Bilangan 12:1-16

  • Miryam dan Harun mencela Musa (1-3)

    • Musa orang yang paling rendah hati (3)

  • Yehuwa membela Musa (4-8)

  • Miryam diserang penyakit kusta (9-16)

12  Musa telah mengahwini seorang wanita Kus.+ Oleh itu, Miryam dan Harun mula mencela Musa. 2  Mereka berkata, “Adakah Yehuwa berfirman melalui Musa sahaja? Bukankah Dia berfirman melalui kita juga?”+ Yehuwa mendengar kata-kata mereka itu.+ 3  Musa merupakan seorang yang rendah hati.+ Dialah yang paling rendah hati di seluruh bumi. 4  Tiba-tiba Yehuwa berfirman kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Aku mahu kamu bertiga pergi ke khemah pertemuan.” Maka mereka bertiga pun pergi ke khemah pertemuan. 5  Di sana, Yehuwa turun di dalam tiang awan+ dan berdiri di pintu masuk khemah pertemuan. Dia memanggil Harun dan Miryam, lalu mereka berdua pun maju ke depan. 6  Dia berfirman kepada mereka, “Dengarlah firman-Ku ini. Jika Aku, Yehuwa, mempunyai seorang nabi dalam kalangan kamu, Aku akan menyatakan diri-Ku kepadanya melalui penglihatan,+ dan Aku akan berfirman kepadanya melalui mimpi.+ 7  Tetapi tidak demikian halnya dengan hamba-Ku Musa. Aku sudah mempercayakan segenap umat-Ku kepadanya,+ 8  dan Aku berfirman kepadanya secara bersemuka.+ Aku berfirman kepadanya secara jelas dan bukannya dengan teka-teki. Aku, Yehuwa, sudah menampakkan diri kepadanya. Maka mengapa kamu begitu berani mencela hamba-Ku Musa?” 9  Yehuwa sangat murka terhadap Harun dan Miryam, lalu Dia segera pergi dari situ. 10  Awan itu juga naik dari khemah pertemuan. Tiba-tiba, Miryam diserang penyakit kusta lalu kulitnya menjadi putih seperti salji.+ Apabila Harun berpaling, dia nampak bahawa Miryam diserang penyakit kusta.+ 11  Oleh itu, dia segera berkata kepada Musa, “Tolonglah tuan, janganlah biarkan kami dihukum kerana dosa ini. Kami tahu bahawa tindakan kami sangat bodoh. 12  Janganlah biarkan dia menjadi seperti bayi yang lahir mati, yang dagingnya sudah setengah busuk ketika dilahirkan.” 13  Maka Musa berseru kepada Yehuwa, “Ya Tuhan, tolonglah sembuhkan dia. Sembuhkanlah dia!”+ 14  Oleh itu, Yehuwa berfirman kepada Musa, “Andai kata bapanya meludahi mukanya, bukankah dia akan menanggung malu selama tujuh hari? Biarlah dia diasingkan di luar perkhemahan selama tujuh hari.+ Selepas itu, dia boleh dibawa masuk semula.” 15  Maka Miryam diasingkan di luar perkhemahan selama tujuh hari.+ Orang Israel tidak memindahkan perkhemahan sehingga Miryam dibawa masuk semula. 16  Selepas itu, orang Israel berangkat dari Hazerot+ lalu berkhemah di padang belantara Paran.+

Nota Kaki