Bilangan 3:1-51

  • Anak-anak lelaki Harun (1-4)

  • Orang Lewi dilantik untuk berkhidmat (5-39)

  • Menebus anak sulung manusia dan binatang (40-51)

3  Inilah keturunan Harun dan Musa ketika Yehuwa berfirman kepada Musa di Gunung Sinai.+ 2  Berikut ialah nama anak-anak lelaki Harun: Nadab (anak sulung), Abihu,+ Eleazar,+ dan Itamar.+ 3  Itulah anak-anak Harun yang telah diurapi untuk berkhidmat sebagai imam.+ 4  Namun semasa berada di padang belantara Sinai, Nadab dan Abihu telah dihukum mati oleh Yehuwa, kerana mereka mempersembahkan api yang haram kepada Yehuwa.+ Mereka berdua tidak mempunyai anak. Tetapi Eleazar+ dan Itamar+ terus bertugas sebagai imam bersama Harun, bapa mereka. 5  Yehuwa berfirman kepada Musa, 6  “Bawalah suku Lewi+ ke hadapan, dan lantiklah mereka untuk membantu+ Harun yang berkhidmat sebagai imam. 7  Orang Lewi harus melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Harun dan terhadap semua orang Israel yang berkumpul di hadapan khemah pertemuan. Mereka juga harus menjalankan semua tugas yang berkaitan dengan khemah suci. 8  Mereka harus menguruskan semua peralatan+ khemah pertemuan. Ya, mereka harus melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap semua orang Israel dengan menjalankan segala tugas yang berkaitan dengan khemah suci.+ 9  Engkau harus memastikan agar orang Lewi dipisahkan daripada kalangan umat Israel, dan dikhaskan untuk membantu Harun dan anak-anak lelakinya.+ 10  Engkau harus melantik Harun dan anak-anak lelakinya untuk berkhidmat sebagai imam.+ Orang lain yang mencuba mendekati khemah suci mesti dihukum mati.”+ 11  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 12  “Aku mengambil orang Lewi daripada kalangan umat Israel untuk menjadi milik-Ku. Mereka akan menggantikan semua anak lelaki sulung orang Israel.+ 13  Hal ini demikian kerana ketika Aku membunuh semua anak sulung orang Mesir,+ Aku telah mengekhaskan setiap anak lelaki sulung orang Israel, dan setiap anak jantan sulung ternakan mereka,+ untuk menjadi sesuatu yang suci bagi-Ku. Sesungguhnya, semua anak sulung merupakan milik-Ku.+ Akulah Yehuwa.” 14  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa di padang belantara Sinai,+ 15  “Daftarkanlah semua orang Lewi menurut puak dan keluarga mereka. Daftarkanlah nama setiap anak lelaki yang berumur satu bulan dan ke atas.”+ 16  Maka Musa mendaftarkan orang Lewi seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. 17  Inilah nama anak-anak lelaki Lewi: Gerson, Kehat, dan Merari.+ 18  Libni dan Simei ialah anak-anak lelaki Gerson. Keluarga mereka dikenali sebagai keluarga Libni dan keluarga Simei.+ 19  Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel ialah anak-anak lelaki Kehat. Keluarga mereka dikenali sebagai keluarga Amram, keluarga Yizhar, keluarga Hebron, dan keluarga Uziel.+ 20  Mahli+ dan Musi+ ialah anak-anak lelaki Merari. Keluarga mereka dikenali sebagai keluarga Mahli dan keluarga Musi. Itulah keluarga-keluarga orang Lewi menurut puak mereka. 21  Puak Gerson terdiri daripada keluarga Libni+ dan keluarga Simei. Itulah keluarga anak-anak Gerson. 22  Kaum lelaki puak Gerson yang berumur satu bulan dan ke atas yang didaftarkan berjumlah 7,500 orang.+ 23  Puak Gerson berkhemah di sebelah barat, iaitu di belakang khemah suci.+ 24  Ketua puak Gerson ialah Eliasaf anak Lael. 25  Puak Gerson+ bertanggungjawab menguruskan khemah pertemuan,+ termasuk kain-kain penutupnya,+ tabir+ bagi pintu masuk khemah suci, 26  tirai+ halaman khemah yang mengelilingi khemah suci dan mazbah, tirai untuk pintu masuk halaman khemah,+ dan tali-tali di halaman khemah. Ya, mereka diperintahkan untuk menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan semua peralatan itu. 27  Puak Kehat terdiri daripada keluarga Amram, keluarga Yizhar, keluarga Hebron, dan keluarga Uziel. Itulah keluarga anak-anak Kehat.+ 28  Kaum lelaki puak Kehat yang berumur satu bulan dan ke atas yang didaftarkan berjumlah 8,600 orang. (Puak Kehat juga bertanggungjawab untuk menguruskan khemah suci.)+ 29  Puak Kehat berkhemah di sebelah selatan khemah suci.+ 30  Ketua puak Kehat ialah Elisafan anak Uziel.+ 31  Puak Kehat bertanggungjawab menguruskan tabut perjanjian,+ meja,+ kaki pelita,+ mazbah-mazbah,+ tirai pemisah,+ dan peralatan+ lain yang digunakan untuk khidmat yang dijalankan di khemah suci. Ya, mereka diperintahkan untuk menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan semua peralatan itu.+ 32  Eleazar+ anak Imam Harun ialah pemimpin ke atas semua ketua puak dalam suku Lewi. Dia bertanggungjawab untuk mengawasi orang yang bertugas di khemah suci. 33  Puak Merari terdiri daripada keluarga Mahli dan keluarga Musi. Itulah keluarga anak-anak Merari.+ 34  Kaum lelaki puak Merari yang berumur satu bulan dan ke atas yang didaftarkan berjumlah 6,200 orang.+ 35  Ketua puak Merari ialah Zuriel anak Abihail. Puak Merari berkhemah di sebelah utara khemah suci.+ 36  Puak Merari bertanggungjawab menguruskan rangka-rangka+ khemah suci, kayu lintang+ untuk menyambungkan rangka-rangka, tiang-tiang,+ alas tiang, dan peralatan-peralatan+ yang lain. Ya, mereka diperintahkan untuk menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan semua peralatan itu.+ 37  Selain itu, mereka juga diperintahkan untuk menguruskan tiang-tiang, alas tiang,+ pasak, dan tali yang digunakan di halaman khemah. 38  Musa, Harun, dan anak-anak lelaki Harun, berkhemah di depan khemah suci, iaitu di sebelah timur.* Mereka bertanggungjawab mengendalikan segala pekerjaan yang dijalankan di khemah suci bagi pihak orang Israel. Orang lain yang mencuba mendekati khemah suci akan dihukum mati.+ 39  Semua lelaki daripada suku Lewi yang berumur satu bulan dan ke atas, yang didaftarkan menurut keluarga mereka, berjumlah 22,000 orang. Musa dan Harun mendaftarkan mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa. 40  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Daftarkanlah semua anak lelaki sulung orang Israel yang berumur satu bulan dan ke atas.+ Hitunglah jumlah mereka dan senaraikanlah nama mereka. 41  Khaskanlah orang Lewi untuk-Ku. Mereka harus menggantikan semua anak lelaki sulung orang Israel.+ Ambillah juga ternakan orang Lewi untuk menggantikan semua anak jantan sulung ternakan orang Israel.+ Akulah Yehuwa.” 42  Maka Musa mendaftarkan semua anak lelaki sulung orang Israel, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. 43  Bilangan anak lelaki sulung yang berumur satu bulan dan ke atas yang didaftarkan ialah 22,273 orang. 44  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 45  “Khaskanlah orang Lewi untuk menjadi milik-Ku. Mereka harus menggantikan semua anak lelaki sulung orang Israel. Ambillah juga ternakan orang Lewi untuk menggantikan semua anak jantan sulung ternakan orang Israel. Akulah Yehuwa. 46  Oleh sebab jumlah anak lelaki sulung umat Israel melebihi jumlah orang Lewi+ sebanyak 273 orang, maka 273 orang itu harus ditebus.+ 47  Lima syekel* perak harus dibayar bagi setiap orang itu,+ menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci. Satu syekel sama dengan 20 gera.*+ 48  Engkau harus memberikan wang itu kepada Harun dan anak-anak lelakinya sebagai harga tebusan untuk 273 orang itu.” 49  Maka Musa mengambil wang itu sebagai harga tebusan bagi 273 orang tersebut. 50  Jumlah wang yang dikumpulkan oleh Musa daripada anak lelaki sulung orang Israel tersebut ialah 1,365 syekel perak, menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci. 51  Musa mematuhi arahan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya. Dia memberikan wang tersebut kepada Harun dan anak-anak lelakinya, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa.

Nota Kaki

Atau “sebelah timur, iaitu arah matahari terbit.”