Bilangan 27:1-23

  • Anak-anak perempuan Zelafehad (1-11)

  • Yosua dilantik sebagai pengganti Musa (12-23)

27  Anak-anak perempuan Zelafehad+ daripada suku Manasye ialah Mahla, Noa, Hogla, Milkah, dan Tirza. (Zelafehad ialah anak Hefer, Hefer ialah anak Gilead, Gilead ialah anak Makhir, Makhir ialah anak Manasye, dan Manasye ialah anak Yusuf.) Mereka pergi  menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin,+ dan seluruh umat Israel, di pintu masuk khemah pertemuan. Mereka berkata,  “Bapa kami mati di padang belantara tetapi dia tidak mengikut para penyokong Korah+ yang menentang Yehuwa. Sebaliknya, dia mati kerana dosanya sendiri dan dia tidak mempunyai anak lelaki.  Mengapakah nama bapa kami harus lenyap daripada puaknya hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Berilah kami tanah warisan bersama dengan saudara-saudara bapa kami.”  Maka Musa menyampaikan perkara mereka kepada Yehuwa.+  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa,  “Permintaan anak-anak perempuan Zelafehad itu memang wajar. Berilah mereka tanah warisan bersama dengan saudara-saudara bapa mereka. Tanah pusaka bapa mereka harus diwariskan kepada mereka.+  Beritahulah umat Israel, ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada anak perempuannya.  Tetapi jika dia tidak mempunyai anak perempuan, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara lelakinya. 10  Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara lelaki bapanya. 11  Jika bapanya tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara-mara yang terdekat kepadanya.* Aku, Yehuwa, memberikan ketetapan ini kepadamu, dan ketetapan ini harus sentiasa dipatuhi oleh orang Israel.’” 12  Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Musa, “Naiklah ke gunung di kawasan Abarim+ dan lihatlah tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel.+ 13  Selepas engkau melihat tanah itu, engkau akan meninggal seperti abangmu Harun,+ lalu dikebumikan seperti nenek moyangmu.+ 14  Hal ini demikian kerana engkau tidak menurut perintah-Ku semasa umat Israel bersungut-sungut terhadap-Ku di padang belantara Zin. Engkau tidak memuliakan Aku di hadapan umat Israel ketika Aku memberikan air+ kepada mereka di Sumber Air Meriba+ berdekatan Kades,+ di padang belantara Zin.”+ 15  Kemudian Musa berkata kepada Yehuwa, 16  “Ya Yehuwa, Tuhan yang memberikan nyawa* kepada semua orang, lantiklah seseorang untuk mengetuai umat Israel 17  supaya umat Yehuwa tidak menjadi seperti kawanan bebiri tanpa gembala. Orang yang dilantik itu akan memimpin mereka, dan mereka harus mentaatinya dalam semua perkara.” 18  Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Yosua anak Nun ialah seorang yang cekap. Panggillah dia dan letakkanlah tanganmu ke atasnya.+ 19  Suruhlah dia berdiri di hadapan Imam Eleazar dan segenap umat Israel. Kemudian, engkau harus melantiknya sebagai pemimpin di hadapan mereka semua.+ 20  Engkau harus memberikan sebahagian daripada kekuasaanmu kepadanya,+ supaya segenap umat Israel mentaatinya.+ 21  Yosua akan berdiri di hadapan Imam Eleazar, lalu Imam Eleazar akan bertanya kepada Aku, Yehuwa, bagi pihaknya dengan menggunakan Urim.*+ Dengan itu, keputusan-Ku akan diketahui. Apabila Yosua memberikan perintah,* segenap umat Israel harus mematuhi perintah itu.” 22  Maka Musa melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya. Dia membawa Yosua dan menyuruhnya berdiri di hadapan Imam Eleazar dan segenap umat Israel. 23  Kemudian, Musa meletakkan tangannya ke atas Yosua dan melantiknya sebagai pemimpin,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.+

Nota Kaki

Atau “yang mempunyai pertalian darah dengannya.”
Atau “nafas kehidupan.”
Lihat Kamus.
Atau “Apabila Tuhan memberikan perintah,” mungkin melalui Yosua atau Eleazar.