Bilangan 22:1-41
22 Umat Israel meneruskan perjalanan mereka lalu berkhemah di padang gurun Moab, di kawasan berhampiran Sungai Yordan, dekat Yerikho.+
2 Apabila Balak+ anak Zipor mendengar bahawa orang Israel telah mengalahkan orang Amori,
3 dan nampak betapa besarnya bilangan orang Israel, dia dan orang Moab menjadi sangat takut. Ya, mereka menjadi sangat gerun dan gementar kerana orang Israel.+
4 Oleh itu, orang Moab berkata kepada para pemimpin orang Midian,+ “Kumpulan yang besar ini akan melahap segala sesuatu di kawasan kita, seperti lembu melahap rumput di padang.”
Pada masa itu, Balak anak Zipor, yang merupakan raja orang Moab,
5 menghantar beberapa orang utusan kepada Bileam anak Beor yang tinggal bersama sanak saudaranya di Petor,+ dekat Sungai Efrat. Inilah pesanan Balak: “Sebuah bangsa telah keluar dari Mesir dan mereka telah tersebar ke seluruh muka bumi.+ Kini mereka sedang berkhemah di depan mata beta.
6 Mereka lebih kuat daripada beta. Maka datanglah dan kutuklah mereka bagi beta.+ Mudah-mudahan beta dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari negeri beta. Beta tahu bahawa orang yang kamu berkati akan mendapat berkat, dan orang yang kamu kutuk akan mendapat kutuk.”
7 Maka para pemimpin orang Moab dan para pemimpin orang Midian pergi berjumpa dengan Bileam.+ Mereka membawa upah untuk Bileam agar dia mengutuk orang Israel. Apabila mereka bertemu dengan Bileam, mereka menyampaikan pesanan Balak kepadanya.
8 Selepas itu, Bileam berkata kepada mereka, “Bermalamlah di sini dan saya akan memberitahu kamu apa yang difirmankan oleh Yehuwa kepada saya.” Maka para pemimpin orang Moab pun menginap di tempat Bileam.
9 Kemudian Tuhan datang kepada Bileam dan bertanya,+ “Siapakah semua orang ini yang ada bersama engkau?”
10 Bileam berkata kepada Tuhan, “Mereka ialah utusan yang dihantar oleh Balak anak Zipor, raja orang Moab. Mereka menghantar pesanan Balak kepadaku. Balak berkata,
11 ‘Bangsa yang telah keluar dari Mesir itu telah tersebar ke seluruh muka bumi. Maka datanglah dan kutuklah mereka bagi beta.+ Mudah-mudahan beta dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari negeri beta.’”
12 Tetapi Tuhan berfirman kepada Bileam, “Jangan pergi bersama mereka. Jangan kutuk umat itu, kerana Aku telah memberkati mereka.”+
13 Pada keesokan paginya, Bileam bangun dan berkata kepada para pemimpin yang diutus oleh Balak, “Pulanglah ke negeri kamu, kerana Yehuwa telah melarang saya untuk pergi bersama kamu.”
14 Oleh itu, para pemimpin orang Moab kembali kepada Balak dan berkata, “Bileam tidak mahu datang bersama kami.”
15 Tetapi Balak menghantar lebih banyak utusan lagi. Orang yang diutusnya berpangkat lebih tinggi daripada yang diutus sebelumnya.
16 Mereka pergi kepada Bileam dan berkata, “Inilah pesanan daripada Balak: ‘Janganlah biarkan apa-apa pun menghalang kamu untuk datang kepada beta.
17 Beta akan memberikan ganjaran kepadamu dan beta akan mengabulkan semua permintaanmu. Maka datanglah dan kutuklah umat itu bagi beta.’”
18 Tetapi Bileam menjawab, “Walaupun Balak memberi saya istananya yang penuh dengan emas dan perak, saya tidak dapat melakukan apa-apa yang bertentangan dengan perintah Yehuwa, Tuhan saya, sama ada perkara yang kecil ataupun perkara yang besar.+
19 Namun bermalamlah di sini. Saya ingin mengetahui apa lagi yang akan difirmankan oleh Yehuwa kepada saya.”+
20 Pada malam itu, Tuhan datang kepada Bileam dan berfirman kepadanya, “Semua orang itu sudah datang untuk meminta engkau mengikut mereka. Oleh itu, pergilah bersama mereka. Tetapi engkau hanya boleh mengatakan apa yang akan Aku firmankan kepadamu.”+
21 Maka pada keesokan harinya, Bileam bangun dan memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama para pemimpin orang Moab itu.+
22 Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya. Tetapi Yehuwa menjadi murka semasa Bileam berangkat. Maka Dia mengutus malaikat-Nya untuk menghalang Bileam. Malaikat itu berdiri di tengah jalan.
23 Apabila keldai itu nampak malaikat Yehuwa berdiri di tengah jalan sambil memegang sebilah pedang, keldai itu mencuba menyimpang ke ladang. Tetapi Bileam memukul keldainya untuk memaksa keldainya kembali ke jalan.
24 Kemudian malaikat Yehuwa berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua buah ladang anggur. Terdapat tembok batu di kedua-dua belah jalan itu.
25 Apabila keldai itu nampak malaikat Yehuwa di sana, keldai itu menghimpitkan badannya ke tembok sehingga kaki Bileam terjepit. Maka Bileam memukul keldainya sekali lagi.
26 Kemudian malaikat Yehuwa berundur lalu berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri.
27 Apabila keldai itu nampak malaikat Yehuwa, keldai itu merebahkan badannya. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu sekali lagi dengan tongkatnya.
28 Akhirnya, Yehuwa membolehkan keldai itu bercakap,+ lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?”+
29 Bileam menjawab, “Sebab kamu mempermainkan aku! Jika aku mempunyai pedang, aku pasti sudah membunuh kamu!”
30 Keldai itu berkata, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan sebegini?” Bileam menjawab, “Tidak.”
31 Selepas itu, Yehuwa membolehkan Bileam melihat+ malaikat-Nya. Ketika Bileam nampak malaikat Yehuwa berdiri di tengah jalan sambil memegang sebilah pedang, Bileam segera bersujud ke tanah.
32 Malaikat Yehuwa berkata kepada Bileam, “Mengapa kamu memukul keldaimu sampai tiga kali? Akulah yang menghalang kamu, kerana apa yang hendak kamu lakukan bertentangan dengan kehendakku.+
33 Tetapi keldaimu nampak aku dan mencuba menyimpang dari hadapanku sebanyak tiga kali.+ Jika tidak, aku pasti sudah membunuh kamu dan membiarkan keldaimu hidup!”
34 Bileam berkata kepada malaikat Yehuwa, “Saya sudah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuanlah yang berdiri di tengah jalan untuk menghalang saya. Jika tuan tidak mahu saya pergi, saya akan pulang.”
35 Malaikat Yehuwa menjawab, “Pergilah bersama semua orang itu, tetapi kamu hanya boleh mengatakan apa yang akan aku katakan kepadamu.” Oleh itu, Bileam meneruskan perjalanannya bersama para pemimpin yang diutus oleh Balak.
36 Apabila Balak mendengar bahawa Bileam sudah datang, dia segera pergi berjumpa dengannya di sebuah kota yang terletak di pinggir Sungai Arnon, di sempadan negeri Moab.
37 Balak berkata kepada Bileam, “Bukankah beta sudah memanggil kamu untuk datang? Mengapa kamu tidak datang? Adakah kamu menyangka bahawa beta tidak mampu memberikan ganjaran kepadamu?”+
38 Bileam menjawab, “Sekarang hamba sudah datang. Tetapi hamba tidak boleh mengatakan apa-apa sesuka hati. Hamba hanya boleh mengatakan apa yang difirmankan oleh Tuhan kepada hamba.”+
39 Selepas itu, Bileam pergi bersama Balak ke Kiryat-huzot.
40 Balak menyembelih beberapa ekor lembu dan bebiri sebagai korban. Kemudian dia memberikan sebahagian daripada daging itu kepada Bileam dan para pemimpin yang ada bersamanya.
41 Pada keesokan paginya, Balak membawa Bileam ke Bamot-baal. Di situ, Bileam dapat melihat segenap umat Israel.+