Okhran, 27  manakala ketua bagi suku Naftali pula ialah Ahira+ anak Enan. 28  Itulah turutan yang diikuti oleh umat Israel semasa mereka berangkat.+ Mereka berangkat secara berkumpulan, seperti pasukan askar. 29  Rehuel,*+ bapa mentua Musa, orang Midian itu, mempunyai anak lelaki yang bernama Hobab. Musa berkata kepada Hobab, “Kami akan pergi ke tempat yang telah dijanjikan oleh Yehuwa untuk diberikan kepada kami.+ Yehuwa telah berjanji untuk memberkati orang Israel.+ Ikutlah kami+ dan kami akan memperlakukan kamu dengan baik.” 30  Tetapi Hobab menjawab, “Tidak, aku mahu balik ke negeriku dan kepada saudara-maraku.” 31  Musa berkata, “Janganlah tinggalkan kami. Kamu tahu tempat untuk berkhemah di padang belantara. Maka kamu dapat menjadi penunjuk jalan bagi kami. 32  Jika kamu ikut kami,+ segala perkara baik yang dilakukan Yehuwa bagi kami akan kami lakukan juga bagimu.” 33  Maka orang Israel meninggalkan gunung Yehuwa+ dan berjalan selama tiga hari untuk mencari tempat perhentian. Sepanjang perjalanan itu, tabut perjanjian+ Yehuwa diusung mendahului mereka.+ 34  Semasa orang Israel berangkat pada siang hari, awan Yehuwa+ sentiasa memimpin mereka. 35  Setiap kali tabut perjanjian diusung, Musa akan berkata, “Ya Yehuwa, bangkitlah+ dan cerai-beraikanlah musuh-Mu! Biarlah orang yang membenci-Mu melarikan diri dari hadapan-Mu!” 36  Setiap kali tabut perjanjian diturunkan, Musa akan berkata, “Ya Yehuwa, kembalilah kepada orang Israel yang tidak terhitung jumlahnya.”+

Nota Kaki

Atau “khemah suci, tempat tabut perjanjian diletakkan.”
Iaitu, Yitro.