Bilangan 19:1-22
-
Lembu merah dan air bagi upacara penyucian (1-22)
19 Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun,
2 “Aku, Yehuwa, memberikan hukum berikut: ‘Umat Israel harus membawa seekor lembu merah kepada kamu. Lembu itu haruslah tidak ada kecacatan+ dan belum pernah digunakan untuk bekerja.
3 Kamu harus menyerahkan lembu itu kepada Imam Eleazar. Kemudian dia akan membawa lembu itu ke luar perkhemahan, lalu lembu itu harus disembelih di hadapannya.
4 Selepas itu, imam akan mengambil sedikit darah lembu itu dengan jarinya, lalu memercikkan darah itu sebanyak tujuh kali ke arah pintu masuk khemah pertemuan.+
5 Seluruh lembu itu, termasuk kulit, daging, darah, dan tahinya, harus dibakar di hadapan imam.+
6 Kemudian imam itu harus mengambil sepotong kayu sedar, seikat rumput hisop,+ dan seutas benang merah, lalu melemparkan semuanya ke dalam api yang sedang membakar lembu itu.
7 Setelah itu, imam harus mencuci pakaiannya dan mandi, barulah dia boleh masuk ke kawasan perkhemahan. Tetapi dia tetap dianggap najis sehingga matahari terbenam.
8 “‘Orang yang membakar lembu itu harus mencuci pakaiannya dan mandi, tetapi dia juga tetap dianggap najis sehingga matahari terbenam.
9 “‘Selepas itu, seseorang yang tidak najis harus mengumpulkan abu lembu itu,+ iaitu lembu yang telah dipersembahkan sebagai korban dosa. Orang tersebut harus meletakkan abu itu di tempat yang bersih di luar perkhemahan, agar dapat digunakan untuk menyediakan air bagi upacara penyucian.+ Air itu akan digunakan oleh umat Israel.
10 Orang yang mengumpulkan abu itu harus mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap dianggap najis sehingga matahari terbenam.
“‘Inilah peraturan yang harus sentiasa dipatuhi oleh umat Israel dan orang asing yang tinggal dalam kalangan mereka:+
11 Sesiapa yang tersentuh mayat akan dianggap najis selama tujuh hari.+
12 Pada hari ketiga, orang itu harus menyucikan diri dengan air bagi upacara penyucian. Dengan demikian, dia akan menjadi suci pada hari ketujuh. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga, dia akan tetap dianggap najis pada hari ketujuh.
13 Sesiapa yang tersentuh mayat dan tidak menyucikan diri, harus dihukum mati.+ Hal ini demikian kerana dia telah mencemari khemah suci milik Aku, Yehuwa.+ Orang itu tidak direnjis dengan air bagi upacara penyucian,+ maka dia tetap dianggap najis. Ya, dia berada dalam keadaan yang tidak suci.
14 “‘Inilah peraturan yang harus dipatuhi jika seseorang mati di dalam khemah: Sesiapa yang memasuki khemah itu, atau sesiapa yang sudah berada di dalam khemah itu, akan dianggap najis selama tujuh hari.
15 Semua bekas yang tidak ditutup akan menjadi najis.+
16 Sesiapa yang menyentuh mayat orang yang mati dibunuh dengan pedang, atau menyentuh mayat orang yang mati biasa di luar khemah, atau yang menyentuh kubur atau tulang orang mati, akan dianggap najis selama tujuh hari.+
17 Untuk menyucikan orang yang najis itu, sedikit abu daripada lembu yang dipersembahkan untuk korban dosa itu harus diambil. Kemudian abu itu harus dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan dituangi air yang bersih.
18 Selepas itu, seseorang yang tidak najis+ harus mengambil seikat rumput hisop+ dan mencelupnya ke dalam air itu, lalu memercikkannya ke atas khemah dan bekas-bekas di dalam khemah, serta ke atas semua orang yang berada di dalam khemah itu. Dia juga harus memercikkan air itu ke atas orang yang telah menyentuh kubur, atau orang yang telah menyentuh mayat orang yang mati biasa, atau orang yang telah menyentuh mayat orang yang mati dibunuh, atau orang yang telah menyentuh tulang orang mati.
19 Pada hari ketiga dan hari ketujuh, seseorang yang tidak najis harus memercikkan air itu ke atas orang yang najis. Pada hari ketujuh, orang yang najis itu akan menjadi suci.+ Kemudian dia harus membasuh pakaiannya dan mandi. Dengan demikian, dia akan menjadi suci selepas matahari terbenam.
20 “‘Sesiapa dalam kalangan orang Israel yang menjadi najis dan tidak menyucikan diri, harus dihukum mati.+ Hal ini demikian kerana orang itu telah mencemari khemah suci milik Aku, Yehuwa. Orang itu tidak direnjis dengan air bagi upacara penyucian, maka dia tetap dianggap najis.
21 “‘Inilah peraturan yang harus sentiasa dipatuhi oleh orang Israel: Orang yang memercikkan air untuk upacara penyucian+ harus membasuh pakaiannya. Orang yang direnjis dengan air itu harus dianggap najis sehingga matahari terbenam.
22 Apa sahaja yang disentuh oleh seseorang yang najis akan menjadi najis, dan orang lain yang menyentuh benda-benda itu juga dianggap najis sehingga matahari terbenam.’”+