Bilangan 16:1-50

  • Korah, Datan, dan Abiram memberontak (1-19)

  • Para pemberontak dihukum (20-50)

16  Kemudian Korah+ anak Yizhar,+ iaitu cucu Kehat+ anak Lewi,+ berjumpa dengan tiga orang daripada suku Ruben,+ iaitu On, Datan, dan Abiram. (On ialah anak Pelet; Datan dan Abiram ialah anak-anak Eliab.)+  Selepas itu, 250 orang pemimpin umat Israel, yang semuanya merupakan orang terpilih dan orang kenamaan, juga menyertai mereka. Mereka semua memberontak terhadap Musa.  Mereka menghadap+ Musa dan Harun lalu berkata, “Kami sudah bosan dengan kamu berdua! Segenap umat ini suci+ dan Yehuwa menyertai kami semua.+ Jadi mengapa kamu menganggap diri kamu lebih tinggi daripada umat Yehuwa yang lain?”  Sebaik sahaja Musa mendengar hal itu, dia bersujud ke tanah.  Kemudian dia berkata kepada Korah dan semua penyokongnya, “Esok pagi Yehuwa akan menunjukkan siapa milik-Nya,+ siapa yang suci, dan siapa yang layak menghadap-Nya.+ Sesiapa yang dipilih-Nya+ akan menghadap-Nya.  Hai Korah dan semua penyokongmu,+ ambillah bekas perbaraan+ kamu.  Esok pagi, isilah bekas perbaraan itu dengan bara api dan kemenyan, lalu bawalah bekas perbaraan itu ke hadapan Yehuwa. Sesiapa yang dipilih oleh Yehuwa+ akan dianggap suci. Hai orang Lewi,+ kamu sudah keterlaluan!”  Kemudian Musa berkata kepada Korah, “Dengarlah, hai orang Lewi!  Yehuwa, Tuhan orang Israel, sudah memilih kamu daripada kalangan orang Israel yang lain+ dan mengizinkan kamu untuk menghampiri-Nya. Dia telah melantik kamu untuk bertugas di khemah suci-Nya dan untuk melayani umat Israel.+ Adakah kamu menganggap hal ini perkara kecil? 10  Hai orang Lewi, adakah kamu menganggap hal ini perkara kecil apabila Tuhan mengizinkan kamu dan saudara-saudara kamu untuk menghampiri-Nya? Adakah kamu juga ingin menuntut agar dilantik menjadi imam?+ 11  Siapakah Harun itu sehingga kamu bersungut-sungut terhadapnya? Sesungguhnya kamu dan para penyokong kamu sudah memberontak terhadap Yehuwa!”+ 12  Selepas itu, Musa menyuruh orang untuk memanggil Datan dan Abiram,+ iaitu anak-anak Eliab. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu datang! 13  Belum cukupkah kamu membawa kami keluar dari Mesir, tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu, untuk membunuh kami di padang belantara ini?+ Sekarang adakah kamu mahu menjadi pemerintah kami juga? 14  Mana tanah yang melimpah dengan susu dan madu+ yang kamu katakan itu? Kamu berkata bahawa kamu akan memberikan ladang dan kebun anggur di tanah itu sebagai warisan kami! Adakah kamu mahu mereka semua* mengikut kamu sahaja seperti orang buta?* Kami tidak mahu datang!” 15  Apabila mendengar hal itu, Musa menjadi sangat marah. Dia berkata kepada Yehuwa, “Janganlah menerima korban bijirin yang dipersembahkan oleh mereka. Aku tidak pernah berbuat jahat terhadap mereka, dan aku juga tidak pernah mengambil seekor pun daripada keldai mereka.”+ 16  Kemudian Musa berkata kepada Korah, “Esok, kamu dan para penyokong kamu harus menghadap Yehuwa bersama Harun. 17  Kamu semua harus mengambil bekas perbaraan masing-masing dan mengisi bekas itu dengan kemenyan. Semua bekas perbaraan yang berjumlah 250 itu harus dibawa ke hadapan Yehuwa. Kamu dan Harun juga harus membawa bekas perbaraan masing-masing.” 18  Maka mereka mengambil bekas perbaraan masing-masing dan mengisinya dengan bara api dan kemenyan, lalu berdiri di depan pintu masuk khemah pertemuan bersama Musa dan Harun. 19  Semasa Korah mengumpulkan para penyokongnya+ di depan pintu masuk khemah pertemuan untuk menentang Musa dan Harun, segenap umat Israel melihat cahaya kemuliaan Yehuwa.+ 20  Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, 21  “Jauhkanlah diri kamu daripada semua orang itu, kerana Aku mahu membinasakan mereka semua sekarang juga!”+ 22  Tetapi mereka bersujud ke tanah dan berkata, “Ya Tuhan, Engkaulah yang memberikan kehidupan kepada semua manusia.+ Adakah Engkau murka terhadap segenap umat ini semata-mata kerana dosa satu orang?”+ 23  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 24  “Beritahulah semua umat Israel, ‘Jauhkanlah diri kamu daripada khemah Korah, Datan, dan Abiram!’”+ 25  Setelah itu, Musa dan para pemimpin+ orang Israel pergi ke tempat Datan dan Abiram. 26  Musa berkata kepada segenap umat Israel, “Jauhilah khemah semua orang jahat itu! Jangan sentuh apa-apa pun milik mereka supaya kamu tidak turut dibinasakan kerana dosa mereka.” 27  Maka semua orang segera menjauhkan diri daripada khemah Korah, Datan, dan Abiram. Datan dan Abiram keluar dari khemah mereka lalu berdiri di depan pintu masuk khemah mereka bersama isteri dan anak-anak mereka. 28  Kemudian Musa berkata, “Inilah caranya kamu akan tahu bahawa Yehuwalah yang menyuruh aku melakukan semua ini, dan bahawa aku tidak melakukan semua ini menurut kehendakku sendiri. 29  Jika semua orang itu mati dengan cara biasa, dan jika mereka menerima hukuman seperti yang biasa diterima oleh orang lain, maka hal itu menunjukkan bahawa Yehuwa tidak mengutus aku.+ 30  Tetapi jika Yehuwa melakukan sesuatu yang luar biasa, dan jika tanah terbelah lalu menelan mereka dan semua milik mereka sehingga mereka hidup-hidup masuk ke Kuburan,* kamu akan tahu bahawa mereka semua telah menghina Yehuwa.” 31  Sebaik sahaja Musa berkata demikian, tanah di bawah kaki Datan dan Abiram pun terbelah.+ 32  Tanah itu menelan mereka, keluarga mereka, dan semua milik mereka, serta semua ahli keluarga Korah.+ 33  Mereka dan semua milik mereka hidup-hidup masuk ke Kuburan.* Kemudian tanah tertutup semula dan mereka semua pun lenyap.+ 34  Semua orang Israel lari apabila mendengar teriakan mereka. Orang Israel berkata, “Mungkin tanah akan menelan kita juga!” 35  Kemudian Yehuwa menurunkan api+ lalu api itu membakar 250 orang yang sedang mempersembahkan kemenyan.+ 36  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 37  “Suruhlah Eleazar anak Harun mengambil semua bekas perbaraan+ dari tempat kebakaran itu, kerana bekas-bekas perbaraan itu suci. Suruhlah dia menghamburkan abunya di tempat lain. 38  Bekas perbaraan semua orang yang mati kerana dosa mereka itu harus ditempa sehingga menjadi kepingan logam nipis. Kepingan logam itu harus digunakan untuk melapisi mazbah,+ kerana bekas-bekas perbaraan itu sudah dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa, dan dianggap suci. Kepingan-kepingan logam itu akan menjadi suatu tanda amaran bagi semua umat Israel.”+ 39  Maka Imam Eleazar pun mengambil bekas-bekas perbaraan tembaga yang telah dipersembahkan oleh semua orang yang mati dibakar itu, lalu dia menempa semuanya menjadi kepingan logam untuk melapisi mazbah, 40  sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa. Kepingan logam itu menjadi suatu tanda amaran bagi semua umat Israel bahawa tiada sesiapa pun yang boleh menghampiri Yehuwa untuk mempersembahkan kemenyan kepada-Nya selain keturunan Harun.+ Kepingan logam itu juga menjadi suatu tanda amaran agar tiada sesiapa pun yang meniru haluan Korah dan para penyokongnya.+ 41  Pada keesokan harinya, segenap umat Israel mula bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun.+ Mereka berkata, “Kamu berdua telah membunuh umat Yehuwa!” 42  Segenap umat itu berkumpul untuk memberontak terhadap Musa dan Harun. Tetapi semasa mereka memandang ke arah khemah pertemuan, mereka nampak awan di atas khemah itu dan cahaya kemuliaan Yehuwa pun meliputi khemah itu.+ 43  Musa dan Harun pun pergi ke hadapan khemah pertemuan,+ 44  lalu Yehuwa berfirman kepada Musa, 45  “Jauhkanlah diri kamu daripada segenap umat itu, kerana Aku ingin membinasakan mereka dengan segera!”+ Apabila mendengar hal itu, mereka berdua bersujud.+ 46  Musa berkata kepada Harun, “Ambillah bekas perbaraan dan isilah bekas itu dengan bara api dari mazbah+ lalu bubuhlah kemenyan pada bara api itu. Cepatlah pergi kepada umat Israel untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak mereka+ kerana kemurkaan Yehuwa sudah berkobar! Lakukanlah hal ini dengan segera kerana wabak sudah bermula!” 47  Maka Harun pun mengambil bekas perbaraan seperti yang diperintahkan oleh Musa, lalu dia lari ke tengah-tengah orang yang sedang berkumpul. Apabila dia melihat bahawa wabak sudah bermula, dia segera membubuh kemenyan ke dalam bekas perbaraan itu dan mula memohon pengampunan dosa bagi pihak mereka. 48  Dia berdiri di tengah-tengah orang yang masih hidup dan orang yang sudah mati, lalu akhirnya wabak itu pun berhenti. 49  Orang yang mati kerana wabak itu berjumlah 14,700 orang, tidak termasuk orang yang mati kerana pemberontakan Korah. 50  Selepas wabak itu berhenti, Harun pun kembali kepada Musa di pintu masuk khemah pertemuan.

Nota Kaki

Harfiah, “lelaki-lelaki itu.” Mungkin merujuk kepada orang yang menyertai pemberontakan.
Harfiah, “Adakah kamu mahu mencungkil mata lelaki-lelaki itu?”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.