Bilangan 14:1-45
14 Selepas umat Israel mendengar hal tersebut, mereka mula menangis dan meraung-raung sepanjang malam.+
2 Segenap umat Israel mula bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun.+ Mereka berkata, “Lebih baik kita mati di Mesir atau di padang belantara ini!
3 Mengapa Yehuwa ingin membawa kita ke tanah itu? Adakah Dia mahu kita dibunuh?+ Isteri dan anak-anak kita akan ditawan.+ Tidakkah lebih baik kita kembali ke Mesir?”+
4 Mereka bahkan berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita melantik seorang ketua untuk memimpin kita kembali ke Mesir!”+
5 Apabila mendengar kata-kata orang Israel, Musa dan Harun bersujud di hadapan semua orang Israel yang sedang berkumpul itu,
6 manakala Yosua+ anak Nun dan Kaleb+ anak Yefune, dua orang antara pengintip-pengintip itu, mengoyakkan jubah mereka.
7 Yosua dan Kaleb berkata kepada umat Israel, “Negeri yang kami jelajahi itu amat baik.+
8 Jika Yehuwa berkenan kepada kita, Dia pasti akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu.+
9 Tetapi janganlah memberontak terhadap Yehuwa, dan janganlah takut kepada penduduk negeri itu.+ Kita pasti berjaya menawan mereka dengan mudah, kerana mereka tidak mempunyai sesiapa pun untuk melindungi mereka, sedangkan kita mempunyai Yehuwa.+ Maka janganlah takut terhadap mereka.”
10 Meskipun demikian, segenap umat Israel mengancam untuk merejam mereka berdua.+ Tetapi tiba-tiba umat Israel melihat cahaya kemuliaan Yehuwa di atas khemah pertemuan.+
11 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sampai bilakah umat ini tidak mahu menghormati Aku?+ Sampai bilakah mereka enggan beriman kepada-Ku meskipun Aku sudah melakukan banyak mukjizat dalam kalangan mereka?+
12 Biarlah Aku mendatangkan wabak dan membinasakan mereka semua, dan biarlah Aku menjadikan engkau sebuah bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka.”+
13 Tetapi Musa berkata kepada Yehuwa, “Engkau telah membawa umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa-Mu. Maka, jika Engkau berbuat demikian, orang Mesir akan mendengar tentang hal ini+
14 dan memberitahukan hal ini kepada penduduk negeri itu. Penduduk di negeri itu pasti sudah mendengar bahawa Engkau, Yehuwa, menyertai kami.+ Mereka sudah mendengar bahawa Engkau, Yehuwa, telah menampakkan diri kepada kami,+ dan bahawa awan-Mu berada di atas perkhemahan kami. Mereka juga sudah mendengar bahawa Engkau berjalan di hadapan kami di dalam tiang awan pada siang hari, dan di dalam tiang api pada malam hari.+
15 Jika Engkau membunuh semua umat-Mu sekali gus, bangsa-bangsa yang pernah mendengar tentang kemasyhuran-Mu pasti akan berkata,
16 ‘Yehuwa tidak mampu membawa umat-Nya ke tanah yang telah dijanjikan-Nya untuk diberikan kepada mereka. Itulah sebabnya Dia membunuh mereka di padang belantara.’+
17 Oleh itu, ya Yehuwa, tunjukkanlah kuasa-Mu yang hebat itu, sebagaimana yang telah Engkau janjikan. Engkau berfirman,
18 ‘Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku menunjukkan kesetiaan dan kasih yang besar.+ Aku mengampunkan kesalahan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman. Aku akan menghukum bapa-bapa kerana dosa mereka, dan hukuman ini akan turut menimpa anak-anak dan cucu-cicit mereka, sehingga generasi yang ketiga dan keempat.’+
19 Maka sebagaimana Engkau telah mengampuni umat ini sejak mereka berada di Mesir sehingga sekarang, ampunkanlah kesalahan umat ini, kerana Engkau mempunyai kasih setia yang melimpah.”+
20 Yehuwa menjawab, “Aku akan mengampuni mereka menurut permintaanmu.+
21 Tetapi demi Aku yang hidup, Aku, Yehuwa, bersumpah bahawa seluruh bumi akan dipenuhi dengan kemuliaan-Ku.+
22 Umat ini telah melihat kemuliaan-Ku dan mukjizat+ yang telah Aku lakukan di Mesir dan di padang belantara. Tetapi mereka terus-menerus menguji Aku*+ dan enggan mendengarkan firman-Ku.+ Itulah sebabnya tiada seorang pun antara mereka
23 yang akan melihat tanah yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang mereka. Ya, tiada seorang pun yang tidak menghormati aku akan melihat negeri itu.+
24 Namun sikap hamba-Ku Kaleb+ tidak sama seperti sikap orang lain. Dia sentiasa mematuhi perintah-Ku dengan sepenuh hati. Maka Aku pasti akan membawanya ke tanah yang telah dijelajahinya itu, dan keturunannya akan mewarisi tanah itu.+
25 Orang Amalek dan orang Kanaan+ tinggal di kawasan lembah.* Maka esok kamu harus berpatah balik ke padang belantara melalui Jalan Laut Merah.”+
26 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa dan Harun,
27 “Sampai bilakah umat yang jahat ini akan terus bersungut-sungut terhadap Aku?+ Aku sudah mendengar semua sungutan mereka!+
28 Beritahulah mereka, ‘Aku, Yehuwa, telah berfirman, “Demi Aku yang hidup, Aku bersumpah bahawa Aku akan melakukan apa yang telah kamu katakan.+
29 Kamu semua yang telah bersungut-sungut terhadap Aku akan mati+ di padang belantara ini. Ya, semua orang yang berumur 20 tahun dan ke atas, dan yang sudah didaftarkan, pasti akan mati di padang belantara ini.+
30 Aku telah bersumpah untuk memberikan tanah itu kepada kamu. Tetapi tiada seorang pun antara kamu yang akan tinggal di tanah itu+ kecuali Kaleb anak Yefune dan Yosua anak Nun.+
31 “‘“Kamu berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan, tetapi Aku akan membawa mereka+ ke negeri yang kamu benci itu.+ Merekalah yang akan melihat negeri itu,
32 tetapi kamu pula akan mati di padang belantara.
33 Oleh sebab kamu tidak setia kepada-Ku, anak-anak kamu akan menjadi gembala di padang belantara selama 40 tahun+ sehingga kamu semua mati di sana.+
34 Kamu telah menjelajahi negeri itu selama 40 hari.+ Maka kamu akan menanggung akibat dosa kamu selama 40 tahun,+ iaitu satu tahun untuk setiap hari. Dengan itu kamu akan tahu akibatnya apabila kamu melawan Aku.*
35 “‘“Aku, Yehuwa, sudah berfirman. Inilah yang akan Aku lakukan terhadap kamu semua yang jahat, yang telah bersepakat untuk menentang Aku: Kamu semua pasti akan mati di padang belantara ini.+
36 Semua lelaki yang diutus oleh Musa untuk mengintip negeri itu, yang telah melaporkan hal-hal yang buruk tentang negeri itu,+ lalu menyebabkan umat Israel bersungut-sungut terhadap-Ku,
37 pasti akan mati. Ya, Aku, Yehuwa, pasti akan menghukum dan membunuh semua lelaki yang telah melaporkan hal-hal yang buruk tentang negeri itu.+
38 Tetapi Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, dua orang antara pengintip-pengintip itu, pasti akan terus hidup.”’”+
39 Setelah Musa menyampaikan kata-kata itu kepada orang Israel, mereka semua mula meratap dan berkabung.
40 Awal pagi keesokan harinya, mereka bangun lalu bersiap-siap untuk pergi ke puncak gunung. Mereka berkata, “Kami tahu bahawa kami sudah berdosa. Tetapi sekarang kami bersedia untuk pergi ke tempat yang dikatakan oleh Yehuwa itu.”+
41 Namun Musa berkata, “Mengapa kamu asyik melanggar perintah Yehuwa? Kamu pasti akan gagal.
42 Janganlah pergi, kerana Yehuwa tidak menyertai kamu. Kamu pasti akan dikalahkan oleh musuh.+
43 Oleh sebab kamu telah berpaling daripada Yehuwa, Yehuwa tidak akan menyertai kamu,+ dan kamu pasti akan ditewaskan oleh orang Amalek dan orang Kanaan.”+
44 Tetapi mereka semua degil dan masih pergi ke puncak gunung.+ Namun tabut perjanjian Yehuwa tidak dibawa bersama mereka,+ dan Musa juga tidak meninggalkan perkhemahan.
45 Kemudian orang Amalek dan orang Kanaan yang tinggal di kawasan pergunungan menyerang mereka lalu menyebabkan mereka lari sampai ke Horma.+