Bilangan 13:1-33
13 Yehuwa berfirman kepada Musa,
2 “Panggillah seorang pemimpin+ daripada setiap suku Israel,+ dan suruhlah mereka mengintip negeri Kanaan, yang akan Aku berikan kepada umat Israel.”
3 Musa menurut perintah Yehuwa dan mengutus para pemimpin tersebut. Mereka pun bertolak dari padang belantara Paran.+
4 Inilah senarai nama para pemimpin itu: Daripada suku Ruben, Syamua anak Zakur;
5 daripada suku Simeon, Safat anak Hori;
6 daripada suku Yehuda, Kaleb+ anak Yefune;
7 daripada suku Isakhar, Yigal anak Yusuf;
8 daripada suku Efraim, Hoshea+ anak Nun;
9 daripada suku Benyamin, Palti anak Rafu;
10 daripada suku Zebulon, Gadiel anak Sodi;
11 daripada suku Yusuf+ (iaitu suku Manasye*),+ Gadi anak Susi;
12 daripada suku Dan, Amiel anak Gemali;
13 daripada suku Asyer, Setur anak Mikhael;
14 daripada suku Naftali, Nahbi anak Wofsi;
15 dan daripada suku Gad, Guel anak Makhi.
16 Itulah senarai nama para pemimpin yang diutus oleh Musa untuk mengintip negeri Kanaan. Musa menukar nama Hoshea anak Nun menjadi Yosua.*+
17 Semasa Musa mengutus mereka untuk mengintip negeri Kanaan, dia berpesan kepada mereka, “Pergilah ke Negeb, kemudian pergilah ke kawasan pergunungan.+
18 Selidikilah keadaan negeri itu,+ dan lihatlah sama ada penduduknya banyak atau sedikit, sama ada mereka kuat atau lemah,
19 dan sama ada mereka tinggal di kota yang bertembok atau tidak. Selidikilah juga sama ada tanah negeri itu baik atau tidak,
20 sama ada tanahnya subur atau tidak,+ dan sama ada terdapat banyak pokok di situ atau tidak. Kamu harus berani,+ dan bawalah sedikit buah-buahan dari negeri itu.” Waktu itu ialah permulaan musim anggur.+
21 Maka mereka pun bertolak dan menjelajahi negeri itu, bermula dari padang belantara Zin,+ lalu ke Rehob,+ yang berdekatan Lebo-hamat.*+
22 Mereka bertolak ke Negeb lalu tiba di Hebron,+ iaitu tempat tinggal Ahiman, Sesai, dan Talmai,+ yang merupakan orang Enak.+ (Kota Hebron dibina tujuh tahun sebelum kota Zoan di Mesir dibina.)
23 Kemudian mereka tiba di Lembah* Eskol.+ Di situ mereka memotong satu cabang pokok anggur. Pada cabang itu, terdapat segugus buah anggur yang begitu berat sehingga harus dipikul dengan sebatang kayu oleh dua orang. Mereka juga membawa beberapa biji buah delima dan buah ara.+
24 Tempat itu dinamakan Lembah Eskol*+ kerana segugus anggur yang telah dipetik oleh orang Israel di situ.
25 Setelah mereka mengintip negeri Kanaan selama 40 hari,+ mereka pun kembali
26 kepada Musa, Harun, dan semua orang Israel yang berkumpul di Kades,+ di padang belantara Paran. Mereka melaporkan apa yang dilihat oleh mereka dan menunjukkan buah-buahan yang dibawa dari negeri itu.
27 Mereka berkata kepada Musa, “Kami telah menjelajahi negeri itu, dan kami mendapati bahawa negeri itu memang melimpah dengan susu dan madu.+ Inilah buah-buahan dari sana.+
28 Tetapi penduduk di sana sangat kuat. Kota-kota mereka sangat besar dan bertembok. Kami juga nampak orang Enak+ di sana.
29 Orang Amalek+ tinggal di kawasan Negeb;+ orang Het, orang Yebus,+ dan orang Amori+ tinggal di kawasan pergunungan; orang Kanaan+ tinggal di tepi laut+ dan di sepanjang Sungai Yordan.”
30 Kaleb mencuba menenangkan orang Israel supaya mereka mendengar kata-kata Musa. Dia berkata, “Marilah kita pergi dan merebut negeri itu sekarang juga! Kita pasti akan berjaya menawan negeri itu!”+
31 Tetapi orang lain yang mengintip negeri itu bersamanya berkata, “Tidak, kita tidak mampu melawan orang di sana, kerana mereka lebih kuat daripada kita.”+
32 Mereka terus mengatakan hal-hal yang buruk+ tentang negeri itu. Mereka berkata, “Kita pasti binasa jika tinggal di negeri itu. Kami nampak bahawa semua penduduk negeri itu besar-besar belaka.+
33 Kami juga nampak gergasi, iaitu keturunan Enak+ yang berasal daripada kaum Nefilim. Jika dibandingkan dengan mereka, kita hanyalah seperti belalang, dan pasti begitulah anggapan mereka terhadap kita.”