Bilangan 21:1-35
21 Apabila raja Arad,+ orang Kanaan yang tinggal di negeri Negeb, mendengar bahawa orang Israel datang melalui Jalan Atarim, dia pergi menyerang mereka dan menawan beberapa orang daripada kalangan mereka.
2 Maka orang Israel berikrar kepada Yehuwa, “Jika Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan kami, kami pasti akan memusnahkan kota-kota mereka.”
3 Yehuwa mengabulkan permintaan orang Israel. Dia menyerahkan orang Kanaan ke dalam tangan mereka, lalu mereka membunuh semua orang Kanaan dan memusnahkan kota-kota orang Kanaan. Itulah sebabnya orang Israel menamakan tempat itu Horma.*+
4 Orang Israel meninggalkan Gunung Hor+ dan meneruskan perjalanan mereka mengikut Jalan Laut Merah supaya mereka tidak perlu melalui negeri Edom.+ Semasa dalam perjalanan itu, mereka menjadi letih dan lemah.
5 Mereka bersungut-sungut terhadap Tuhan dan Musa.+ Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah kamu mahu kami mati di padang belantara ini? Di sini tidak ada makanan dan tidak ada air.+ Kami sudah bosan dengan makanan yang memuakkan ini!”+
6 Maka Yehuwa mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah umat Israel. Ular-ular itu mematuk orang Israel sehingga banyak orang yang mati.+
7 Oleh itu, umat Israel datang kepada Musa dan berkata, “Kami sudah berdosa kerana kami bersungut-sungut terhadap Yehuwa dan terhadapmu.+ Rayulah kepada Yehuwa bagi pihak kami agar Dia menjauhkan ular-ular itu daripada kami.” Maka Musa pun merayu kepada Tuhan bagi pihak umat itu.+
8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Buatlah sebuah patung ular berbisa dan letakkannya pada sebatang tiang. Jika seseorang dipatuk ular, orang tersebut mesti memandang patung ular itu supaya dia tidak mati.”
9 Musa pun segera membuat sebuah patung ular daripada tembaga+ lalu meletakkannya pada sebatang tiang.+ Jika seseorang dipatuk ular, orang tersebut tidak akan mati sekiranya dia memandang ular tembaga itu.+
10 Selepas itu, orang Israel meneruskan perjalanan mereka lalu berkhemah di Obot.+
11 Dari Obot, mereka berangkat lagi lalu berkhemah di Iye-abarim,+ di padang belantara yang menghadap Moab. Padang belantara itu terletak di bahagian timur.
12 Kemudian mereka berangkat dari sana lalu berkhemah di Lembah* Zered.+
13 Selepas itu, mereka berangkat lagi lalu berkhemah di kawasan Lembah Arnon,+ yang terletak di padang belantara yang terbentang luas dari sempadan negeri orang Amori. Lembah Arnon ialah sempadan antara Moab dengan negeri orang Amori.
14 Itulah sebabnya dalam Kitab Peperangan Yehuwa ada tertulis, “Waheb di Sufa, lembah-lembah di Arnon,
15 dan cerun lembah-lembah yang terbentang sampai ke kota Ar dan sempadan Moab.”
16 Dari sana, mereka pergi ke Beer. Inilah perigi yang dimaksudkan oleh Yehuwa semasa Dia berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah segenap umat itu kerana Aku akan memberi mereka air untuk diminum.”
17 Pada masa itu, orang Israel menyanyikan lagu ini:
“Hai perigi, pancarkanlah airmu! Hai kamu sekalian, marilah menyanyi bersama-sama!
18 Perigi yang digali oleh para pembesar. Ya, perigi yang digali oleh para bangsawan.
Perigi yang digali dengan tongkat pemimpin. Ya, perigi yang digali dengan tongkat para bangsawan.”
Kemudian mereka berangkat dari padang belantara itu lalu pergi ke Matana.
19 Dari Matana, mereka berangkat ke Nahaliel, dan dari Nahaliel, mereka berangkat ke Bamot.+
20 Dari Bamot, mereka berangkat ke lembah yang terletak di kawasan Moab,+ di bawah puncak Pisga,+ yang menghadap ke arah Yesimon.*+
21 Selepas itu, umat Israel menghantar beberapa orang utusan kepada Sihon, raja orang Amori, dengan pesanan berikut:+
22 “Benarkanlah hamba sekalian melalui negeri tuanku. Hamba sekalian tidak akan melalui ladang atau kebun anggur tuanku, dan hamba sekalian tidak akan minum air dari mana-mana perigi tuanku. Hamba sekalian hanya akan berjalan melalui Jalan Raja sehingga hamba sekalian keluar dari negeri tuanku.”+
23 Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan orang Israel melalui negerinya. Sebaliknya, dia mengumpulkan semua tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang orang Israel yang sedang berada di kawasan padang belantara.+
24 Namun orang Israel mengalahkannya+ dan merampas negerinya,+ dari kawasan Lembah Arnon+ sampai ke Yabok+ yang terletak berhampiran kawasan orang Ammon. Tetapi mereka tidak menakluki Yaezer,+ kerana Yaezer terletak di sempadan negeri orang Ammon.+
25 Demikianlah orang Israel merampas semua kota itu. Mereka menduduki semua kota orang Amori,+ termasuk Hesybon dan kota-kota di sekelilingnya.
26 Hesybon merupakan kota milik Sihon, raja orang Amori yang telah berperang dengan raja orang Moab. Sihon telah merampas semua tanah milik raja orang Moab, termasuk kawasan-kawasan Lembah Arnon.
27 Itulah sebabnya syair cemuhan ini digubah:
“Datanglah ke Hesybon.
Biarlah kota Raja Sihon dibina dan didirikan dengan teguh.
28 Api keluar dari Hesybon. Ya, nyala api keluar dari kota Raja Sihon.
Api itu telah menghanguskan Ar di Moab. Ya, api itu telah membakar para penguasa tempat-tempat tinggi di Arnon.
29 Malanglah kamu, hai orang Moab! Kamu semua akan dimusnahkan, hai para penyembah Kamos!+
Kamos menyebabkan kaum lelaki kamu menjadi pelarian, dan membuat kaum wanita kamu menjadi tawanan Sihon, raja orang Amori.
30 Seranglah mereka!Hesybon akan dimusnahkan sampai ke Dibon.+Musnahkanlah semuanya sampai ke Nofah.Biarlah api memusnahkan segala-galanya sampai ke Medeba.”+
31 Maka orang Israel menetap di tanah orang Amori.
32 Kemudian Musa mengutus beberapa orang untuk mengintip negeri Yaezer.+ Selepas itu, umat Israel menyerang Yaezer lalu merampas kota itu serta semua kota di sekelilingnya. Mereka juga menghalau semua orang Amori yang tinggal di kota-kota tersebut.
33 Setelah itu, orang Israel meneruskan perjalanan mereka melalui Jalan Basan. Tetapi Og,+ raja Basan, mengumpulkan semua tenteranya untuk menyerang mereka di Edrei.+
34 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Jangan takut kepadanya,+ kerana Aku akan menyerahkannya dan semua rakyatnya serta semua tanahnya ke dalam tangan kamu.+ Kamu akan mengalahkannya sebagaimana kamu mengalahkan Sihon, raja orang Amori yang tinggal di Hesybon.”+
35 Oleh itu, umat Israel membunuh raja itu dan putera-puteranya serta semua rakyatnya, dan tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ Mereka juga merampas semua tanahnya.+