Bilangan 25:1-18

  • Orang Israel berdosa kerana wanita-wanita Moab (1-5)

  • Pinehas bertindak (6-18)

25  Semasa umat Israel berkhemah di Sitim,+ kaum lelaki orang Israel mula melakukan hubungan seks dengan perempuan-perempuan Moab.+ 2  Perempuan Moab mengajak orang Israel pergi mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka.+ Maka orang Israel memakan korban-korban itu dan mula bersujud menyembah dewa-dewa orang Moab.+ 3  Mereka ikut menyembah Dewa Baal di Peor,+ maka Yehuwa menjadi sangat murka terhadap mereka. 4  Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tangkaplah semua pemimpin yang telah berdosa. Bunuhlah mereka dan gantungkanlah mereka di hadapan orang ramai. Ya, mereka harus digantungkan di hadapan Aku, Yehuwa, agar kemurkaan-Ku terhadap umat Israel akan reda. Akulah Yehuwa.” 5  Kemudian Musa berkata kepada para hakim umat Israel,+ “Kamu semua harus membunuh orang* yang telah ikut menyembah Dewa Baal di Peor.”+ 6  Semasa orang Israel meratap di pintu masuk khemah pertemuan, seorang lelaki Israel membawa seorang perempuan Midian+ ke kawasan perkhemahan. Dia berbuat demikian di hadapan Musa dan segenap umat Israel. 7  Apabila Pinehas+ anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, melihat mereka, dia segera bangun dan meninggalkan segenap umat yang berkumpul. Dia mengambil sebatang tombak 8  dan mengejar lelaki itu sampai ke dalam khemah, lalu dia menikam kedua-dua orang itu dengan tombaknya. Dia menusukkan tombak itu pada bahagian perut* perempuan tersebut. Dengan itu, wabak yang sedang membinasakan orang Israel pun berhenti.+ 9  Namun orang yang telah mati kerana wabak itu sudah pun berjumlah 24,000 orang.+ 10  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 11  “Pinehas+ anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, sudah meredakan kemurkaan-Ku terhadap umat ini. Dia sama sekali tidak membiarkan umat Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku.+ Itulah sebabnya Aku tidak membinasakan orang Israel.+ 12  Aku akan membuat perjanjian dengan Pinehas kerana Aku berkenan kepadanya. 13  Hal ini demikian kerana dia sama sekali tidak membiarkan umat Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku,+ dan dia juga telah memohon pengampunan dosa bagi pihak orang Israel. Dengan adanya perjanjian ini, dia dan keturunannya akan sentiasa berkhidmat sebagai imam.”+ 14  Lelaki Israel yang dibunuh bersama perempuan Midian itu bernama Zimri anak Salu. Dia ialah ketua puak daripada suku Simeon. 15  Nama perempuan Midian yang dibunuh itu pula ialah Kozbi anak Zur.+ Zur ialah ketua puak daripada salah satu suku di Midian.+ 16  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 17  “Seranglah orang Midian dan bunuhlah mereka,+ 18  kerana dengan licik, mereka telah menipu kamu sehingga kamu berdosa di Peor.+ Mereka telah menggunakan Kozbi, anak ketua orang Midian, iaitu perempuan yang dibunuh+ pada hari kamu ditimpa wabak yang telah Aku datangkan kerana dosa kamu di Peor,+ untuk menggoda kamu sehingga kamu ditimpa malapetaka.”

Nota Kaki

Merujuk kepada para pemimpin yang telah berdosa itu.
Atau “bahagian kemaluan.”